KUALA TERENGGANU - Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu (DPPNT) mengucapkan syabas diatas tindakan pantas pihak kerajaan dibawah kuasa MCMC yang telah menyekat penularan video ini dari terus disebarkan kepada khalayak umum.
Naib Ketuanya, Muhammad Hamdi bin Harun berkata, pihak berkuasa seperti PDRM juga menunjukkan ketegasan dengan membuka kertas siasatan dan mengambil tindakan terhadap pembikin video terbabit.
" kami mengambil maklum berkaitan penularan video iklan Hari Raya yang mempromosikan syarikat perjudian atas talian. Video ini jelas mempersendakan kesucian agama Islam serta menggalakkan masyarakat keliru dengan perbuatan judi yang telah terang-terangan diharamkan oleh agama Islam.
"Semoga dengan tindakan pantas dari pihak kerajaan ini dapat meredakan keresahan majoriti rakyat Malaysia yang bencikan najis judi," jelasnya dalam satu kenyataan media hari ini.
Oleh itu, Pemuda PAS mengharapkan kerjasama semua pihak dalam membendung kegiatan perjudian atas talian yang kini seolah-olah sudah menjadi 'trend' kepada masyarakat di negara ini.
"Najis judi ini tidak langsung dibenarkan oleh mana-mana agama yang wujud dalam dunia ini kerana kesan buruk yang timbul akibat perbuatan ini akan merosakkan masyarakat seluruh dunia," jelasnya.
Justeru, DPPNT memberi amaran keras kepada mana-mana pihak yang cuba mengelirukan pemahaman umat Islam dengan perbuatan yang tidak bertanggungjawab.
" hentikan perbuatan tersebut serta merta. Belajarlah menghormati orang lain dan agama lain dengan penuh matang dan sejahtera," tegasnya.
Ulasan