Dilema Perpaduan


Semua agama, ideologi dan teori mengajak kepada perpaduan mengikut prinsip, konsep dan hala tuju masing-masing. Terdapat fahaman yang berkonsepkan bangsa dan keturunan, dan ada juga yang berasaskan satu agama serta berteraskan kepentingan politik, ekonomi atau sempadan wilayah. 

Islam berpandukan petunjuk Kitab Allah (al-Quran) dan hikmah (kebijaksanaan) pelaksanaannya oleh Rasulullah SAW (al-Sunnah). Bahkan, Islam juga menegaskan pendekatannya bagi mewujudkan perpaduan mengikut petunjuk tersebut. Suatu petunjuk yang tidak berpisah daripada ajaran al-Quran dan hikmahnya.

Agama Islam membawa rahmat kepada seluruh alam dan masyarakat yang majmuk, tanpa sempadan dan perbezaan. Maka Islam menyatakan konsep perpaduan yang sebenar, secara terang dan nyata tanpa boleh dikelirukan oleh mereka yang berpura-pura dan tidak ikhlas dalam amalan dan tujuannya.

Manusia juga mempunyai fitrah jasad, roh, akal dan bermasyarakat madani. Maka, prinsip dan konsep perpaduan dalam Islam bersifat holistik.  

Adapun perpecahan yang berlaku dalam kalangan yang mengaku Islam, berpunca daripada pendekatan masing-masing. Walaupun masing-masing berpegang dengan al-Quran yang sama dan menghadap kiblat serta berada dalam masjid yang sama. Mengapa masing-masing tetap juga berpecah belah?

Puncanya ialah tidak mematuhi ajaran Islam yang sebenar daripada sumber petunjuk dan hukumnya.

Marilah kita bersama-sama membaca dan mengkaji al-Quran dengan ilmu. Bukan membuat kenyataan tanpa berasaskan ilmu atau buta al-Quran yang lebih buruk daripada buta huruf.

Selain itu, janganlah menjadi jahil murakkab dengan merasa tahu semua perkara, walhal sekadar berilmu dalam aspek yang terhad dalam sebahagian kecil daripada bidang aqidah, syariat dan tasawuf sahaja.

Hal ini demikian kerana, Allah SWT mewahyukan al-Quran menjadi petunjuk yang sempurna. Khususnya di bulan Ramadhan yang digalakkan kepada setiap umat bertadarus membaca al-Quran yang merupakan mukjizat ilmu yang tetap dipelihara oleh Allah SWT. Firman-Nya:

﴿إِنَّا نَحْنُ نَزَّلْنَا الذِّكْرَ وَإِنَّا لَهُ لَحَافِظُونَ٩﴾ 

“Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan al-Quran, dan sesungguhnya Kamilah yang memelihara dan menjaganya.” (Surah al-Hijr: 9)

Oleh itu, Allah SWT menegaskan melalui firman-Nya:

﴿...فَإِنْ تَنَازَعْتُمْ فِي شَيْءٍ فَرُدُّوهُ إِلَى اللَّهِ وَالرَّسُولِ إِنْ كُنْتُمْ تُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ ذَلِكَ خَيْرٌ وَأَحْسَنُ تَأْوِيلًا٥٩﴾ 

“…Kemudian jika kalian saling berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kalian mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (al-Quran) dan (Sunnah) Rasul-Nya; jika kalian benar-benar beriman kepada Allah dan Hari Akhirat. Demikian adalah lebih baik (bagi kalian), dan lebih elok pula kesudahannya.” (Surah al-Nisa’: 59)

Maka,  penganut Islam berkeyakinan dan beriman hanya Islam sahaja yang berpijak atas landasan yang betul dan berpandukan hidayah yang memandu akal manusia yang pasti ada kelemahannya. Hanya Allah SWT Pencipta alam, Tuhan yang Maha Mengetahui apakah yang terbaik bagi manusia dengan sifat rahmat dan adil-Nya. Firman Allah SWT:

﴿الْحَقُّ مِنْ رَبِّكَ فَلَا تَكُونَنَّ مِنَ الْمُمْتَرِينَ١٤٧﴾

“Kebenaran (yang datangnya kepadamu dan disembunyikan oleh kaum Yahudi dan Nasrani) itu (wahai Muhammad), adalah datangnya daripada Tuhanmu; oleh itu janganlah sekali-kali kalian termasuk dalam kalangan orang-orang yang ragu-ragu.” (Surah al-Baqarah: 147)

Ayat di atas menegaskan bahawa petunjuk Allah SWT iaitu agama Islam bersifat sempurna merangkumi segala aspek kejadian manusia, tujuan dan keperluannya. Hanya petunjuk Allah SWT sahaja yang menunjukkan cara perpaduan yang sebenar. Justeru, selain daripada itu pasti akan berlaku perpecahan yang memusnahkan.

Allah SWT berfirman:

﴿وَأَنَّ هَذَا صِرَاطِي مُسْتَقِيمًا فَاتَّبِعُوهُ وَلَا تَتَّبِعُوا السُّبُلَ فَتَفَرَّقَ بِكُمْ عَنْ سَبِيلِهِ ذَلِكُمْ وَصَّاكُمْ بِهِ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ١٥٣﴾ 

“Dan bahawa sesungguhnya inilah jalan-Ku (agama Islam) yang betul dan lurus, maka hendaklah kalian menurutinya; dan janganlah kalian menuruti jalan-jalan (selain daripada Islam), kerana jalan-jalan (yang lain itu) mencerai-beraikan kalian daripada jalan Allah. Oleh yang demikian itulah, Allah memerintahkan supaya kalian bertaqwa.” (Surah al-An‘am: 53)

Islam membahagikan hukum perpaduan kepada dua, iaitu perpaduan yang diwajibkan dan haram berpecah belah. Namun, terdapat juga perpaduan yang diharamkan dan wajib berpecah belah, mengikut neraca pertimbangan yang betul dan salah dalam perkara baik dan jahat, adil dan zalim. Pada masa yang sama, diizinkan berlakunya perbezaan pendapat dalam perkara tertentu. Sebagaimana firman Allah SWT:

﴿…وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ وَاتَّقُوا اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ٢﴾ 

“…Dan hendaklah kalian saling bertolong-tolongan dalam membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kalian saling bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan...” (Surah al-Ma’idah: 2)

Maka, bersatu kerana kebaikan adalah wajib dan haram berpecah belah dalam menegakkannya. Manakala, bersatu kerana kejahatan adalah haram dan wajib berpecah belah daripada golongan tersebut. Di samping itu, dibolehkan bertasamuh (bertoleransi) dalam beberapa perkara yang berbeza mengikut fitrah masing-masing.

Allah SWT menunjukkan pendekatan dalam merealisasikan perpaduan umat sepertimana yang dibentuk oleh Rasulullah SAW di Madinah. Perpaduan umat bagi menegakkan Islam yang sempurna dan adil kepada semua manusia. Baginda SAW terlebih dahulu memulakan perpaduan dalam kalangan umat Islam daripada semua bangsa dan suku kaum bagi mencipta golongan yang berintegriti dengan iman, amal soleh dan akhlak yang melahirkan sifat taqwa penentu manusia terbaik. 

Kemudian, diikuti pula dengan umat manusia dalam masyarakat majmuk bersama penganut bukan Islam yang tidak ekstrem daripada kalangan kaum Yahudi, Nasrani (Kristian) dan Musyrikin. Seterusnya dimeteraikan Sohifah Madinah (Perlembagaan Madinah) secara bertulis yang terkenal dan bersejarah.  

Islam menolak konsep perpaduan Ahzab (persekutuan yang ditaja oleh para pemimpin Yahudi dan Musyrikin), suatu gabungan kumpulan yang sesat dan paling dimurkai oleh Allah SWT. Kumpulan tersebut disokong oleh orang-orang munafiq yang tidak ikhlas dengan berpura-pura anutan Islam mereka dan berkonsepkan oportunis semata-mata tanpa mengira benar dan salah.  

Walaupun penganut Yahudi itu dikenali dengan ahli Kitab, kerana bersama mereka Kitab Taurat dan para Rasul yang diimani juga oleh orang-orang Islam, tetapi mereka dimurkai oleh Allah SWT kerana menentang kebenaran Islam dan Nabi Muhammad SAW. Maka, gabungan yang bertujuan untuk menentang Islam ditolak oleh Allah SWT, bahkan ia diharamkan. Sehingga umat Islam diwajibkan supaya menentang kumpulan tersebut.

Allah SWT berfirman:

﴿أَلَمْ تَرَ إِلَى الَّذِينَ أُوتُوا نَصِيبًا مِنَ الْكِتَابِ يُؤْمِنُونَ بِالْجِبْتِ وَالطَّاغُوتِ وَيَقُولُونَ لِلَّذِينَ كَفَرُوا هَؤُلَاءِ أَهْدَى مِنَ الَّذِينَ آمَنُوا سَبِيلًا٥١﴾ 

“Apakah kamu memerhatikan (dan merasa pelik wahai Muhammad) kepada orang-orang yang telah diberikan sebahagian dari Kitab (Taurat)? Mereka percaya kepada jibt dan thaghut (Tuhan selain Allah dan para pemimpin yang sesat, dan mereka (para agamawan) pula berkata kepada orang-orang kafir (kaum Musyrik di Makkah) bahawa mereka (kaum Musyrik itu) lebih benar jalan agamanya daripada orang-orang yang beriman (kepada Nabi Muhammad SAW).” (Surah al-Nisa’: 51)

Walaupun mereka bertaraf agamawan kerana ilmu agama yang dimiliki dan mengetahui akan kebenaran Islam dan Rasulullah SAW, tetapi mereka menentangnya dan memberikan semangat kepada musuh Islam supaya turut bersama menentang Islam dan umatnya. 

Bersama-sama mereka pula terdapat golongan munafiq yang sentiasa bersembahyang berimamkan Rasulullah SAW, mendengar khutbah, membaca al-Quran serta mendirikan masjid, tetapi menjadi pengkhianat terhadap Islam dan umatnya.

Antara kepercayaan mereka ialah Islam tidak akan berjaya tanpa bersekongkol dengan musuh, kerana mereka menjadikan kemenangan untuk kepentingan diri dan kumpulannya sahaja. Allah SWT mendedahkan sikap mereka dalam ayat-ayat yang paling banyak dalam al-Quran. Antaranya ialah firman-Nya:

﴿وَمِنَ النَّاسِ مَنْ يَقُولُ آمَنَّا بِاللَّهِ وَبِالْيَوْمِ الْآخِرِ وَمَا هُمْ بِمُؤْمِنِينَ٨ يُخَادِعُونَ اللَّهَ وَالَّذِينَ آمَنُوا وَمَا يَخْدَعُونَ إِلَّا أَنْفُسَهُمْ وَمَا يَشْعُرُونَ٩ فِي قُلُوبِهِمْ مَرَضٌ فَزَادَهُمُ اللَّهُ مَرَضًا وَلَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ بِمَا كَانُوا يَكْذِبُونَ١٠ وَإِذَا قِيلَ لَهُمْ لَا تُفْسِدُوا فِي الْأَرْضِ قَالُوا إِنَّمَا نَحْنُ مُصْلِحُونَ١١ أَلَا إِنَّهُمْ هُمُ الْمُفْسِدُونَ وَلَكِنْ لَا يَشْعُرُونَ١٢﴾ 

“Dan antara manusia ada yang berkata: ‘Kami telah beriman kepada Allah dan kepada Hari Akhirat’, padahal mereka sebenarnya tidak beriman. (8); Mereka hendak memperdayakan Allah dan orang-orang yang beriman, padahal mereka hanya memperdayakan dirinya sendiri, sedang mereka tidak menyedarinya. (9); Dalam hati mereka (golongan yang munafiq itu) terdapat penyakit (syak dan hasad dengki), maka Allah tambahkan lagi penyakit itu kepada mereka; dan mereka pula akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya, dengan sebab mereka berdusta (dan mendustakan kebenaran). (10); Dan apabila dikatakan kepada mereka: ‘Janganlah kalian membuat bencana dan kerosakan di muka bumi’, mereka menjawab: ‘Sesungguhnya kami orang-orang yang hanya membuat kebaikan.’ (11); Ketahuilah! Bahawa sesungguhnya mereka itulah orang-orang yang sebenar-benarnya membuat bencana dan kerosakan, tetapi mereka tidak menyedarinya. (12).” (Surah al-Baqarah: 8-12)

Firman Allah SWT:

﴿بَشِّرِ الْمُنَافِقِينَ بِأَنَّ لَهُمْ عَذَابًا أَلِيمًا١٣٨ الَّذِينَ يَتَّخِذُونَ الْكَافِرِينَ أَوْلِيَاءَ مِنْ دُونِ الْمُؤْمِنِينَ أَيَبْتَغُونَ عِنْدَهُمُ الْعِزَّةَ فَإِنَّ الْعِزَّةَ لِلَّهِ جَمِيعًا١٣٩﴾ 

“Sampaikanlah khabar berita kepada orang-orang munafiq; bahawa sesungguhnya disediakan untuk mereka azab seksa yang tidak terperi sakitnya. (138); (Iaitu) orang-orang yang mengambil orang-orang kafir (yang bermusuh terhadap Islam) menjadi teman-teman penolong yang setia dengan meninggalkan orang-orang Mukmin. Apakah patut mereka (orang-orang munafiq) mencari kekuatan dan kemuliaan di sisi orang-orang kafir itu, kerana sesungguhnya kekuatan dan kemuliaan itu semuanya ialah milik Allah (diberikannya kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya). (139).” (Surah al-Nisa’: 138-139)

Mereka juga berpura-pura mendirikan masjid. Allah SWT menjelaskannya melalui firman-Nya:

﴿وَالَّذِينَ اتَّخَذُوا مَسْجِدًا ضِرَارًا وَكُفْرًا وَتَفْرِيقًا بَيْنَ الْمُؤْمِنِينَ وَإِرْصَادًا لِمَنْ حَارَبَ اللَّهَ وَرَسُولَهُ مِنْ قَبْلُ  وَلَيَحْلِفُنَّ إِنْ أَرَدْنَا إِلَّا الْحُسْنَى  وَاللَّهُ يَشْهَدُ إِنَّهُمْ لَكَاذِبُونَ١٠٧﴾ 

“Dan (antara orang-orang munafiq itu) ada orang-orang yang membina masjid dengan tujuan memndatangkan mudarat (kepada orang-orang beriman), dan (menguatkan) kekufuran serta memecah-belahkan perpaduan orang-orang yang beriman, dan juga untuk (dijadikan tempat) intipan bagi orang yang telah memerangi Allah dan Rasul-Nya sebelum itu. Dan (apabila tujuan mereka yang buruk itu ketara), mereka akan bersumpah dengan berkata: ‘Tidaklah yang kami kehendaki (dengan mendirikan masjid ini) melainkan untuk kebaikan semata-mata.’ Dan Allah menyaksikan, bahawa sesungguhnya mereka adalah berdusta (dalam sumpahnya).” (Surah al-Taubah: 107)

Al-Quran merupakan kitab petunjuk dan mukjizat yang berkekalan sepanjang zaman. Sedangkan Rasulullah SAW pula adalah Rasul akhir zaman yang diutuskan kepada seluruh manusia. Justeru itu, seluruh ajaran dan petunjuknya laksana lampu suluh sepanjang perjalanan hidup manusia, dahulu, terkini dan akan datang.

Umat Islam wajib memimpin seluruh manusia bersama Islam di mana sahaja mereka berada. Mereka tidak sepatutnya diarahkan oleh pihak yang lain, tetapi merekalah yang sepatutnya menyelamatkan semua manusia dengan petunjuk Islam.

Rasulullah SAW bersabda menyatakan cabaran yang akan berlaku pada akhir zaman, perkara yang tidak berlaku pada zamannya:

‌سَيَخْرُجُ ‌قَوْمٌ ‌فِي ‌آخِرِ ‌الزَّمَانِ، ‌أَحْدَاثُ ‌الأَسْنَانِ، ‌سُفَهَاءُ ‌الأَحْلَامِ، يَقُولُونَ مِنْ خَيْرِ قَوْلِ البَرِيَّةِ، لَا يُجَاوِزُ إِيمَانُهُمْ حَنَاجِرَهُمْ، يَمْرُقُونَ مِنَ الدِّينِ، كَمَا يَمْرُقُ السَّهْمُ مِنَ الرَّمِيَّةِ، فَأَيْنَمَا لَقِيتُمُوهُمْ فَاقْتُلُوهُمْ، فَإِنَّ فِي قَتْلِهِمْ أَجْرًا لِمَنْ قَتَلَهُمْ يَوْمَ القِيَامَةِ.

“Akan muncul pada akhir zaman satu kumpulan yang mentah ucapannya dan dangkal fikirannya, mereka mampu berucap dengan seindah ucapan (membaca al-Quran) sedangkan imannya sekadar di kerongkong sahaja (tidak masuk ke dalam hati), mereka mudah keluar daripada agama laksana meluncurnya anak panah daripada busurnya. Maka, di mana sahaja kalian temui mereka, tentanglah mereka habis-habisan, nescaya Allah memberikan pahala yang berpanjangan sehingga Hari Kiamat.” (Riwayat al-Bukhari 6930, Muslim 1066 dan lain-lain)

Pada zaman dahulu mereka dikenali dengan kumpulan Khawarij yang mudah menghukum seseorang dengan jahil. Terkini pula dikenali dengan kumpulan liberal yang longgar terhadap Islam dan pelampau yang berwajah Islam, tetapi memberikan imej yang salah dan buruk kepada Islam. 

Mereka menunjukkan amalan Islam tanpa bertafaqquh dan tidak beristiqamah (kefahaman yang konsisten) berkenaan ajaran Islam kerana tidak mendalami ilmu Islam yang sempurna. Maka, mereka sangat mudah diperalatkan oleh musuh Islam bagi menentang Islam daripada dalaman umat atau memberikan peluang yang mudah kepada musuh Islam bagi merosakkan kemurnian agama.

Kini, isu perpaduan umat sangat diperkatakan dan diperlukan bagi mengembalikan semula kedudukannya sehingga semua pihak membawa agenda perpaduan. Maka, Allah SWT menerangkan secara terperinci kumpulan yang mengikut ciri-ciri yang telah dinyatakan oleh Allah SWT dalam ayat-ayat yang banyak, antaranya ialah firman-Nya:

﴿وَاعْتَصِمُوا بِحَبْلِ اللَّهِ جَمِيعًا وَلَا تَفَرَّقُوا وَاذْكُرُوا نِعْمَتَ اللَّهِ عَلَيْكُمْ إِذْ كُنْتُمْ أَعْدَاءً فَأَلَّفَ بَيْنَ قُلُوبِكُمْ فَأَصْبَحْتُمْ بِنِعْمَتِهِ إِخْوَانًا وَكُنْتُمْ عَلَى شَفَا حُفْرَةٍ مِنَ النَّارِ فَأَنْقَذَكُمْ مِنْهَا كَذَلِكَ يُبَيِّنُ اللَّهُ لَكُمْ آيَاتِهِ لَعَلَّكُمْ تَهْتَدُونَ١٠٣ وَلْتَكُنْ مِنْكُمْ أُمَّةٌ يَدْعُونَ إِلَى الْخَيْرِ وَيَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ وَأُولَئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ١٠٤ وَلَا تَكُونُوا كَالَّذِينَ تَفَرَّقُوا وَاخْتَلَفُوا مِنْ بَعْدِ مَا جَاءَهُمُ الْبَيِّنَاتُ وَأُولَئِكَ لَهُمْ عَذَابٌ عَظِيمٌ١٠٥﴾ 

“Dan berpegang teguhlah kalian semua kepada tali Allah (agama Islam), dan janganlah kalian berpecah belah; dan kenanglah ni‘mat Allah kepada kalian ketika kalian bermusuh-musuhan (semasa jahiliah dahulu), lalu Allah menyatukan antara hati kalian (sehingga kalian bersatu-padu dengan ni‘mat Islam), maka dengan ni‘mat Allah itu kalian menjadi orang-orang Islam yang bersaudara. Dan kalian dahulu telah berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kalian semasa jahiliah), lalu Allah menyelamatkan kalian dari neraka itu (disebabkan ni‘mat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kalian ayat-ayat keterangan-Nya, supaya kalian mendapat petunjuk hidayah-Nya. (103); Dan hendaklah ada antara kalian satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang ma‘ruf, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya. (104); Dan janganlah kalian menjadi seperti orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang telah bercerai-berai dan berselisihan (dalam agama mereka) sesudah datang kepada mereka keterangan-keterangan yang jelas nyata (yang dibawa oleh Nabi-nabi Allah), dan mereka yang bersifat demikian, akan beroleh azab seksa yang besar. (105).” (Surah Ali ‘Imran: 103-105)

Ayat di atas menyatakan bahawa perpaduan itu hanyalah bersama Islam. Seteruskan mewujudkan kumpulan yang berkuasa dengan mengajak manusia kepada Islam dan memimpin bersama Islam bagi menegakkan amar ma‘ruf dan nahi munkar dalam segala aspek. 

Kemampuan dalam memimpin perpaduan oleh para pemimpin berintegriti yang berlandaskan iman, amal soleh dan akhlak yang bertaqwa. Firman Allah SWT:

﴿إِنَّمَا وَلِيُّكُمُ اللَّهُ وَرَسُولُهُ وَالَّذِينَ آمَنُوا الَّذِينَ يُقِيمُونَ الصَّلَاةَ وَيُؤْتُونَ الزَّكَاةَ وَهُمْ رَاكِعُونَ٥٥﴾ 

“Sesungguhnya Penolong kalian hanyalah Allah, dan Rasul-Nya, serta orang-orang yang beriman, yang mendirikan sembahyang, dan menunaikan zakat, sedang mereka itu ruku‘ (tunduk menjunjung perintah Allah).” (Surah al-Ma’idah: 55)

Integriti berlaku dengan adanya kesetiaan kepada Allah SWT dan kebertanggungjawaban terhadap masyarakat dengan ikhlas (ruku’ mematuhi perintah Allah). Bukan sekadar dengan ucapan dan berpura-pura dengan lagak lakonannya sahaja. 

Perpaduan wajib diwujudkan dalam kalangan umat Islam yang istiqamah, bahkan boleh disertai oleh kalangan bukan Islam yang tidak ekstrem.

Kalangan orang Islam yang tidak istiqamah ialah mereka yang bersikap liberal atau melampau kerana tidak bertafaquh dalam agamanya walaupun kuat tetapi merosakkan wajah Islam. Maka, perpaduan bersama bukan Islam yang ekstrem gagal diwujudkan kerana mereka menunjukkan permusuhannya secara sembunyi dan nyata menjadi penghalang kepada agenda perpaduan umat.

Kita perlu menolak apa sahaja jenama Islam yang membolehkan bersekongkol dengan musuh yang nyata zalimnya atau nyata permusuhannya terhadap Islam. Allah SWT mendedahkan tentang perkara tersebut melalui firman-Nya:

﴿إِنَّا أَنْزَلْنَا إِلَيْكَ الْكِتَابَ بِالْحَقِّ لِتَحْكُمَ بَيْنَ النَّاسِ بِمَا أَرَاكَ اللَّهُ وَلَا تَكُنْ لِلْخَائِنِينَ خَصِيمًا١٠٥﴾

“Sesungguhnya Kami menurunkan kepadamu (wahai Muhammad) Kitab (al-Quran) dengan membawa kebenaran, supaya engkau menghukum  antara manusia menurut apa yang Allah telah menunjukkan kepadamu (melalui wahyu-Nya); dan janganlah kamu menjadi penentang (orang yang tidak bersalah), kerana (membela) orang-orang yang khianat.” (Surah al-Nisa’: 105)

Demi perpaduan kemanusiaan sejagat, maka Islam mewajibkan supaya berlaku adil, sekalipun terhadap musuh yang paling dibenci. Hanya mereka yang mempunyai ketahanan integriti dengan beriman dan bertaqwa bersama Islam sahaja mampu melaksanakannya, sehingga seorang musuh boleh bertukar menjadi kawan. Firman Allah SWT:

﴿يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُونُوا قَوَّامِينَ لِلَّهِ شُهَدَاءَ بِالْقِسْطِ وَلَا يَجْرِمَنَّكُمْ شَنَآنُ قَوْمٍ عَلَى أَلَّا تَعْدِلُوا اعْدِلُوا هُوَ أَقْرَبُ لِلتَّقْوَى وَاتَّقُوا اللَّهَ  إِنَّ اللَّهَ خَبِيرٌ بِمَا تَعْمَلُونَ٨﴾ 

“Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kalian semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, menjadi saksi dengan adil; dan jangan sekali-kali kebencian kalian terhadap sesuatu kaum itu mendorong kalian untuk tidak berlaku adil. Hendaklah kalian berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kalian lakukan.” (Surah al-Ma’idah: 8)

Islam mencipta sejarah keemasan, apabila ajarannya diterima oleh seluruh manusia dalam masyarakat majmuk kerana keadilannya, bukan kerana takutkan kezalimannya. Malah tercipta tamadun Islam yang cemerlang kerana diambil segala ilmu yang bermanfaat daripada semua tamadun yang telah runtuh sebelumnya akibat daripada kezaliman terhadap rakyat sendiri.

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS

Bertarikh: 10 Ramadhan 1442 / 22 April 2021

Ulasan