Kerajaan Berintegriti Visi Murabbi


Tulisan terkini Tuan Guru Presiden PAS menawarkan kerajaan berintegriti yang boleh menyelamatkan rakyat Malaysia. Integriti diukur berdasarkan 3 paksi utama iaitu paksi aqidah, paksi syariah dan paksi akhlak. 3 paksi ini melahirkan pemimpin yang tulus ikhlas lagi telus serta bertanggungjawab. 

2. Aqidah menyakini dosa dan pahala, syurga dan neraka mendorong seseorang pemimpin menjadi pemimpin berintegriti. Tindak-tanduk sebagai pemimpin bukan bimbang ditegur dan dinilai oleh rakyat semata-mata selang 5 tahun tetapi kerana menyedari dia akan dihisab di hari Akhirat yang panjang. Polis yang memantau dirinya bukannya manusia tetapi para Malaikat yang sentiasa ada di mana-mana dia berada. 

3. Syariat yang menyusun halal dan haram dalam setiap tindakan pula meletakkan seorang pemimpin sentiasa bertindak mengikut panduan wahyu al-Quran dan al-Hadis yang kaya dengan pelbagai peraturan pengurusan hidup beribadah, berkeluarga, bersosial dan berekonomi. Dia tidak hanya berfikir dengan akal yang terbatas dalam memikirkan kebaikan untuk rakyat dan menolak kemudaratan tetapi dipandu dengan pedoman wahyu ilahi. 

4. Akhlak Islam yang membentuk sakhsiyah dan keperibadian seorang pemimpin menjadikan dirinya seorang pemimpin yang sentiasa berinteraksi dengan rakyat secara penuh tawaduk, tidak sombong, mesra rakyat, tidak kedekut, pemurah, bersifat penyayang berkasihan belas, mudah berurusan, memudahkan tidak memayahkan dan sentiasa menjadi pendengar yang baik terhadap rintihan rakyat.

5. Inilah tawaran kerajaan berintegriti penyelamat rakyat oleh PAS sebagaimana ditekankan oleh *Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang, Murabbi dan Imam Ummah*.

Dr Khairuddin Aman Razali

Ulasan