SAYA tidak hairan apabila Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), António Manuel de Oliveira Guterres sering kali berpihak kepada negara haram Israel. Termasuklah isu terkini yang diketahui umum, kezaliman yang dilakukan terhadap kanak-kanak Palestin.
Jika diteliti secara terperinci, terdapat banyak penemuan yang menunjukkan bahawa setiap cabang pertubuhan antarabangsa dalam segala lapangan telah dipengaruhi oleh Zionis. Khususnya, Majlis Keselamatan PBB ditetapkan keahliannya yang terdiri daripada negara-negara besar yang mempunyai kuasa veto, kuasa yang mampu membatalkan apa sahaja kesalahan dan kezaliman yang telah dilakukan oleh negara haram Israel.
Sehinggalah Zionis berada dalam pertubuhan ekonomi seperti Bank Dunia (World Bank) dan Tabung Kewangan Antarabangsa (International Monetary Fund - IMF), serta dalam pertubuhan pendidikan dan kebudayaan seperti Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan PBB (UNESCO), bahkan mereka juga menguasai media yang sangat mempengaruhi pemikiran orang ramai.
Semua negara Barat yang dikatakan kuat berpegang kepada prinsip demokrasi kuasa rakyat, pasti akan menentukan kemenangan kepada siapa yang paling kuat menyokong dan menjaga keselamatan negara haram Israel. Sekalipun perbuatan sedemikian melanggar hak asasi manusia dan mengancam keamanan dunia.
Kuasa ekonomi berasaskan wang dan harta, termasuklah peranan media telah memberikan kemenangan dalam setiap pilihan raya umum bagi menentukan Presiden atau Perdana Menteri, walaupun calon tersebut merupakan individu paling ganas dan rendah moralnya.
UNESCO sangat berperanan dalam menjaga tempat warisan zaman jahiliah, seperti bangunan dan kota yang dibina di atas timbunan mayat rakyat yang telah dikorbankan. Walau bagaimanapun, sejarah para anbiya’ dan pemimpin yang adil terus dilupakan atau disembunyikan dalam lipatan sejarah yang dikhianati.
Hanya al-Quran yang dipelihara oleh Allah SWT sahaja membawa kisah benar yang tidak boleh dihapuskan, dan membawa kisah kaum bertamadun kebendaan yang telah dibinasakan pembangunannya oleh Allah SWT. Kesan tinggalan itu dijaga oleh UNESCO. Firman Allah SWT:
﴿أَلَمۡ تَرَ كَيۡفَ فَعَلَ رَبُّكَ بِعَادٍ٦ إِرَمَ ذَاتِ ٱلۡعِمَادِ٧ ٱلَّتِي لَمۡ يُخۡلَقۡ مِثۡلُهَا فِي ٱلۡبِلَٰدِ٨ وَثَمُودَ ٱلَّذِينَ جَابُواْ ٱلصَّخۡرَ بِٱلۡوَادِ٩ وَفِرۡعَوۡنَ ذِي ٱلۡأَوۡتَادِ١٠ ٱلَّذِينَ طَغَوۡاْ فِي ٱلۡبِلَٰدِ١١ فَأَكۡثَرُواْ فِيهَا ٱلۡفَسَادَ١٢ فَصَبَّ عَلَيۡهِمۡ رَبُّكَ سَوۡطَ عَذَابٍ١٣ إِنَّ رَبَّكَ لَبِٱلۡمِرۡصَادِ١٤﴾
“(Kami tetap akan membinasakan orang-orang yang menentangmu wahai Muhammad), tidakkah engkau memerhatikan, bagaimana Tuhanmu telah melakukan terhadap kaum ‘Ad (yang kufur derhaka). (6); Iaitu penduduk Iram yang mempunyai bangunan-bangunan yang tinggi tiangnya (sesuai dengan penduduknya), (7); Yang belum pernah diciptakan sepertinya (tentang besar dan kukuhnya) di segala negeri (pada zamannya)? (8); Dan (terhadap) kaum Thamud yang memahat batu-batu besar di lembah (Wad al-Qura, iaitu tempat tinggalnya)? (9); Dan (terhadap) Firaun yang menguasai bangunan-bangunan yang handal kukuh? (10); (Semuanya itu ialah) orang-orang yang telah bermaharajalela di negeri (masing-masing). (11); Lalu mereka melakukan dengan banyaknya kerosakan dan bencana di negeri-negeri itu. (12); Dengan yang demikian, Tuhanmu mencurahkan ke atas mereka pelbagai paluan azab; (13); Sesungguhnya, Tuhanmu tetap mengawas dan membalas, (terutama balasan akhirat). (14).” (Surah al-Fajr: 6–14)
Banyak lagi kaum-kaum yang lain, sebahagiannya disebutkan dan sebahagian lagi tidak disebutkan dalam al-Quran, namun inilah yang sejarah yang dibanggakan dan dipelihara oleh pihak UNESCO.
Mereka yang mengetuai organisasi Tabung Kewangan Antarabangsa dan Bank Dunia pasti ditentukan oleh Zionis. Bantuan yang diberikan kepada negara yang dikategorikan sebagai negara sedang membangun dibejati dengan riba, suatu perkara yang diperangi oleh Allah SWT dan Rasul-Nya. Namun, perkara tersebut dihalalkan oleh Zionis kepada mereka yang bukan bangsa Yahudi. Maka, lubang hutangnya kelak pasti tidak akan mampu ditimbus. Langkah Tun Mahathir Mohamad menolak bantuan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) ketika negara menghadapi krisis ekonomi, menyelamatkan negara Malaysia yang menjadi detik bersejarah.
Peranan media bagi menguasai persepsi orang ramai, meninggalkan suatu kesan yang sangat besar kepada kelemahan umat dalam segala aspek, khususnya aspek politik, ekonomi dan moral. Permainan media melalui teknologi terkini yang sudah tiada sempadan lagi, jika tidak ditangani secara bijak nescaya boleh menenggelamkan negara dan rakyat seluruhnya. Laksana taufan pada zaman Nabi Nuh AS yang didatangkan ketika kaum yang derhaka berada dalam keadaan leka dan sesat.
Justeru, umat Islam diberikan peringatan melalui firman Allah SWT:
﴿كُنْتُمْ خَيْرَ أُمَّةٍ أُخْرِجَتْ لِلنَّاسِ تَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَتَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ وَتُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَلَوْ آمَنَ أَهْلُ الْكِتَابِ لَكَانَ خَيْرًا لَهُمْ مِنْهُمُ الْمُؤْمِنُونَ وَأَكْثَرُهُمُ الْفَاسِقُونَ١١٠ لَنْ يَضُرُّوكُمْ إِلَّا أَذًى وَإِنْ يُقَاتِلُوكُمْ يُوَلُّوكُمُ الْأَدْبَارَ ثُمَّ لَا يُنْصَرُونَ١١١ ضُرِبَتْ عَلَيْهِمُ الذِّلَّةُ أَيْنَ مَا ثُقِفُوا إِلَّا بِحَبْلٍ مِنَ اللَّهِ وَحَبْلٍ مِنَ النَّاسِ وَبَاءُوا بِغَضَبٍ مِنَ اللَّهِ وَضُرِبَتْ عَلَيْهِمُ الْمَسْكَنَةُ ذَلِكَ بِأَنَّهُمْ كَانُوا يَكْفُرُونَ بِآيَاتِ اللَّهِ وَيَقْتُلُونَ الْأَنْبِيَاءَ بِغَيْرِ حَقٍّ ذَلِكَ بِمَا عَصَوْا وَكَانُوا يَعْتَدُونَ١١٢﴾
“Kalian (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan untuk umat manusia, (kerana) kalian menyuruh berbuat segala perkara yang ma‘ruf dan melarang daripada melakukan segala perkara yang mungkar (buruk dan keji), serta kalian pula beriman kepada Allah (dengan keimanan yang sebenar). Dan sekiranya Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) itu beriman, tentulah (iman) itu menjadi baik bagi mereka. (Tetapi) antara mereka ada yang beriman dan kebanyakan mereka ialah orang-orang yang fasiq. (110); Mereka (kaum Yahudi dan Nasrani) sekali-kali tidak akan mendatangkan kemudaratan kepada kalian, kecuali menyakiti (perasaan kalian dengan ejekan dan tuduhan yang tidak berasas). Dan jika mereka memerangi kalian, mereka akan berpaling lari membelakangkan kalian (kalah dengan sehina-hinanya); sesudah itu mereka tidak akan mencapai kemenangan. (111); Mereka ditimpakan kehinaan (dari segala sudut) di mana sahaja mereka berada, kecuali jika mereka berpegang dengan tali (agama) Allah dan adanya tali (perjanjian) dengan manusia. Dan sudah sepatutnya mereka beroleh kemurkaan daripada Allah, dan mereka ditimpakan kemiskinan (dari segala sudut). Oleh yang demikian itu, disebabkan mereka sentiasa kufur ingkar akan ayat-ayat Allah (perintah-perintah-Nya), dan mereka membunuh para nabi dengan tanpa alasan yang benar. Demikian itu, disebabkan mereka derhaka dan sentiasa bersikap melampaui batas (hukum-hukum Allah). (112).” (Surah Ali ‘Imran: 110-112)
ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 11 Zulqa‘dah 1442 / 21 Jun 2021
Ulasan