Oleh : Nooreni Abu Bakar
KUALA TERENGGANU - Muslimat Terengganu (DMPNT) menyifatkan tindakan Angkatan Wanita Amanah (AWAN) Terengganu dan Kelantan meminta artikel Presiden PAS ditarik balik, sebagai 'takut kepada bayang-bayang sendiri'.
Ketuanya, To' Puan Zarani Othman berkata, tulisan Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang menyatakan kemenangan Pakatan Harapan (PH) adalah kerana 'janji palsu' yang mustahil dilaksanakan.
"Ini bukanlah sekadar dakwaan, tetapi sudah jelas dan terbukti ianya hanya omong-omong kosong PH untuk memenangi PRU14," tegasnya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini di sini.
Bahkan kata beliau, ada juga janji yang 'tidak masuk akal', didakwa PH boleh ditunaikan dalam tempoh yang pendek, sehari semalam, masih tersurat dalam manifestonya.
Hakikatnya, jelas Zarani, artikel Presiden PAS, "Jangan Mudah Lupa Sehingga Ditipu Berulang Kali' itu, membongkar wajah sebenar pemimpin PH yang bersedia bersekongkol dengan sesiapa sahaja, termasuklah musuh agama dan negara.
"sehingga sanggup bersama dengan golongan yang ternyata bersikap ekstrem terhadap Islam, umat dan raja untuk berkuasa.
"Kenyataan berkenaan juga wajar diberi perhatian oleh generasi muda yang tidak menyaksikan negara diperintah oleh PH agar jangan mudah terpengaruh dengan media tanpa sempadan yang akan membawa penyesalan di dunia dan akhirat yang sudah tidak berguna lagi penyesalannya," ujarnya.
Justeru, beliau bersama DMPNT bertekad akan sentiasa bersama Dato Seri Tuan Guru Presiden PAS untuk mengingat dan menyedarkan umat Islam tentang kebobrokkaan PH selama 22 bulan memerintah Malaysia supaya tidak mudah lupa sehingga ditipu berulang kali.
Ulasan