Kesihatan Mental; Ulama Sedia Ganding Bahu


KUALA TERENGGANU - Dewan Ulamak PAS Pusat menyokong penuh langkah kerajaan dan sedia berganding bahu dalam menangani isu kesihatan mental dalam kalangan masyarakat berikutan pandemik Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketua Penerangannya, YB Ustaz Mohd Nor Hamzah beekata, ia meeupakan satu keperluan mendesak dan perlu 'intervensi sosial' diperkemaskan dari semasa ke semasa.

"Usaha Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) mewujudkan Dasar Kaunseling Negara, memperkukuhkan perkhidmatan runding cara merupakan satu langkah yang tepat. Apatah lagi, perkhidmatan Talian Kasih yang beroperasi 24 jam juga mendapat respon positif daripada masyarakat. 

"Pada masa yang sama, tindakan KPWKM yang akan memperluaskan jaringan kerjasama dengan semua pihak termasuk guru bersara dan kaunselor sekolah melalui khidmat nasihat dalam membantu masyarakat yang mengalami tekanan dan kemurungan disebabkan pandemik merupakan satu inisiatif yang terbaik," jelasnya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media, hari ini

Selain itu, kata beliau, kerjasama perlu dipertingkatkan antara KPWKM dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan majlis agama setiap negeri.

"Setiap masalah yang melanda, pasti akan ada jalan penyelesaiannya.

"Isu tekanan jiwa dan kemurungan dalam kalangan masyarakat juga tidak terkecuali, dinyatakan dengan jelas dalam al-Quran," ujarnya.

Sehubungan itu, selain usaha yang dilakukan oleh kerajaan dan agensi berkaitan, beliau menyeru penglibatan ibu bapa, adik-beradik dan sahabat handai yang terdekat.

"perlu sentiasa memberi dorongan dan sokongan bagi mengurangkan tekanan dalam jiwa mereka yang boleh terjerumus kepada bunuh diri. Islam juga mengajak kita sesama umat Islam untuk membantu saudara seakidah dengan kita yang dalam kesusahan. 

"Insya Allah DUPP akan bersama-sama dengan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat melalui agensi-agensi yang ada  akan meningkatkan lagi usaha bagi membantu menangani isu tekanan mental rakyat yang semakin parah," tambah beliau.


Ulasan