Tabung Palestin : Tepoh Care Berjaya Pungut RM150 Ribu


 KUALA NERUS-Pusat Khidmat Masyarakat DUN Tepoh melalui Pertubuhan Kebajikan DUN Tepoh (Tepoh Care) berjaya mengutip sumbangan untuk Tabung Kemanusiaan Palestin sebanyak RM150,000.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepoh, Hishamuddin Abdul Karim berkata, jumlah itu menyaksikan ia melepas sasaran awal iaitu RM40,000.

"Ia lahir dari kesedaran semua pihak. Walaupun saya cukup memahami, penduduk di kawasan ini bukanlah semuanya senang dan kaya. Kebanyakkan mereka dari kawasan pendalaman. Ada bergelar petani dan bekerja kampung. Mereka berkorban dengan sepenuhnya demi saudara seaqidah mereka. 

"Sikit atau banyak tidak penting, yang penting ingatan kita buat umat Islam Palestin menyebabkan kita juga dipilih Allah SWT untuk dikasihani pada hari akhirat kelak.

“Semoga segala sumbangan kita akan diberikan ganjaran dan pahala oleh ALLAH SWT dan seterusnya akan memberi manfaat kepada Palestin dan warganya,” kata beliau dilaman sosial miliknya semalam.

Jelas Hishamuddin, jumlah sumbangan terkumpul Khamis, 20 Mei lalu adalah RM115,000.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Pulai Baharu, En Lai Liang Qing,32 turut tidak ketinggalan apabila menyumbang secara peribadi kepada tabung tersebut walaupun beliau berbeza agama dan bangsa.

"Beliau turut bersemangat membantu atas dasar kemanusian. 

"Saya juga turut merakamkan penghargaan kepada semua penduduk di dalam Kawasan DUN Tepoh tidak kira tua atau muda kerana bersama-sama membantu dan berkorban untuk saudara seaqidah di Palestin," tambah beliau.

Ulasan