Sejarah pertembungan kuasa besar sering kali menjadikan tanah jajahannya sebagai pangkalan hadapan bagi menghadapi pihak musuh. Ia merupakan strategi yang sering kali digunakan dalam sejarah perang dunia bagi mengelak tanah airnya sendiri daripada menjadi sasaran secara langsung.
Perang Dunia Kedua adalah iktibar paling dekat, walaupun sudah berlalu lebih setengah abad. Utara Afrika, Timur Tengah, Asia Tenggara dan Kepulauan Pasifik dipilih oleh pihak Berikat dan sekutunya sebagai medan perang atau tempat ujian senjata dalam menghadapi Jerman, Jepun dan Itali.
Risiko korban kalah atau korban menang di pihak Berikat bukan daripada kaum bangsa mereka sendiri, tetapi statistik menunjukkan mangsa korban yang paling ramai adalah anak negeri jajahan, sama ada rakyat yang dikerah menjadi tentera penjajah atau rakyat umum.
Bagi Tanah Melayu dan kini Malaysia telah menjadi pangkalan hadapan dan medan perang kepada British ketika menghadapi serangan Jepun. Rakyat tanah air kita menjadi mangsa perang yang lebih ramai dan parah sehingga mengorbankan askar bukan bangsa British yang dikerah menjadi tenteranya. Rakyat juga menghadapi kesan ekonomi yang paling menghimpit kehidupan mereka.
Banyak negara selepas merdeka ditinggalkan dalam keadaan yang lemah sehingga memerlukan pangkalan tentera negara penjajah bagi menjaga keselamatan dan kepentingannya sepanjang masa. Sebenarnya bukan menjaga keamanan dan keselamatan negara itu, tetapi menjaga kepentingan dan menjadi pangkalan hadapan negara penjajah apabila menghadapi musuh dalam pertempuran.
Selepas kita mencapai kemerdekaan, penjajah Barat pulang ke negara masing-masing dan berlaku Perang Dingin, khususnya perang ekonomi antarabagsa. Kita juga menjadi pembekal kepada mereka dengan kekayaan hasil bumi kita bagi menjana kekuatan ekonomi kepada negara besar itu.
Negara kita dibebaskan pada zahirnya tetapi dalam keadaan lemah dari sudut politik, ekonomi dan ilmu, khususnya sains dan teknologi sehingga terus bergantung kepada negara penjajah dalam pelbagai bentuk yang terkini. Ada negara yang dijadikan pangkalan industri, tetapi rakyat tempatan hanya sekadar menjadi pekerja yang murah tanpa pemindahan teknologi yang maju kepada rakyat tempatan.
Berlakunya pertembungan dalam kalangan manusia adalah fitrah alam yang tidak berubah sejak keluarga terawal Nabi Adam AS, tetapi cara pendekatan dan pemainannya mengalami perubahan. Pada zaman wujudnya banyak negara kini, maka berlaku pertembungan dalam negara dan bangsa sehingga pertembungan antara kuasa besar.
Kita wajib punya kesedaran sendiri untuk menjadi negara yang kuat kerana Islam pernah menjadi kuasa besar yang adil kepada seluruh manusia setelah berjaya menumbangkan dua kuasa besar dunia yang bertembung sehingga Allah menurunkan wahyu menentukan pendirian ketika belum lagi ada negara. Firman Allah:
﴿الم١ غُلِبَتِ الرُّومُ٢ فِي أَدْنَى الْأَرْضِ وَهُمْ مِنْ بَعْدِ غَلَبِهِمْ سَيَغْلِبُونَ٣ فِي بِضْعِ سِنِينَ لِلَّهِ الْأَمْرُ مِنْ قَبْلُ وَمِنْ بَعْدُ وَيَوْمَئِذٍ يَفْرَحُ الْمُؤْمِنُونَ٤ بِنَصْرِ اللَّهِ يَنْصُرُ مَنْ يَشَاءُ وَهُوَ الْعَزِيزُ الرَّحِيمُ٥﴾ [الروم: 1-5]
“Alif Laam Miim (1) Telah dikalahkan bangsa Rumawi (2) Di negeri yang terdekat dan mereka sesudah dikalahkan itu akan menang (3) Dalam beberapa tahun lagi. Bagi Allah-lah urusan sebelum dan sesudah (mereka menang). Dan di hari (kemenangan bangsa Rumawi) itu bergembiralah orang-orang yang beriman. (4) Kerana pertolongan Allah. Dia menolong siapa yang dikehendaki-Nya. Dan Dialah Maha Perkasa lagi Penyayang. (5)” [Surah ar-Rum: 1-5]
Umat Islam wajib berwaspada dalam pergolakan politik antarabangsa terkini, di mana wujud pertembungan antara kuasa besar Barat, Amerika dan sekutunya yang berdepan dengan kuasa besar Timur khususnya China. Maka umat Islam wajib berwaspada supaya tidak melakukan perubahan yang negatif terhadap mereka. Firman Allah:
﴿ إِنَّ اللَّهَ لَا يُغَيِّرُ مَا بِقَوْمٍ حَتَّى يُغَيِّرُوا مَا بِأَنْفُسِهِمْ وَإِذَا أَرَادَ اللَّهُ بِقَوْمٍ سُوءًا فَلَا مَرَدَّ لَهُ وَمَا لَهُمْ مِنْ دُونِهِ مِنْ وَالٍ١١﴾ [الرعد: 11]
“Sesungguhnya Allah tidak mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri. Dan apabila Allah menghendaki keburukan terhadap sesuatu kaum, maka tidak ada yang dapat menolaknya; dan sekali-kali tidak ada pelindung bagi mereka selain Dia(11)” [Surah ar-Ra'd: 11]
Ternyata bahawa kuasa terkini Amerika dan sekutunya merancang strategi mencari negara yang jauh daripadanya untuk menjadi barisan hadapan pertahanan khususnya di negara Asia Tenggara. Malaysia yang terletak antara Laut China Selatan dan Selat Melaka bakal mengulangi senario Perang Dunia Kedua dalam bentuk baharu dengan menyediakan kerajaan yang bersedia menjadi proksi kepadanya dan mendukung para pemimpin dan parti politik yang bersedia menubuhkan kerajaan proksinya.
Senjata sulit yang halus menggunakan media yang ditaja oleh pihak asing dan tidak berakhlak, diberi peranan untuk mempengaruhi rakyat supaya tidak ada kepekaan politik yang sedar dan insaf. Media tersebut digunakan untuk melekakan rakyat supaya terlupa bakal menjadi sasaran dan mangsa korban percaturan politik kuasa besar tersebut.
Rakyat wajib berwaspada terhadap para pemimpin dan parti politik yang berpegang kepada kaedah matlamat menghalalkan segala cara. Rakyat juga perlu sentiasa berwaspada terhadap bala tentera upahan khususnya media tajaan pihak asing yang memainkan peranan dengan bayaran upah yang semahal-mahalnya bagi menjayakan agenda mewujudkan kerajaan proksi yang boleh digunakan tanpa peduli rakyat yang menjadi korbannya.
Bencana Afghanistan dan Iraq dijadikan medan perang cukup menjadi pengajaran kepada semua. Dalam masa yang sama, perlu disedari bahawa tidak ada negara yang menjadi kuasa besar dunia akan kekal selama lamanya. Oleh itu, jangan sekali-kali percaya kepada jaminan perlindungan yang kononnya ikhlas daripada kuasa besar itu.
Kita wajib bersikap bijak dan tidak menjadi mangsa korban serta pangkalan atau proksi kepada pertembungan yang mengorbankan diri kita bagi pihak negara kuasa besar itu.
Maka, kita mesti menolak parti dan pemimpin yang dicaturkan oleh pihak lain. Jadilah umat yang merdeka sepenuhnya. Selamatkan negara daripada dipergunakan rakyat dan tanah air oleh mereka. Jangan ulangi sejarah hitam yang menyedihkan. Tegakkan negara yang benar-benar merdeka dan berdaulat.
Namun serangan pemikiran melalui media upahan menghakis kesedaran politik, sekurang-kurangnya menjadikan orang tidak mempedulikan kepada politik kerana bosan dengannya, sehingga meninggalkan kewajipan mempertahankan kuasa yang menyelamatkan umat. Akhirnya kuasa jatuh ke tangan mereka yang menjadi alat kepada musuh tersebut.
Maka bacalah media dengan penuh kesedaran dan bijak sehingga memahami segala yang tersirat, bukan sahaja yang tersurat. Firman Allah:
﴿يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنْ جَاءَكُمْ فَاسِقٌ بِنَبَإٍ فَتَبَيَّنُوا أَنْ تُصِيبُوا قَوْمًا بِجَهَالَةٍ فَتُصْبِحُوا عَلَى مَا فَعَلْتُمْ نَادِمِينَ٦﴾ [الحجرات: 6]
“Hai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasik membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu. (6)” [Surah al-Hujurat: 6]
Khususnya kita berada pada zaman fitnah yang banyak kebohongan yang mengelirukan dengan peranan media yang menjadi senjata perang yang meruntuhkan jati diri.
Maka kenali media yang paling laris menjadi propaganda mereka, serta parti dan para pemimpin yang dipergunakannya. Jadilah umat dan negara yang berdaulat bukan menjadi alat.
Yakinilah firman Allah:
﴿وَقَدْ مَكَرُوا مَكْرَهُمْ وَعِنْدَ اللَّهِ مَكْرُهُمْ وَإِنْ كَانَ مَكْرُهُمْ لِتَزُولَ مِنْهُ الْجِبَالُ٤٦ فَلَا تَحْسَبَنَّ اللَّهَ مُخْلِفَ وَعْدِهِ رُسُلَهُ إِنَّ اللَّهَ عَزِيزٌ ذُو انْتِقَامٍ٤٧﴾ [إبراهيم: 46-47]
“Dan sesungguhnya mereka telah membuat perancangan jahat yang besar padahal di sisi Allah ada balasan bagi rancangan jahat mereka itu. walaupun sesungguhnya perancangan mereka itu (amat besar) sehingga gunung-gunung dapat lenyap kerananya. (46) Kerana itu janganlah sekali-kali kamu mengira Allah akan menyalahi janji-Nya kepada rasul-rasulNya; sesungguhnya Allah Maha Perkasa, lagi mempunyai pembalasan. (47)” [Surah Ibrahim: 46-47]
ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 25 Zulhijjah 1442 / 4 Ogos 2021
Ulasan