Pengarah Tersohor Puji Kerajaan PAS


Oleh : Noreni Abu Bakar

KUALA TERENGGANU - Pengarah filem dan drama tersohor tanah air, Murali Abdullah memuji pemerintahan kerajaan Parti PAS Terengganu. 

Beliau berkata, pentadbiran baru sejak 2018 telah berjaya mewujudkan suasana politik matang dan sejahtera, berbeza jika dibandingkan rejim sebelumnya. 

Murali yang pernah dinobatkan sebagai Pengarah Terbaik mengakui, perubahan itu antara tarikan kepada hasrat beliau ingin menetap di Darul Iman. 

"Suasana di sini yang bersistematik dan mudah berurusan dengan pengarah jabatan dan pegawai-pegawai mereka, wakil-wakil rakyat PAS mudah didekati rakyat tanpa perlu banyak protokol.

"Rakyat boleh bersembang dengan mereka di kedai-kedai kopi, dulu mana ada... kalau di K. L(Kuala Lumpur) untuk jumpa wakil rakyat mesti melalui P. A(pegawai peribadi) dan kalau hendak berjumpa di luar, mesti di hotel," ujarnya. 

Beliau berkata demikian ketika ditanya oleh seorang peserta pada program 'Bual Bicara Sepetang Bersama Pengarah Murali Abdullah' di sini pada Isnin, 22 Mac. 

Program sumbang saran anjuran Lajnah Penerangan dan Media Baru, Muslimat PAS Terengganu itu turut dihadiri Timbalan Pengarah Jabatan Penerangan PAS Terengganu, Ketua Muslimat PAS Terengganu, To' Puan Hajah Zarani Othman.  

Murali juga sangat mengangumi Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang yang menurutnya, terus istiqamah melaksanakan tugas dakwah dan siasah. 

"Tok Guru langsung tidak kisah difitnah dan dicaci oleh musuh-musuh politiknya,

"Saya amat marah kalau orang mencerca dan memfitnah Tok Guru kerana saya sayang Tok Guru," katanya.

Ulasan