Kita Tukar Undang-undang Lah....


 Memang menjadi rutin saya bila pulang ke kampung, bertemu dengan beberapa pimpinan PAS sambil bersembang mengenai politik Terengganu. Banyak cerita yang di sebalik tabir, diceritakan. Ada yang lucu dan ada yang serius. Dan seperti biasa, oleh kerana semua cerita itu bukan rahsia yang perlu saya simpan, maka saya biasanya akan kongsikan, menjadi santapan bacaan kepada anda semua dengan kebenaran tuannya. Kalau kita dipesan rahsia atau 'off record', tak boleh lah dikongsi. Kepercayaan orang  jangan kita permudahkan, bukan semua benda boleh dikongsi.


Rasanya ramai sudah tahu berkenaan kritikan yang banyak dari penyokong PAS kepada kerajaan Terengganu berkaitan isu tidak melaksanakan apa yang disifatkan sebagai dasar Islamisasi. Kebanyakannya menzahirkan kekecewaan dengan apa yang telah berlaku. Kata mereka, apa bezanya dengan kerajaan dahulu? Sehinggakan ada pengkuliah PAS mendakwa, lebih baik keadaan pemerintahan dizaman Razif dahulu berbanding sekarang. Pening kepala dengan ustaz yang jenis begini.


Ada cadangan yang meminta kepada pengurusan dalam dakwah di pihak kerajaan untuk mengkoordinasikan bahan kuliah kepada pengkuliah. Maklumkan melalui NGO dakwah seperti RABITHAH atau PAKAT, dasar-dasar kerajaan yang telah dibuat, apa masalahnya kepada yang belum dilaksanakan. Kelihatannya cadangan itu, tidak melanggar peraturan kebenaran tauliah kerana kita memasukkan elemen hebahan aktiviti kerajaan dan bukannya menanam politik kebencian sebagaimana yang dilarang oleh Tuanku Sultan.


Dengan maklumat yang diselitkan itu, disamping kuliah seperti mana biasa, maka ia menjadi bagaikan khutbah juga, kerana dalam khutbah, ia akan memaklumkan kehendak kerajaan dan hal berkaitan isu semasa. Malah hebahan menerusi kuliah itu akan menjadi lebih menyeluruh kerana ia berlangsung serentak, disampaikan oleh ramai penceramah melalui siaran 'live' dan lebih utama, biasanya pendengar tidak tidur mendengar kuliah 'live', tidak seperti ketika mendengar khutbah.


Ada ahli yang saya dimaklumkan mengamuk dengan sikap kerajaan. Malah sehingga mengesyorkan untuk diubah undang-undang bagi menunjukkan kegeraman mereka itu semua. Bagi yang tidak tahu peraturan, urusan tauliah mengajar juga mahu mereka campuri. Sepertinya mahu mencari pasal dengan Sultan. Sedangkan cerita pasal berkelahi dengan Sultan ini, sudah banyak contohnya. Akhirnya tidak ke mana. Macamlah anak perempuan berbalah besar dengan bapanya. Tiba masa mahu berkahwin, bapanya juga yang dicari untuk menjadi wali.


Dahulu ketika Terengganu dirampas royaltinya, agak lantang juga suara meminta Terengganu melihat semula status keberadaannya dalam Persekutuan Malaysia. Bising lah suara mengajak untuk keluar Malaysia. Kalau diikutkan kegeraman, boleh sahaja membuat kempen sebegitu, tetapi pasti yang mula-mula akan menjadi sasaran tangkapan ialah pimpinan PAS atas tuduhan menghasut. Akhirnya negeri akan terlepas kerana eksekutifnya ditangkap.


Mengimbau semula apa yang berlaku di Kelantan ketika BN memerintah. MB dan Sultan tidak 'berlaga angin'. Akhirnya tahun 1990, MB dan pasukannya dikalahkan. Mungkin ramai yang masih ingat bagaimana kempen menyokong PAS sehingga dibawa di dalam khutbah. BN kena kosong pada waktu itu dengan semua kerusi Dun dan Parlimen, PAS sapu bersih.


Di Perlis juga pernah berlaku pertikaian melantik calon antara Pengerusi Badan Perhubungan Umno dengan istana. Akhirnya Umno tunduk lesu. Di Selangor, isu dengan almarhum Tuanku Sultan Selangor dengan bekas MB yang sangat terkenal dengan ayat sinis yang disebut Tuanku, "Nanti beta pun kena duduk Pulau Ketam" pasti menjadi senyuman kepada kalangan yang mengikuti rapat politik Selangor tahun 90-an. MB itu akhirnya kalah.


Sultan Perak juga pernah berselisih faham dengan kepimpinan negeri atas asbab perlantikan individu yang tidak disukai Tuanku menjadi MB. Di Kelantan, walaupun nama Exco yang dipersembahkan oleh Kerajaan Negeri, namun tetap ada yang tidak diperkenan oleh istana. Di Terengganu, isu menggelarkan Tuanku Sultan juga jelas menjadi titik hitam kepada politik tanahair. Semua ini akhirnya, ahli politik terpaksa mengadap kembali Tuanku bagi memohon ampun dan perkenan.


Adakah bijak membuat cadangan yang separuh masak bagi memuaskan hati kerana mahukan apa yang kita kehendaki setelah hasilnya kita dapat mengagaknya? Nabi s.a.w berpesan supaya kita sabar dengan pemerintah yang Islam. Terengganu ada hubungan yang baik dengan Sultan, dan kita mahukan ia menjadi lebih baik. Maka tidaklah bijak ada yang berfikiran pendek mencadangkan merubah undang-undang. Ahli PAS perlu tahu dan malu untuk bersikap demikian.


Apatah lagi cadangan yang tidak relevan itu hanya datang ideanya daripada cerita-cerita mulut oleh beberapa kerat yang kemudiannya mungkin dijaja. Bukankah sekarang sangat popular cerita sekerat-sekerat tentang tidak bergunanya Kerajaan Terengganu yang sampaikan dari punca yang tidak tahu sumbernya dan dipercayai semua orang? Disebarkan pula oleh orang-orang yang ada nama kerana terpedaya. Makin menyebarlah fitnah. Siapa yang mahu membaiki kerosakan ini, jika orang baik juga mempercayai fitnah?


Mohd Nasir Abdullah

19 April 2021

Ulasan