Covid-19; Naratif Keselamatan Dan Ekonomi

 


Firman Allah SWT:

﴿حَتَّى إِذَا أَتَوْا عَلَى وَادِ النَّمْلِ قَالَتْ نَمْلَةٌ يَا أَيُّهَا النَّمْلُ ادْخُلُوا مَسَاكِنَكُمْ لَا يَحْطِمَنَّكُمْ سُلَيْمَانُ وَجُنُودُهُ وَهُمْ لَا يَشْعُرُونَ١٨ فَتَبَسَّمَ ضَاحِكًا مِنْ قَوْلِهَا وَقَالَ رَبِّ أَوْزِعْنِي أَنْ أَشْكُرَ نِعْمَتَكَ الَّتِي أَنْعَمْتَ عَلَيَّ وَعَلَى وَالِدَيَّ وَأَنْ أَعْمَلَ صَالِحًا تَرْضَاهُ وَأَدْخِلْنِي بِرَحْمَتِكَ فِي عِبَادِكَ الصَّالِحِينَ١٩﴾ 

“(Maralah angkatan itu) hingga apabila mereka sampai ke Wadi al-Naml (lembah semut), berkatalah seekor semut: ‘Wahai sekalian semut, masuklah ke sarang kalian masing-masing, agar kalian tidak diinjak oleh Sulaiman dan tenteranya, sedangkan mereka tidak menyedari.’ (18); Maka dia (Nabi Sulaiman) tersenyum apabila mendengar kata-kata semut itu, dan berdoa dengan berkata: ‘Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan ni‘mat-Mu yang telah Engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redhai; dan masukkanlah daku dengan limpah rahmat-Mu dalam kalangan hamba-hambaMu yang soleh.’ (19).” (Surah al-Naml: 19-19)

Al-Quran ialah kitab hidayah bersifat mukjizat yang menjadi petunjuk dalam seluruh aspek kehidupan manusia sepanjang zaman. Dalam ayat di atas, Allah SWT menceritakan tentang kebijaksanaan makhluk semut yang hidup bermasyarakat pada zaman Nabi Sulaiman AS yang memerintah kerajaan paling agung dalam sejarah peradaban manusia. Baginda AS dikurniakan kemampuan menguasai bahasa binatang dan mengawasi seluruh rakyatnya.

Semut kecil yang dianggap lemah, tetapi hidup bermasyarakat dan mempunyai raja yang bijaksana, mengagumkan Nabi Sulaiman AS. Raja semut meletakkan agenda keselamatan menjadi keutamaan kepada rakyatnya, daripada mendahului peluang untuk mendapatkan makanan yang akan datang bertaburan.

Maka, tanpa peduli kepada peluang makanan yang banyak daripada tumpahan hidangan bala tentera Nabi Sulaiman AS yang singgah di lembahnya, raja semut terus mengarahkan rakyatnya agar memasuki ke dalam lubang terlebih dahulu. Mereka memilih untuk tidak bersikap gopoh ke arah makanan, agar tidak terpijak oleh bala tentera Nabi Sulaiman AS yang datang ke lembah mereka. 

Di sini perlu dirujuk kepada ilmu maqasid al-syari‘ah yang menjadi perbincangan dalam hukum Islam. Secara khusus dalam menentukan senarai keutamaan perkara yang wajib dijaga, dinamakan daruriyyat (perkara keperluan yang menjadi rukun kehidupan manusia yang wajib diutamakan). Senarai keutamaan ditertibkan oleh para ulama’ dengan meletakkan susunan senarainya dari segi keutamaan seperti berikut:

1. Agama. 

2. Nyawa. 

3. Akal. 

4. Keturunan.

5. Maruah.

6. Harta.  

Maka, Islam berbeza dengan teori ciptaan manusia yang melahirkan  pelbagai ideologi dalam kehidupan manusia. Semua ideologi ciptaan manusia meletakkan aspek harta dan kegiatan ekonomi menjadi tujuan utama, manakala mengumpulnya adalah keutamaan pertama dalam hidup. Sehingga mendahului perkara yang lain dan tanpa bermatlamatkan akhirat, alam yang kekal abadi. 

Adapun Islam meletakkan ekonomi sebagai salah satu rukun hidup, tetapi berada dalam senarai yang terakhir. Hal ini demikian kerana, Islam berkonsepkan tujuan manusia diciptakan untuk menunaikan ibadat, melaksanakan khilafah dan memakmurkan bumi dengan amanah yang menjadi bekalan dunia dan akhirat. 

Justeru, aspek ekonomi menjadi pemangkin yang membantu peranan kehidupan yang lain, atau dengan ungkapan bahawa manusia itu makan untuk hidup bagi melaksanakan tugas yang telah ditetapkan oleh Allah SWT. Maka, hidupnya bukan bertujuan untuk memenuhi nafsu makan (kehidupan dunia sahaja) tanpa mempedulikan hikmah mereka diciptakan. 

Allah SWT telah menegaskan dalam firman-Nya:

﴿أَفَحَسِبْتُمْ أَنَّمَا خَلَقْنَاكُمْ عَبَثًا وَأَنَّكُمْ إِلَيْنَا لَا تُرْجَعُونَ١١٥﴾ 

“Maka apakah kalian menyangka, bahawa sesungguhnya Kami hanya menciptakan kalian secara main-main sahaja (tanpa sebarang hikmah) pada penciptaan itu, dan bahawa kalian tidak akan dikembalikan kepada Kami?” (Surah al-Mu’minun: 115)

Oleh itu, naratif dalam menghadapi apa sahaja bencana hendaklah diutamakan mengikut ketetapan agama yang mengatur seluruh kehidupan manusia dengan sempurna. Seterusnya diikuti dengan memelihara keselamatan nyawa hendaklah diutamakan apabila membuat pilihan, kerana peranannya yang sangat besar bagi mencapai tujuan yang berikutnya. Namun, jika semuanya dapat diuruskan secara serentak, maka ia dilakukan secara bersama dengan sistematik. 

Termasuklah kegiatan ekonomi dalam memenuhi keperluan bagi menjaga nyawa hendaklah digabungkan keutamaannya. Sehingga Islam mengharuskan makanan yang haram disebabkan darurat bagi menjaga nyawa. 

Kita tidak seharusnya terpengaruh dengan negara Barat khususnya dalam menangani wabak pandemik Covid-19 yang rakus mengancam nyawa. Mereka tetap menjalankan kegiatan ekonomi secara bebas, walaupun berlakunya perhimpunan tanpa sempadan. Bahkan, ada yang meletakkan konsep kebebasan tanpa mempedulikan soal keselamatan nyawa, dan terdapat juga yang menjadikan hiburan sebagai keutamaan sekalipun mengancam nyawa dan akal.  

Apabila dibuat pilihan antara setiap keutamaan, maka hendaklah dilakukan mengikut tertibnya, sepertimana yang ditunjukkan pengajarannya oleh binatang semut yang diilhamkan oleh Allah SWT dengan mengarahkan pengikutnya agar memasuki ke dalam lubang terlebih dahulu. Sekali gus memilih untuk menangguhkan buat sementara waktu, peluang untuk memungut rezeki makanan yang akan berselerak di lembahnya.

Masalah utama ialah nafsu untuk mengejar kemewahan yang lebih daripada keperluan bagi menjaga nyawa, sehingga tanpa sedar bersikap rakus sehingga nyawanya terancam dengan kerakusan itu.

Pada masa yang sama, telah dilupakan bahawa rezeki adalah kurniaan Allah SWT dan itulah hikmah wujudnya perbezaan dalam taraf kehidupan dan situasi kehidupan setiap manusia. Firman Allah SWT:

﴿وَلَوْ بَسَطَ اللَّهُ الرِّزْقَ لِعِبَادِهِ لَبَغَوْا فِي الْأَرْضِ وَلَكِنْ يُنَزِّلُ بِقَدَرٍ مَا يَشَاءُ إِنَّهُ بِعِبَادِهِ خَبِيرٌ بَصِيرٌ٢٧﴾ 

“Dan jikalau Allah melapangkan rezeki kepada setiap hamba-Nya, tentulah mereka akan melampaui batas di muka bumi, tetapi Allah menurunkan (rezeki-Nya) apa yang dikehendaki-Nya menurut kadar yang tertentu. Sesungguhnya Dia Maha Mengetahui (keadaan) segala hamba-Nya, lagi Maha Melihat.” (Surah al-Syura: 27)

Sebenarnya dalam situasi pandemik yang berbahaya,  pihak kerajaan yang bertanggungjawab dalam mengatur kegiatan ekonomi perlu menentukan sempadan bagi menjaga keselamatan nyawa rakyat seluruhnya. Hal ini sangat penting bagi mengelakkan daripada lebih ramai menjadi mangsa wabak dan mengawalnya daripada merebak sehingga membawa bahaya secara meluas. Walau bagaimanapun, keperluan hidup rakyat tidak dimatikan.

Pihak Kerajaan Perikatan Nasional (PN) telah menggerakkan kakitangan kesihatan, pasukan keselamatan dan anggota-anggota lain berada di barisan hadapan, bagi mencegah, mengawal pergerakan dan melakukan tindakan pemberian rawatan yang melibatkan kerajaan dan masyarakat. 

Kerajaan PN juga telah bertindak melakukan kawalan tanpa mematikan kegiatan ekonomi bagi memelihara keperluan asasi rakyat dan negara, disertakan dengan peruntukan bantuan yang besar jumlahnya yang disalurkan secara langsung kepada mereka yang paling berhajat dalam tempoh keadaan darurat ini.

Walaupun adanya pelbagai bentuk sekatan, namun kerajaan tidak mematikan aktiviti kelangsungan hidup dengan cara yang terkawal. Hanya mereka yang kerjanya mencari kesalahan dan kelemahan sahaja, memungut senarai sekatan tanpa peduli akan keperluan untuk kegiatan berjalan di lapangan rakyat. 

Dalam sejarah Islam, pernah berlaku satu ketika para ulama’ yang terdahulu telah mengarahkan penangguhan solat Jumaat, solat berjemaah di masjid dan pelaksanaan ibadat haji di Makkah dengan sebab berlakunya peperangan dan bencana alam. Akan tetapi, tidak ditinggalkan pelaksanaan solat wajib di rumah masing-masing, serta mengizinkan untuk keluar bagi mendapatkan keperluan hidup seperti makanan dengan kawalan yang sangat rapi sehingga selesainya wabak dan bencana yang lain.

Namun begitu, ramai juga semut yang mati dalam gula dan ada juga manusia yang seperti itu. Binatang tupai dan kera memilih buah-buahan yang baik, namun ada manusia yang mencari buah-buahan yang buruk untuk dijual. Sangat malang kalau ada orang yang terus tertipu membelinya dan terpengaruh dengannya.


ABDUL HADI AWANG

Presiden PAS

Bertarikh: 5 Zulhijjah 1442 / 15 Julai 2021

Ulasan