Laporan Polis Terhadap Portal Fitnah MB Terengganu


KUALA TERENGGANU - Setiausaha PAS Terengganu, Haji  Muhyiddin Abd Rashid membuat laporan polis terhadap portal berita yang menyiarkan artikel fitnah membabitkan Naib Presiden. 

Menurutnya, laporan polis itu dibuat bagi mewakili Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, pentadbiran kerajaan negeri dan pihak istana, di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu kira-kira jam 4.00 petang tadi.

Haji Muhyiddin yang juga Setiausaha Politik Menteri Besar (MB) Terengganu, berkata, berita itu antaranya menyebut kedudukan MB kini tersepit dengan pihak istana dan wujud usaha dalaman PAS untuk mengambil alih jawatan, adalah tidak benar sama sekali. 

"Berita dan kenyataan ini adalah satu fitnah, tidak benar dan berniat jahat terhadap kredibiliti Ahmad Samsuri

"Oleh itu, saya hadir ke balai polis hari ini mewakili MB untuk membuat laporan polis kerana kenyataan itu sama sekali tidak betul," kata Muhyiddin kepada media di pekarangan IPK di sini. 

Beliau menegaskan, pentadbiran kerajaan negeri tidak mengalami apa-apa masalah sebagaimana yang didakwa, malah semua pihak bekerja secara harmoni dan sedang melakukan penambahbaikan dari masa ke semasa demi kepentingan rakyat.

"Saya percaya bahawa ada pihak yang tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan dan mencari sokongan politik murahan dalam keadaan kerajaan sedang dan rakyat sedang menghadapi krisis COVID-19.

"Perbuatan fitnah ini hanya mahu menimbulkan prasangka buruk, keresahan masyarakat dan kebencian memuncak rakyat terhadapa kerajaan yang dipilih secara demokratik," katanya.

Oleh itu, Haji Muhyiddin menggesa pihak polis menjalankan siasatan segera terhadap portal tersebut kerana menabur fitnah.

Sementara itu, Timbalan Menteri Sains, Teknologi, Inovasi, Ahmad Amzad Hashim yang turut dikaitkan dengan isu terbabit tegas menafikan dakwaan itu.

Kata Ahli Parlimen Kuala Terengganu itu, beliau tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap portal dan sesiapa yang mengfitnahnya.

“Laporan menyebut saya diminta menjadi orang tengah bagi meredakan ketegangan antara Ahmad Samsuri dan pihak istana tidak benar sama sekali, ia tidak pernah berlaku dan sengaja direka-reka,” jelasnya.

Ulasan