KUALA NERUS – PAS sekali lagi menekankan asas penyatuan ummah seperti digagaskan dalam deklarasi Muafakat Nasional (MN) harus melangkaui kepentingan politik.
Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man yang berkata, pihaknya bersedia untuk bekerjasama dengan parti atau mana-mana Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang ingin menjayakan misi tersebut.
“Itu adalah asasnya, PAS berpegang kepada kaedah itu, kita dan UMNO masih bermesyuarat dan MN masih juga berunding.
“PAS merupakan parti komponen berdaftar dalam Perikatan Nasional (PN), sebelum ini Setiausaha Agung PAS dan Setiausaha Agung Bersatu mengeluarkan kenyataan bersama, tindakan itu sebenarnya normal.
“Kenyataan ini bukan satu ancaman kepada UMNO, kita sampaikan mesej supaya ummah bersatu, cukuplah berpecah selama 60 tahun dan berganding bahu menghadapi Pilihanraya Umum (PRU) 15,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas upacara pelepasan Ekspedisi Sungai Nerus 2021 Negeri Terengganu Darul Iman di Jeti Kampung Tanjung Sabtu, pada Sabtu
Tambah beliau, anggapan beberapa pihak melihat PAS menolak UMNO adalah tidak benar kerana partinya masih dalam MN
“Pandangan itu dilihat kerana bila PAS didaftarkan sebagai komponen PN, ini sebenarnya tidak betul," katanya.
Beliau yang juga Menteri Alam Sekitar dan Air menyifatkan MN bukan sekadar kerangka politik namun ia dilihat sebagai kerangka penyatuan ummah.
“Ini mengatasi rangka politik kerana ia turut melibatkan pelbagai NGO, sama seperti ICERD dimana ia gabungan berpuluh NGO dan bukan didahului sebuah parti,” jelasnya.
Ulasan