PAS Terengganu Komited Terus Kerjasama Dengan Umno


KUALA TERENGGANU - PAS Terengganu memberi komitmen untuk terus menjalinkan kerjasama bersama Umno negeri itu yang terbina sejak 2019.

Ketua Penerangannya, Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, hubungan kedua-dua parti terbesar itu masih kekal meskipun PAS telah mewujudkan Jawatankuasa Perikatan Nasional (PN) peringkat Terengganu bersama parti Bersatu semalam.

"Umno merupakan sekutu PAS dalam Muafakat Nasional (MN) maka kerjasama tetap diteruskan seperti biasa.

"Di samping perundingan dan perbincangan tetap berjalan dalam menghadapi Pilihanraya Umum ke 15 (PRU-15) akan datang," jelasnya.

Mengulas mengenai Jawatankuasa PN, Wan Sukairi yang juga Ketua Penerangan PN negeri berkata, badan itu akan dipimpin oleh Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Manakala Pengerusi Bersatu Terengganu, Datuk Razali Idris dan Pesuruhjaya Pas Terengganu, Datuk Husain Awang, masing-masing sebagai Naib Pengerusi.

“Alhamdulillah PN Terengganu telah dibentuk secara rasmi malam tadi dengan jawatankuasa yang lengkap.

“Mesyuarat turut bersetuju untuk membentuk PN di semua bahagian yang akan dipengerusikan oleh Ahli Parlimen kecuali di Besut oleh Husain,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari  ini.

Menurut Ustaz Wan Sukairi, mesyuarat kali pertama yang diadakan itu disertai oleh kesemua 24 jawatankuasa kecuali Bendahari, Datuk Rosol Wahid yang berada di Sabah. 

Tambah beliau, jemputan akan dihantar kepada rakan komponen, Gerakan untuk turut menganggotai jawatankuasa berkenaan.

Sehubungan itu, Wan Sukairi berharap PN Terengganu dapat terus bergerak aktif sebagai persediaan menghadapi PRU-15 nanti.

Ulasan