Saraf Kencng Manis


Didapati 7 dari 10 pesakit kencing manis yang kronik akan mengalami masalah saraf. Mereka akan mengadu kebas kaki atau semut-semut dan ada di kalangan mereka yang sudah teruk sehingga sudah tiada deria sentuh di kaki. 

Sakit saraf kencing manis ini akan semakin cepat berlaku jika pesakit tersebut gemuk, kencing manis sudah melebihi 25 tahun, tidak mengawal paras gula, menghidapi darah tinggi, mempunyai Kolestrol yang tinggi dan merokok.

Apa yang anda perlu tahu?

1. Komplikasi serangan saraf terhadap pesakit  kencing manis adalah satu yang lumrah berlaku terutama sekali bagi individu yang degil tidak mahu mengawal kencing manis mereka. Kandungan gula yang tinggi akan menyebabkan dinding pembuluh darah akan rosak. Akhir sekali darah akan keluar melalui dinding itu dan merosakkan saraf yang berada di sekeliling pembuluh darah.

2. Gejala serangan saraf ini tidak disedari oleh pesakit kerana ianya memakan masa bertahun lamanya. Tubuh pesakit akan beradaptasi dengan situasi itu sehinggalah satu ketika serangan saraf semakin teruk. Di saat itu mereka akan merasai semut-semut dan deria sentuh tidak berfungsi lagi. Oleh itu jangan pandang remeh dengan kandungan gula dalam darah yang sentiasa tinggi walaupun kita merasai bahagia dengan kandungan gula yang mencanak naik itu. 

3. Gejala permulaannya pesakit akan merasai sakit apabila berpijak di permukaan keras. Kemudian akan merasai semut-semut dan akhir sekali deria sentuh & deria posisi anggota akan hilang. Adakalanya pesakit mempunyai gejala berpeluh tidak mengira waktu, masalah kencing yang tidak lawas dan buang air besar yang tidak sempurna. Bagi lelaki pesakit mempunyai masalah mati pucuk atau kurang nafsu syahwat bagi perempuan. Terdapat juga tanda lain yang melibatkan saraf seperti sukar untuk menelan makanan. Jangan tunggu gejala seperti ini timbul dahulu sebelum jumpa doktor. Jumpalah lebih awal kerana penyakit saraf ini agak sukar untuk dirawat. Sekurang-kurangnya doktor boleh memberi khidmat nasihat serta konsultasi yang berrpatutan sebelum keadaan semakin melarat.

4. Penyakit tambahan seperti darah tinggi, gemuk, Kolestrol yang tinggi, hisap rokok, minum arak juga akan memburukkan lagi keadaan penyakit saraf ini. Oleh yang demikian mengambil rawatan untuk darah tinggi dan meningkatkan gaya hidup sihat adalah penting sebelum berlaku peristiwa yang lebih parah.

5. Setiap kali lawatan klinik kencing manis, pastikan petugas perubatan menilai prestasi saraf anda melalui beberapa pemeriksaan yang khusus terutama sekali pemeriksaan kaki.

6. Kunci utama rawatan saraf akibat kencing manis ini adalah kawalan gula yang ketat. Jangan biarkan walau sesaat paras gula melepasi julat yang dibenarkan. Setiap angka yang meningkat paras gula boleh memburukkan lagi keadaan. Ubat untuk mengurangkan kesakitan saraf memang wujud tetapi ianya juga tiada jaminan membaikinya 100%. Sel saraf yang sudah rosak agak sukar untuk dibaiki. Oleh itu beringatlah sebelum kena.

7. Kekalkan kehidupan cergas sehari-harian. Jangan biarkan diri anda hanya terperuk di rumah tanpa mengeluarkan peluh kerana aktiviti fizikal juga boleh membantu untuk memulihkan saraf anda di samping menjaga pemakanan dan mengambil ubat-ubatan yang di sarankan oleh doktor.

7. Jika anda sudah dihinggapi oleh komplikasi penyakit saraf ini, jaga betul-betul kaki anda itu. Jangan biarkan menyepak batu atau terpijak benda keras / tajam. Gunakan kasut yang boleh menghalang dari kaki anda tercedera. Selalu bersihkan kaki bagi mengelakkan jangkitan kuman kerana sumber utama kaki buruk adalah luka dan jangkitan kuman. Kaki buruk inilah yang menyebabkan doktor akan menggunakan kepakarannya untuk potong.

8. Percayalah doktor yang bertauliah dan berautoriti. Jangan sesekali mendengar dari individu yang ingin menjual produk yang tidak pun diluluskan oleh pihak berkuasa ubat negara. Mereka hanya ingin mengaut keuntungan dengan memberikan testimoni-testimoni yang belum tentu ianya betul-betul boleh menyelamatkan kaki anda dari dipotong. Bahkan tidak ada pun kajian secara saintifik yang mengatakan produk mereka itu boleh mengawal kencing manis. Mereka hanya kelentong sahaja. Rujuklah apa sahaja maklumat yang anda terima dari doktor yang betul-betul ikhlas untuk membantu anda, bukannya ingin mengeringkan poket anda semata-mata. 

Sekian pesanan dari saya 

Suhazeli Abdullah 

9.3.2021

Tengkawang

Ulasan