Apabila YAB Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin membuat kenyataan bahawa kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak sempurna, maka kedengaran suara ejekan riuh-rendah pihak yang menandakan tahap kefahaman mereka tanpa disedari dirinya bersifat sangat jahil.
Inilah akibat apabila politik dipisahkan daripada agama sehingga menjadikannya tidak berakhlak, tanpa menyedari sikap yang terlanjur sehingga melupakan bahawa tiada yang sempurna melainkan Allah SWT sahaja.
Seseorang yang beriman hendaklah menunjukkan sifat tawadhu‘ secara terbuka dan menunjukkan moral yang tinggi menjadi hamba Allah SWT. Selain itu juga, hendaklah beriman bahawa Allah SWT sahaja yang Maha Suci daripada segala kekurangan dan kelemahan. Khususnya dalam menghadapi wabak penyakit besar melanda seluruh dunia yang tidak diketahui bilakah penghujungnya.
Allah SWT memberikan kerajaan kepada manusia sebagai ujian dalam kehidupannya, sebagaimana firman-Nya:
﴿تَبَارَكَ الَّذِي بِيَدِهِ الْمُلْكُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ١ الَّذِي خَلَقَ الْمَوْتَ وَالْحَيَاةَ لِيَبْلُوَكُمْ أَيُّكُمْ أَحْسَنُ عَمَلًا وَهُوَ الْعَزِيزُ الْغَفُورُ٢﴾
“Maha Berkat (serta Maha Tinggi kelebihan) Tuhan yang menguasai segala kerajaan; dan memanglah Dia Maha Kuasa atas segala sesuatu. (1); Dialah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kalian) untuk menguji dan menzahirkan keadaan kalian: siapakah antara kalian yang lebih baik amalnya; dan Dia Maha Kuasa, lagi Maha Pengampun. (2).” (Surah al-Mulk: 1-2)
Allah SWT memberikan kurniaan menjadi kerajaan kepada golongan yang beriman dan tidak beriman, bagi menguji mereka dalam kehidupan dunia ini. Pada masa yang sama, Allah SWT memberikan petunjuk dan membuka pintu keampunan serta taubat seluas-luasnya.
Ada sebahagian daripada mereka yang menyedari bahawa dirinya hanyalah makhluk Allah SWT dan hamba-Nya yang lemah. Ada juga sebahagiannya yang sombong atau takabbur dengan menganggap hanya dirinya sahaja yang sempurna.
Termasuklah ujian Allah SWT kepada kerajaan yang didirikan oleh Rasulullah SAW, makhluk-Nya yang dilantik menjadi teladan kepada seluruh manusia, juga tidak disempurnakan kerajaan tersebut dalam sekelip mata. Maka, diturunkan ayat-ayat al-Quran yang disempurnakan dalam tempoh masa lebih 20 tahun.
Ayat-ayat yang diturunkan menyentuh perkara dasar yang tidak berubah menjadi pegangan teguh sejak Nabi Adam AS hingga Hari Kiamat. Begitu juga ayat-ayat yang diturunkan dengan sebab kelemahan manusia, termasuklah kesilapan yang berlaku sebagai bentuk tarbiah yang lebih berkesan kepada mereka. Khususnya dalam urusan kehidupan manusia yang berubah, berbeza dan tersilap, maka ayat yang diturunkan memperbetul kesilapan yang berlaku.
Justeru, inilah hikmahnya sebab Allah SWT meletakkan Adam AS dan Hawwa AS ke bumi, setelah didahulukan kedua-duanya dengan kesilapan yang menandakan kelemahannya, namun mereka kemudiannya bertaubat. Hanya makhluk Iblis yang menganggap dirinya sahaja yang sempurna dan tidak perlu bertaubat serta membetulkan dirinya.
Islam memperkenalkan konsep syura dan nasihat bagi mengatasi kelemahan manusia dengan izin Allah SWT. Masing-masing dibenarkan untuk memberikan pendapat dengan berijtihad dalam perkara yang tiada nas daripada Kitab Allah dan Sunnah Rasulullah SAW yang ditetapkan oleh-Nya.
Dalam perkara ijtihad, seseorang itu diberikan dua pahala sekiranya betul dan hanya diberikan satu pahala sahaja kepada yang salah. Rasulullah SAW sendiri menerima nasihat para sahabatnya dalam urusan keduniaan.
Setiap ketua negara Islam dalam kalangan Khulafa’ al-Rasyidin menyampaikan ucapan supaya semua pihak menegur dan menasihati, sekiranya mereka melakukan kesilapan atau mempunyai kelemahan pada diri dan kerajaan yang dipimpin. Bahkan, kita telah menyaksikan kenyataan sejarah bahawa mereka yang memberikan nasihat itu sangat beradab dan bersifat ikhlas.
Allah SWT menceritakan dalam al-Quran betapa Nabi Daud AS yang menjadi ketua negara bertaubat kepada-Nya, sebagaimana firman-Nya:
﴿...وَظَنَّ دَاوُودُ أَنَّمَا فَتَنَّاهُ فَاسْتَغْفَرَ رَبَّهُ وَخَرَّ رَاكِعًا وَأَنَابَ ٢٤ فَغَفَرْنَا لَهُ ذَلِكَ وَإِنَّ لَهُ عِنْدَنَا لَزُلْفَى وَحُسْنَ مَآبٍ٢٥﴾
“...Dan Daud mengetahui bahawa sebenarnya Kami telah mengujinya, lalu dia memohon ampun kepada Tuhannya sambil merebahkan dirinya dengan sujud, serta dia rujuk kembali (bertaubat). (24); Maka, Kami mengampunkan kesalahannya itu; dan sesungguhnya dia mempunyai kedudukan yang dekat di sisi Kami serta tempat kembali yang sebaik-baiknya (pada Hari Akhirat kelak). (25).” (Surah Sad: 24-25)
Allah SWT juga menguji Nabi Sulaiman AS, sebagaimana yang dijelaskan oleh firman-Nya:
﴿وَلَقَدْ فَتَنَّا سُلَيْمَانَ وَأَلْقَيْنَا عَلَى كُرْسِيِّهِ جَسَدًا ثُمَّ أَنَابَ٣٤ قَالَ رَبِّ اغْفِرْ لِي وَهَبْ لِي مُلْكًا لَا يَنْبَغِي لِأَحَدٍ مِنْ بَعْدِي إِنَّكَ أَنْتَ الْوَهَّابُ٣٥﴾
“Dan sesungguhnya Kami telah menguji Sulaiman (dengan satu kejadian), dan Kami menjadikan atas takhta kebesarannya sebagai tubuh (yang lemah kerana sakit), kemudian dia bertaubat. (34); Katanya: ‘Wahai Tuhanku! Ampunkanlah kesilapanku, dan kurniakanlah kepadaku sebuah kerajaan (yang tiada taranya dan) yang tidak dimiliki oleh sesiapa pun sesudahku; sesungguhnya Engkau sahajalah Tuhan yang Maha Pemberi.’ (35).” (Surah Sad: 34-35)
Raja Zulqarnain yang adil mengakui bahawa kota teguh yang dibangunkan olehnya tidak kekal dan ia mengikut ketetapan Allah SWT. Hal ini sebagaimana firman-Nya:
﴿قَالَ هَذَا رَحْمَةٌ مِنْ رَبِّي فَإِذَا جَاءَ وَعْدُ رَبِّي جَعَلَهُ دَكَّاءَ وَكَانَ وَعْدُ رَبِّي حَقًّا٩٨﴾
“(Setelah itu) berkatalah Zulqarnain: ‘Ini (bangunan kota) ialah suatu rahmat daripada Tuhanku; dalam pada itu, apabila sampai janji Tuhanku, Dia akan menjadikan tembok itu hancur lebur, dan janji Tuhanku itu adalah benar.’” (Surah al-Kahfi: 98)
Allah SWT mendedahkan tentang kerajaan Firaun, manusia yang paling angkuh dan dilaknat oleh-Nya. Firman-Nya:
﴿وَنَادَى فِرْعَوْنُ فِي قَوْمِهِ قَالَ يَا قَوْمِ أَلَيْسَ لِي مُلْكُ مِصْرَ وَهَذِهِ الْأَنْهَارُ تَجْرِي مِنْ تَحْتِي أَفَلَا تُبْصِرُونَ٥١ أَمْ أَنَا خَيْرٌ مِنْ هَذَا الَّذِي هُوَ مَهِينٌ وَلَا يَكَادُ يُبِينُ٥٢ فَلَوْلَا أُلْقِيَ عَلَيْهِ أَسْوِرَةٌ مِنْ ذَهَبٍ أَوْ جَاءَ مَعَهُ الْمَلَائِكَةُ مُقْتَرِنِينَ٥٣ فَاسْتَخَفَّ قَوْمَهُ فَأَطَاعُوهُ إِنَّهُمْ كَانُوا قَوْمًا فَاسِقِينَ٥٤﴾
“Dan Firaun pula menyeru (dengan mengisytiharkan) kepada kaumnya, katanya: ‘Wahai kaumku! Bukankah kerajaan Mesir ini kepunyaanku, dan (bukankah) sungai-sungai ini mengalir di bawahku (istanaku)? Maka, apakah kalian melihatnya?’ (51); ‘Bukankah aku lebih baik daripada orang yang hina keadaannya ini, dan yang hampir tidak dapat menjelaskan perkataannya?’ (52); ‘(Jika betul dia seorang Rasul) maka sepatutnya dia dipakaikan (oleh Tuhannya) gelang daripada emas (yang menandakan ia seorang pemimpin), atau malaikat datang bersama-sama mengiringinya?’ (53); (Dengan yang demikian), maka Firaun memperbodohkan kaumnya, lalu mereka mematuhinya; sesungguhnya mereka itu adalah kaum yang fasiq. (54).” (Surah al-Zukhruf: 51-54)
Melalui ayat ini, Allah SWT mendedahkan kesombongan Firaun, seorang raja yang menganggap dirinya maha berkuasa dan terbaik, dan terus-menerus menghina Rasulullah, Nabi Musa AS.
Telah disebutkan tentang sifat kelemahan manusia yang insaf dan menyedari akan dirinya yang tidak sempurna dalam sebuah syair:
إِذَا تَمَّ شَيْءٌ بَدَا نَقْصُهُ ... تَرَقَّبْ زَوَالًا إِذَا قِيْلَ تَمْ.
“Apabila selesai melakukan sesuatu (oleh manusia), ternyatalah ada kekurangannya ... Tunggulah kemusnahannya, apabila dikatakan sudah sempurna (berjaya) semuanya.”
Bagi mengatasi kelemahan manusia, Allah SWT berfirman:
﴿وَالْعَصْرِ١ إِنَّ الْإِنْسَانَ لَفِي خُسْرٍ٢ إِلَّا الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ وَتَوَاصَوْا بِالْحَقِّ وَتَوَاصَوْا بِالصَّبْرِ٣﴾
“Demi Masa! (1); Sesungguhnya manusia itu benar-benar berada dalam kerugian. (2); Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula nasihat-menasihati dengan kebenaran serta nasihat-menasihati dengan kesabaran. (3).” (Surah al-‘Asr: 1-3)
Kedatangan wabak Covid-19 adalah suatu ujian Allah SWT kepada seluruh dunia yang tiada mana-mana kuasa besar dan kuasa kecil yang dapat menghalangnya. Namun begitu, manusia diuji dengan keinsafan. Ilmu dan akal diwajibkan untuk terus merancang, berusaha dan berikhtiar bagi menghadapi ujian wabak dan segala kesan sampingannya.
Adapun yang menentukan kejayaan memerangi wabak itu adalah kurniaan Allah SWT yang wajib diusahakan dan dipohonkan pertolongan daripada-Nya. Dalam keadaan begini, terdapat orang yang bersabar dan bersyukur. dan ada juga yang tidak bersabar dan kufur.
Allah SWT mengurniakan kemampuan akal dan ilmu kepada manusia, di samping kemampuan hidup bermasyarakat yang mewajibkan mereka saling bertolong-menolong sesama sendiri. Sehingga manusia dapat menghadapi masalah besar dalam kehidupan dunia yang menjadi sebahagian daripada hikmah mereka diciptakan oleh Allah SWT dan berada di alam dunia.
Wabak yang mencipta sejarah dunia ini memberikan kesan sampingan yang menyeluruh kepada manusia, sama ada secara individu, keluarga dan masyarakat sehingga ke peringkat dunia yang luas. Malahan, ia juga melibatkan urusan agama, politik, ekonomi dan lain-lain.
Maka tindakan yang wajib secara fardhu ‘ain dan fardhu kifayah perlu dilakukan, bukan sahaja dalam aspek perubatan, bahkan melibatkan aspek pentadbiran, keselamatan dan segala kegiatan serta pergerakan untuk hidup.
Situasi wabak Covid-19 yang dihadapi kini, memerlukan kerjasama sejagat yang holistik, sehingga seluruh manusia laksana berada dalam satu bahtera yang sedang menghadapi taufan yang besar.
ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 18 Zulhijjah 1442 / 28 Julai 2021
Ulasan