Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP) mendesak agar pihak kerajaan dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia untuk bertindak serius dan mengambil tindakan tegas ke atas pihak Perjudian Atas Talian GDBET333 yang bertindak mengeluarkan iklan provokasi berbentuk video yang dimuatnaik semalam.
2. Provokasi yang dimainkan dalam iklan tersebut seakan satu proses normalisasi kepada masyarakat Islam khususnya dengan menjadikan perjudian boleh "dibersihkan" begitu sahaja yang akhirnya mengundang sikap tidak jijik dengan perjudian tanpa merasai perkara tersebut adalah terlarang dalam agama Islam.
3. Iklan tersebut telah menyelar kesucian & kehormatan bulan Ramadhan ini dilihat dengan sengajanya mencabar Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan yang termaktub Islam sebagai agama Persekutuan, dalam keadaan majoriti umat Islam berada dalam fasa perubahan diri dan peningkatan taqwa dengan Tarbiah Ramadan.
4. Lebih mendukacitakan lagi, iklan tersebut dengan tanpa segan silunya mengetengahkan anak-anak muda Melayu-Islam sebagai pelakonnya serta berlatarbelakangkan sambutan Hari Raya Aidulfitri.
5. Hari Raya Aidilfitri yang sepatutnya menjadi hari kemenangan umat Islam, natijah daripada keberhasilan pembetukan jati diri di bulan Ramadan, namun akhirnya disalahertikan dan dieksploitasi matlamatnya, dengan iklan yang tidak bertanggungjawab ini.
6. Justeru, keangkuhan yang benar-benar mencabar perundangan negara ini dan tatasusila kewarganegaraan ini perlu diambil tindakan undang-undang sesegera mungkin.
7. Pihak yang tidak bertanggungjawab itu wajib dibawa ke muka pengadilan berlunaskan undang-undang melalui Akta Pertaruhan 1953 dan Akta Komunikasi Dan Multimedia 1998 melalui Suruhanjaya Komunikasi Dan Multimedia Malaysia (SKMM).
8. Perkara ini tidak boleh dikompromi lagi, sehingga maruah agama Islam dipijak rakus dengan wujudnya normalisasi perkara yang jelas diharamkan syariat serta membawa mudarat sosial ini.
9. Ayuh kita bangkit dan sedarkan diri bersama, untuk mempertahankan kemurnian agama Islam yang kita cintai ini, daripada anasir-anasir yang berusaha menjauhkan umat dari Islam, apatah lagi ianya merobek semangat jihad yang diterapkan oleh Rasulullah S.A.W. dalam siri-siri peperangan baginda di bulan Ramadan.
Firman Allah SWT :
(یَـٰۤأَیُّهَا ٱلَّذِینَ ءَامَنُوۤا۟ إِنَّمَا ٱلۡخَمۡرُ وَٱلۡمَیۡسِرُ وَٱلۡأَنصَابُ وَٱلۡأَزۡلَـٰمُ رِجۡسࣱ مِّنۡ عَمَلِ ٱلشَّیۡطَـٰنِ فَٱجۡتَنِبُوهُ لَعَلَّكُمۡ تُفۡلِحُونَ)
Maksudnya :
Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan Syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya. - [Surah Al-Ma'idah 90]
Ulamak Perteguh Muafakat
Islam Memperkukuh Perpaduan
*YB USTAZ MOHD NOR HAMZAH*
Ketua Penerangan
Dewan Ulamak PAS Pusat
https://www.facebook.com/112140085517515/posts/4063573410374143/
Ulasan