KUALA TERENGGANU - PAS tegas menyatakan sekiranya Umno di negeri ini memiliki maruah, pertembungan lebih dua penjuru pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 tidak akan berlaku sebagaimana disepakati dalam Muafakat Nasional (MN).
Ahli Jawatankuasa Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu (BPPNT), Dato’ Haji Yahaya Ali berkata, harapan itu mungkin tidak akan dapat direalisasikan, dengan sikap yang ditunjukkan parti itu ketika ini.
“Adalah tidak munasabah jika sekiranya mereka mempunyai polisi yang berbeza di peringkat nasional dan negeri-negeri lain.
“Ini mengambarkan suatu keadaan yang tidak diimpikan oleh rakyat melalui sikap yang berubah-ubah, tidak konsisten (berbeza pandangan) dari peringkat nasional sehingga ke bawah,”ujarnya.
Beliau yang juga, Yang DiPertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu berkata demikian ketika berucap pada Majlis Iftar bersama Kelab Aktivis Media Inspirasi (KAMI), di sini pada, Ahad 25 April.
Katanya, peluang telah diberikan kepada Pengerusi Umno Dato' Ahmad Said yang juga ADUN Kijal bagi membincangkan tentang pemerkasaan MN.
Sebaliknya, beliau berikan kepada wakil Hulu Besut, Nawi Mohamad dan dalam ucapannya mendakwa bahawa, politik di Terengganu tidak boleh sama dan dibuat perbandingan dengan negeri yang lain.
“Sebab Terengganu ini dia kata setelah sekian lama UMNO memerintah, PAS kembali mengambil alih, kemudian UMNO kembali berkuasa.
"Selepas itu pada PRU lepas PAS kembali berkuasa. Jadi dalam konteks negeri ini, maka perlu bertanding sama banyak,” ujarnya.
Oleh yang demikian, kata Haji Yahaya, secara jelas telah mendedahkan sikap sebenar mereka yang mahu berkuasa tanpa ambil peduli isu berkait kepentingan rakyat.
Ulasan