PAS Marang Bantu 300 Keluarga


MARANG – PAS kawasan ini ambil ‘cakna’ kesusahan rakyat, membantu 300 keluarga yang memerlukan, agar dapat menjalani ibadat puasa di bulan Ramadan dengan sempurna.

Ahli Parlimennya, Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang berkata ia sudah tentu tidak akan lengkap jika sekiranya ada kalangan mereka yang berhadapan masalah kekurangan keperluan harian.

Apatah lagi katanya, rakyat ketika ini sedang bertarung dengan wabak Covid-19 yang sedang berlaku peningkatan kadar kebolehjangkitan yang tinggi di negeri ini, justeru bantuan dihulurkan terus-menerus.

"Berdasarkan pengiraan yang kita buat di empat Dewan Undangan Negeri (DUN) di Parlimen Marang ini, terdapat 300 keluarga menghadapi masalah kewangan dan kekurangan bekalan harian.

"Kita buatkan program (bantuan) hari ini (semalam) untuk memberikan sedikit harapan supaya cukup makan dan minum seharian sepanjang menjalani rukun Islam ketiga ini," ujarnya.

Beliau yang juga Presiden PAS berkata demikian menerusi laman sosialnya, pada Sabtu, 17 April.

Menurutnya, beliau amat memahami makna kesusahan kerana beliau sendiri datang dari keluarga yang susah.

"Inilah bantuan yang mampu kita sampaikan. Kepada mana-mana yang memiliki info berkaitan rakyat memerlukan bantuan, sila berhubung dengan Pusat Khidmat Ahli Parlimen Marang.

"Dengan izin Allah, kita akan cuba bantu sehabis mungkin, insya Allah sumbangan akan terus diberikan," ujarnya.

Ulasan