Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP) mengajak seluruh umat Islam untuk menzahirkan setinggi-tinggi kesyukuran kepada Allah SWT atas kesempatan berada di dalam Bulan Ramadhan Al-Mubarak disamping kekuatan dan kesihatan untuk melaksanakan segala yang diperintahkanNya. Justeru, DUPP menyeru seluruh Umat Islam khususnya pejuang kebenaran dan pencinta perpaduan untuk memberikan sepenuh perhatian dalam memanfaatkan kemuliaan bulan ini dengan memperbanyakkan serta mempelbagaikan amal soleh untuk sama-sama merebut ganjaran pahala berganda dari Allah SWT.
2. Walaubagaimanapun, kemunculan pelbagai isu-isu semasa di media sosoial khususnya yang berkait dengan politik tanahair menyebabkan banyak masa dihabiskan untuk melayari serta melayani berita-berita atau kiriman-kiriman terutamanya yang boleh membawa kepada pertelingkahan, permusuhan dan kebencian. Keadaan ini tentu sekali tidak selari dengan kemuliaan dan keberkatan Bulan Ramadhan.
3. Sehubungan itu, DUPP mengambil kesempatan untuk memperingatkan agar kita semua tidak merosakkan atau mengurangkan pahala Ibadah di bulan Ramadhan dengan perlakuan dan tindakan-tindakan yang tidak sepatutnya khususnya kiriman-kiriman atau komen-komen negatif di media-media sosial yang dianggap sebagai remeh oleh sebahagian kita, sedangkan disisi Allah SWT merupakan satu kesalahan besar. Friman Allah SWT:
إِذْ تَلَقَّوْنَهُ بِأَلْسِنَتِكُمْ وَ تَقُولُونَ بِأَفْواهِكُمْ ما لَيْسَ لَكُمْ بِهِ عِلْمٌ وَ تَحْسَبُونَهُ هَيِّناً وَ هُوَ عِنْد اللهِ عَظيمٌ
(Ingatlah) di waktu kamu menerima berita bohong itu dari mulut ke mulut dan kamu katakan dengan mulutmu apa yang tidak kamu ketahui sedikit juga, dan kamu menganggapnya suatu yang ringan saja. Padahal Dia pada sisi Allah adalah besar. (Surah An-Nur: 15)
4. DUPP sekali lagi mempertegaskan untuk kita semua sama-sama berperanan ke arah penyatuan dan perpaduan ummah serta menolak sebarang anasir-anasir yang membawa kepada permusuhan dan kebencian di samping tetap istiqamah dengan ketekunan pengabadian kita kepada Allah SWT sebagaimana firman Allah SWT:
رَبُّ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ وَمَا بَيْنَهُمَا فَاعْبُدْهُ وَاصْطَبِرْ لِعِبَادَتِهِ ۚ هَلْ تَعْلَمُ لَهُ سَمِيًّا
Tuhan (yang menguasai) langit dan bumi dan apa-apa yang ada di antara keduanya, maka sembahlah Dia dan berteguh hatilah dalam beribadat kepada-Nya. Apakah kamu mengetahui ada seorang yang sama dengan Dia (yang patut disembah)? (Surah Maryam: 65)
Ulamak Perteguh Muafakat
Islam Memperkukuh Perpaduan
YB DR NIK MUHAMMAD ZAWAWI BIN SALLEH
Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat
Ulasan