Belanja RM35,000 Bantu Penduduk PKPD

 

DUNGUN - PAS Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau Abang  telah membelanjakan sebanyak RM35, 000 untuk membantu menampung keperluan seharian penduduk yang terlibat dengan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Mukim Sura.

Pengarah Majlis Tindakan DUN (MTD) DUN tersebut, YB Cikgu Alias Harun berkata, empat kali agihan telah dibuat menerusi Lajnah Kebajikan. 

Katanya, menerusi Lajnah Kebajikan DUN telah menyampaikan sumbangan kepada 318 buah rumah kepada tiga lokaliti iaitu Kampung Gong Pasir, Perumahan Awam Kos Rendah (RAKR) Gong Pasir dan Taman MAIDAM. 


"Bermula 11hb, kita mengedarkan barangan dapur secara berperingkat memandangkan kesukaran mendapat bekalan, juga mengagihkan ayam segar sebanyak dua kali dan yang  terakhir daging korban," jelasnya. 

ADUN Rantau Abang itu menambah, PKPD yang sepatutnya tamat semalam tetapi dilanjutkan sehingga 6 Ogos memandangkan masih ada kes positif baharu COVID-19 di kawasan terbabit. 

"Walaupun begitu kita tetap akan terus membantu memberi sumbangan kerana kita sedar mereka tidak dapat keluar bekerja dan sudah tentu tidak ada punca pendapatan untuk menyara keluarga," tegasnya. 

Beliau berkata demikian pada Majlis Bacaan Yassin dan Al Mathurat Peringkat DUN tersebut secara atas talian semalam. 

Program anjuran Urusan Ulama DUN itu, diadakan pada setiap hari Jumaat malam Sabtu sebagai usaha mengekang penularan pandemik Covid-19 yang semakin membimbangkan. 

"DUN Rantau Abang sekarang ada tiga kluster selain kluster Gong Pasir,  ada juga Kluster Padang Pulut dan Kluster Pulau Serai dan kita berharap dua kluster tersebut tidak dikenakan PKPD," ujarnya lagi.

Ulasan