Ulama Tegas Dan Konsisten Tolak Pengiktirafan UEC


Saya ingin merujuk kepada siaran Facebook Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bertarikh 14/07/2021 yang memaparkan tawaran dari KPM bagi pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk mengikuti Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan Fasa 2 dan Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan bagi tahun 2021. 

Dalam tawaran yang diletak oleh media sosial rasmi milik KPM ini, lepasan Sijil Unified Examination Certificate Unified (UEC) telah disenaraikan salah satu daripada beberapa sijil yang layak untuk memohon bagi pengambilan program ijazah perguruan yang dinyatakan di atas.

Perkara ini jelas mengundang rasa kecewa oleh pimpinan dan ahli Parti Islam SeMalaysia (PAS) kerana PAS telah menyuarakan bantahan keras terhadap pengiktirafan Sijil UEC sejak tahun 2018 iaitu pada waktu Pakatan Harapan (PH) memegang tampuk kepimpinan negara.

Tindakan KPM untuk menerima lepasan Sijil UEC ini untuk memohon pengambilan ijazah perguruan kali ini telah memberi gambaran seolah-olah Kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang turut dianggotai oleh PAS  telah memberi pengiktirafan  secara rasmi kepada sijil ini.

Seperti mana bantahan yang telah dibuat pada tahun 2018, PAS bertegas untuk tidak bersetuju terhadap pengiktirafan terhadap sijil ini kerana ia  bercanggah dengan pelaksanaan Dasar Pendidikan Kebangsaan dan Akta Pendidikan 1996. Pelaksanaan sistem sijil  tersebut sama ada daripada aspek piawaian, silibus, dan bahasa jelas tidak selari dengan status quo sistem pendidikan yang diamalkan di negara ini.

Pengiktirafan UEC ini memberi impak yang sangat mendalam kerana ia seolah-olah memberi satu autonomi yang sangat luas dalam bidang pendidikan untuk tidak patuh kepada dasar dan akta sedia ada sebaliknya berorientasikan pendidikan dari negara Taiwan dan China. Mengikut rekod, kerajaan terdahulu di bawah pimpinan Barisan Nasional (BN) pada tahun 2012 telah memutuskan untuk menerima lepasan  Sijil UEC bagi mengikuti program PISMP dalam bidang bahasa Cina dengan syarat mereka lulus Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan memperolehi sekurang-kurangnya gred kepujian dalam bahasa Melayu.

Saya menyeru Kementerian Pendidikan Malaysia yang dipimpin oleh Datuk Radzi Bin Jidin selaku Menteri Pendidikan untuk bertegas dalam isu sensitif ini dengan memastikan lepasan sijil UEC tidak dibenarkan untuk diterima masuk untuk mana-mana pengambilan yang melibatkan jurusan perguruan. 

Pengambilan lepasan sijil untuk program jurusan perguruan akan memberi gambaran kepada umum bahawa Kerajaan Perikatan Nasional telah mengiktiraf Sijil UEC dan seterusnya akan merenggangkan semangat perpaduan dan keharmonian kaum di Malaysia.


Ulamak Perteguh Muafakat

Islam Memperkukuh Perpaduan


YB USTAZ MOHD NOR HAMZAH

Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat

5 ZULHIJJAH 1442 | 15 JULAI 2021

Ulasan