Surau Ar-Rayyan RM800K Hasil Sumbangan Orang Ramai

 


Oleh: Amirullah Mansor

DUNGUN - Surau Ar-Rayyan di Bukit Merah tepi jalan Santong, Paka, menelan belanja hampir RM800,000, hasil sumbangan orang ramai telah selesai didirikan.

Pengerusi Surau berkenaan, Kholid Mahmud bersyukur dan mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang memberikan infak.

"Hasil yang diperolehi adalah daripada sumbangan orang ramai setelah kita membuka tabung derma. Semoga Allah menjadikan amal jariah setiap derma yang kita terima itu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak selepas Majlis Perasmian Surau Ar-Rayyan oleh Timbalan Pesuruhjaya II Badan Perhubungan PAS Terengganu, YB Ustaz Satiful Bahri Mamat, pada 16 Mac.

Dalam pada itu, kata beliau, surau yang berkeluasan 250 kaki persegi itu berjaya disiapkan sebelum Ramadhan dan bakal digunakan untuk beribadah sepanjang bulan mulia itu.


"Alhamdulillah, jangkaan surau ini siap sebelum Ramadhan mencapai sasaran bahkan awal sebulan siap," ujarnya lagi.

Sehubungan itu, YB Ustaz Satiful mengucapkan tahniah kepada jawatankuasa pembinaan surau tersebut yang dapat menyiapkannya lebih awal.

"selari dengan kebenaran solat terawih yangdimumkan kerajaan, saya harap agar masyarakat dapat menghidupkan surau ini pada bulan Ramadhan yang akan tiba. 

"Saya sempat berkuliah dan rasmi di sini semalam dan sempat merasai kedinginan kipas gergasi tu yang mana akan memberi keselesaan para jemaah untuk beribadat terutama bulan Ramadhan nanti," ujarnya ketika dihubungi.

Ulasan