Tidak Pulang, Bukan Halangan Eidul Adha

Perutusan Pesuruhjaya PAS Terengganu sempena Hari Raya Aidiladha 1442H 

Allahuu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar Walillahilhamd 

Syukur kepada Allah kerana kita semua dapat menyambut Aidiladha pada tahun ini. Tidak dinafikan banyak perubahan telah berlaku sejak wabak Covid-19 melanda dunia termasuk di negara kita.

Perubahan dalam kehidupan masyarakat, politik, kesihatan, pendidikan dan tidak terkecuali dalam adat kita beribadat seperti dalam Ibadah Haji dan Ibadah Qurban.

Umum tahu Ibadah Qurban amat dekat dengan orang Islam di tanah air kita. Ia juga menjadi asbab kenapa kerajaan membenarkan ibadah ini dilakukan dengan SOP (Prosedur Operasi Standard) yang telah diperhalusi dan sesuai dengan keadaan kita sekarang. 

Ibadah korban yang menganjurkan kita untuk berkorban dan ikhlas. Marilah kita bekerjasama untuk menyambut hasrat baik kerajaan dalam mengawal dan mengurangkan kes covid terutama di musim perayaan ini. 

Syukur dan tahniah juga kepada 263 rakyat Malaysia di Arab Saudi kerana layak menunaikan Haji pada tahun ini. Mereka ini ialah wakil kita dan mereka juga menjadi saksi dan bukti bahawa, walau kita diuji dengan wabak, ia tidak menghalang orang Islam untuk beribadah kepada Allah.

Pastinya ada hikmah dan kebijaksaan pada setiap kejadian Allah ini. “Dan tidak ada yang lebih baik agamanya daripada orang yang menyerahkan dirinya kepada Allah (dengan ikhlas), sedang ia berusaha mengerjakan kebaikan, dan dia pula mengikut agama Nabi Ibrahim yang lurus (yang tetap di atas dasar tauhid) dan (kerana itulah) Allah menjadikan Nabi Ibrahim kesayanganNya.” [An-Nisa’:125]

Kuatkanlah kesatuan di antara kita, jangan biarkan ada di antara kita yang bergerak sendirian dan tersasar dari matlamat perjuangan. Untuk menang perlukan pengorbanan dan keikhlasan, untuk kekal menang juga perlukan pengorbanan dan keikhlasan.

Tidaklah kita menyambut Ibadah Qurban dan Ibadah Haji semata-mata kerana Ibadah. Tapi pada ibadah itu adanya tuntutan dan arahan agar dakwah Islam tersebar luas. Ingatlah, kita melalukan ibadah ini kerana Allah dan kita berjuang ini juga kerana Allah.

Marilah kita menyambut Hari Raya Aidil Adha dengan penuh rasa syukur kepada Allah, walau ada yang jauh dan tidak balik kerana akur dengan arahan kerajaan. Ia bukanlah penghalang untuk kita tidak merayakan Aidil Adha, manfaatkan teknologi untuk bertanya khabar dan raikan jiran-jiran yang mungkin senasib dengan kita ketika ini.

Akhir kata, Selamat Menyambut Hari Raya Aidil Adha. 

20 Julai 2021 10 Zulhijjah 1441H 

Yang benar, YB Senator Dato’ Haji Husain bin Awang Pesuruhjaya PAS Negeri Terengganu
Ahli Dewan Negara

Ulasan