Penubuhan Kolej Universiti Al-Quran; Manfaatkan Sistem Zakat


Oleh: Dr Riduan Mohamad Nor. 


Pendidikan ialah alat transformasi sosial yang sangat berkesan untuk merubah sesuatu masyarakat dan peradaban. Tamadun dan peradaban Islam bertunjangkan kepada ilmu, dengan ilmu maka Islam merombak sistem nilai jahiliah dan keserakahan duniawi. Pendidikan juga menjadi alat mobiliti sosial serta agen perubahan dalam msyarakat.


Impian untuk saya meraih semaksima mungkin pahala dalam sisa- sisa umur yang berbaki ini ialah untuk mewujudkan sebuah universiti Al-Quran di negara kita berkonsepkan sistem wakaf. Ada beberapa rasional untuk menubuhkan sebuah kolej universiti ini ,memandangkan ada puluhan ribu pelajar-pelajar maahad tahfiz ,madrasah dan pondok. Kelompok santri  ini harus diberikan peluang untuk melanjutkan pendidikan tinggi  dalam kerangka ruang pendemokrasian ilmu.


Puluhan ribu santri  yang belajar diperingkat menengah diseluruh negara , banyak institusi pengajian tinggi yang menawarkan peluang untuk mereka melanjutkan pengajian diperingkat tertiari. Kolej Universiti al Quran an nur mungkin boleh menjadi satu lagi pilihan kepada pelajar agama di negara ini untuk melanjutkan pelajaran tinggi.


Belajar diperingkat  diploma dan seterusnya setelah selesai diploma boleh menyambung di mana-mana institusi pendidikan di luar negara untuk mendapatkan Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Al-Quran dan juga dalam bidang dakwah. InshaAllah Kompleks Pendidikan An Nur yang terletak di Kg Alor Belanga, Besut dengan keluasaan yang  ada  boleh menjadi one stop centre pendidikan bermula daripada pra tahfiz sehinggalah peringkat pemgajian tinggi.


 Pengalaman saya berlangbuana ke institusi pendidikan swasta termasuk ke  Indonesia, Pakistan, Afrika Utara, Algeria, Tunisia, Mesir dan Sudan, saya merasakan perlu adanya sebuah institusi pendidikan tinggi yang dapat memberikan pendidikan kepada anak-anak orang miskin.  kita merasakan perlu ada sebuah kolej universiti untuk anak-anak daripada kelompok  ini mendapat pendemokrasian pendidikan dengan yuran yang murah .


Kolej Universiti Al Quran juga boleh memanfaatkan relawan-relawan pendidikan terutamanya ilmuan yang ingin berbakti, bekas-bekas  pensyarah kampus dan mantan guru-guru berijazah yang ingin menyumbang bakti mereka kepada Kolej Universiti Al-Quran An Nur (KUIQ). Tenaga akademik dan bukan akademik relawan ini akan menjimatkan kos perbelanjaan kolej. 


Saya merasa yakin dan percaya ramai rakyat Malaysia yang ingin menyumbang dan mewakafkan harta mereka untuk bekalan di hari akhirat. Saya mencadangkan kepada muslimin muslimat untuk menyumbang harta atau mewakafkan harta mereka, contohnya sekiranya di tempat tuan- puan mempunyai lot tanah untuk diwakafkan . tak semestinya perlu mendirikan bangunan, tetapi hasil dari pertanian seperti getah, ladang sawit itu boleh niat diwakafkan kepada Kolej Universiti Al-Quran An Nur. InshaAllah harta wakaf ini nanti akan digunakan untuk menggerakkan kolej dan membiayai pendidikan mahasiswa-mahasiswi.


Projek menambun tanah telah dijalankan pada bulan Disember 2020 ,kita akan memulakan projek pembangunan KUIQ pada awal bulan zulkaedah ini. Blok utama kolej yang akan mempunyai fasiliti yang serba lengkap untuk kemudahan mahasiswa mahasiswi. Doakan Kolej Universiti Al-Quran An Nur berjaya membentuk generasi Al-Quran yang Rabbani. Jom Kita sertai kempen ini sehingga berjaya direalisasikan.

Ulasan