DUNGUN - Kempen mengumpul dana Sekretariat Aid4Palestine telah dilancarkan oleh YB Dato Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang Presiden PAS dan disambut oleh ahli dan pimpinan PAS disemua peringkat dengan Bukit Besi menyumbang sebanyak RM32,066.00.
Pengawai Penyelaras (DUN) Bukit Besi, Haji Ghazali Sulaiman berkata sebagai umat Islam, wajar kita bersedih di atas apa yang telah menimpa saudara-saudara kita di bumi Isra’ Mikraj itu.
Katanya, Atas dasar tanggungjawab untuk melindungi dan mempertahankan bumi Palestin dari terus ditindas Israel, kempen AID4PALESTIN dilancarkan bagi membantu saudara kita yang bertaruh nyawa mempertahankan keizzahan Al-Quds.
“Kekejaman rejim Israel, meskipun cuba ditutup oleh media-media antarabangsa telah menambah satu lagi episod penderitaan rakyat Palestin yang selama ini hidup tertindas dan terkepung di tanah air sendiri.
“Ratusan nyawa yang tidak berdosa melayang manakala infrastruktur seperti kediaman, sekolah dan bangunan kerajaan mengalami kemusnahan,” kata Haji Ghazali.
Sementara itu Haji Ghazali ketika ditemui berkata, tabung berkenaan telah mula digerakkan sejak sabtu lepas dan mendapat sambutan yang baik walaupun belum menyeluruh.
Ujarnya, kempen tabung berkenaan akan digerakkan ke seluruh DUN Bukit Besi termasuk di setiap kampung untuk mengumpul sebanyak mungkin sumbangan daripada masyarakat setempat.
“Ini adalah usaha masyarakat DUN Bukit Besi yang mampu kita lakukan dengan menghulurkan bantuan untuk membantu rakyat Palestin yang ditindas dengan begitu kejam oleh tentera Zionis,” ujarnya.
Ulasan