Afghanistan hormati keputusan Amerika Ssyarikat (AS) menarik tentera dan akan bekerjasama bagi memastikan proses pengunduran berjalan lancar.
Presidennya Mohammed Ashraf Ghani berkata, negaranya akan bekerjasama NATO dalam usaha perdamaian yang berterusan.
"Pasukan keselamatan dan pertahanan Afghanistan yang dibanggakan sepenuhnya mampu mempertahankan rakyat dan negaranya, yang telah mereka lakukan selama ini, bangsa Afghanistan akan tetap bersyukur," katanya selepas perbualan telefon dengan rakan sejawatannya dari Amerika pada lewat hari Rabu.
Sebelum itu, Presiden AS Joe Biden memerintahkan penarikan sepenuhnya tentera Amerika dari Afghanistan selewat-lewatnya pada 11 September.
Seorang pegawai, yang tidak mahu dikenali berkata Biden menegaskan akan membawa keluar pasukan AS sepenuhnya pada ulang tahun ke-20, peristiwa 11 September 2001.
"Ini bukan berdasarkan syarat. Presiden menilai bahawa pendekatan berdasarkan syarat, yang merupakan pendekatan dua dekad terakhir, adalah resipi untuk tinggal di Afghanistan selama-lamanya,
"Dia telah mencapai kesimpulan bahawa Amerika Syarikat akan menyelesaikan penarikannya, akan menyingkirkan pasukannya dari Afghanistan sebelum 11 September." kata pegawai itu.
Berikutan pengumuman itu, Taliban mengatakan, pihaknya tidak akan menghadiri persidangan Istanbul yang akan datang sehingga semua tentera asing meninggalkan Afghanistan.
"Sehingga semua pasukan asing menarik diri sepenuhnya dari tanah air kita, Emirat Islam [Taliban] tidak akan mengambil bahagian dalam persidangan yang akan membuat keputusan mengenai Afghanistan," kata jurucakap Mohammad Naeem.
Persidangan yang dinanti-nantikan di metropolis Turki telah dijadualkan pada 24 April.
Ulasan