PAS, Umno Dan Bersatu, Bersama Hadapi PRU-15


KUALA NERUS - Ketiga-tiga  komponen parti Melayu iaitu Parti Islam Se-Malaysia (PAS), Umno dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) perlu terus bersama, menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU)ke-15  bagi mengekalkan kerajaan yang sedia ada.

Timbalan Presiden PAS, Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, Umno tidak sepatutnya memutuskan hubungan dengan Bersatu dalam masa yang sama hendak mengekalkan kerjasama dengan PAS.

“kita mendukung kerajaan secara bersama sehingga saat yang paling penting, pembubaran parlimen, kerana besar maknanya menjadi sebahagian daripada kerajaan Perikatan Nasional (PN).

“Tiba-tiba Umno isytihar keluar dari PN, Tuan Guru Presiden PAS beritahu umat ini kena bersatu, tidak boleh berpecah kerana dimensi politik kini telah berubah di kalangan generasi muda,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Munaqasyah Ucapan Dasar Presiden PAS Peringkat Negeri Terengganu, di  Kompleks Tarbiyah At-Taqwa (KOMTAQ), Batu Enam, pada Sabtu 13 Mac.


Kata beliau yang juga Menteri Alam Sekitar Dan Air, penglibatan politik oleh generasi muda tidak lagi sebagaimana dahulu. 

“Zaman dulu ada dasar komitmen pada parti sebagai ahli, generasi muda sekarang tidak peduli parti mahupun cawangan,40 peratus daripada mereka tidak tetap pendirian mengundi mana-mana parti dan mereka boleh berubah bila-bila masa sahaja,” jelasnya.

Justeru katanya, tidak wajar Umno merasakan mereka memiliki lebihan kerusi daripada Bersatu, maka mengambil keputusan yang boleh mengagalkan penyatuan umat.

“Mungkin Bersatu tak ada kekuatan, tetapi kita mesti akui ia adalah parti pemerintah serta memiliki kekuatannya tersendiri.

“Umno mendakwa terima pandangan daripada bahagian parti, sepatutnya Umno di peringkat bahagian kena ikut keputusan yang telah diputuskan, demokrasi penting diambil sebagai alat tetapi perlu dirancang hala tuju hendak dibawa kemana,” katanya.

Justeru kata Ustaz Tuan Ibrahin, PAS berpendirian untuk elak pertembungan, bagi memastikan majoriti mudah dapat dicapai dalam memastikan kemenangan PRU-ke 15.

Ulasan