Meneruskam Acuan Perpaduan


Setelah mengkaji Sirah Nabawiyyah yang wajib dijadikan teladan, kita menyaksikan bagaimana pendekatan secara berhikmah oleh Rasulullah SAW apabila menyatukan umat Islam dan bukan Islam yang tidak ekstrem yang berada dalam kalangan masyarakat Madinah.

Rasulullah SAW mengambil pendekatan mengurangkan jumlah musuh, dengan mengajak musuh yang terdapat titik persamaan dalam masalah kemanusiaan walaupun berbeza dalam perkara prinsip. 

Di sana terdapat dalam kalangan mereka yang bermusuh terhadap Islam, tetapi menghormati asas akhlak yang mulia dalam membela orang yang dizalimi, bersimpati terhadap mereka yang miskin, memuliakan tetamu dan lain-lain. 

Rasulullah SAW menerima tahaluf yang diadakan melalui Hilf al-Fudul dalam kalangan bukan Islam di Makkah sebagai suatu bentuk persefahaman kerana membela kalangan yang dizalimi oleh mereka yang tidak bermoral kemanusiaan terhadap tetamu yang datang ke Makkah.

Rasulullah SAW sendiri menerima perlindungan Mut‘im bin ‘Adi, seorang pemimpin bukan Islam yang bencikan kezaliman apabila pulang dari Ta’if. Selain itu, Rasulullah SAW juga mengambil khidmat ‘Abdullah bin Uraiqit, seorang bukan Islam menjadi pemandu melalui jalan pintas ketika berhijrah. 

Rasulullah SAW bertindak membebaskan tawanan qabilah Tai’ setelah berakhirnya peperangan kerana menghargai pemimpin mereka yang suka memuliakan tetamu dan banyak lagi contoh yang lain. Sehingga Baginda SAW memilih untuk berdepan dengan musuh yang keras dan mengalahkan mereka terlebih dahulu, dan sekali gus membuka peluang damai sebanyak mungkin dengan pihak yang lain. 

Pendekatan yang diambil oleh Rasulullah SAW adalah sinonim dengan konsep demokrasi yang menggalakkan pendekatan damai, khususnya mengelak daripada pertembungan yang menyusahkan rakyat dan merosakkan hubungan masyarakat majmuk. Pendekatan secara demokrasi dengan mendahulukan titik persamaan dan menangguhkan perbezaan yang tajam sebelum ia dapat ditumpulkan. 

Dalam keadaan rakyat di seluruh dunia sedang berdepan dengan pandemik Covid-19 yang masih menular, maka keselamatan nyawa rakyat daripada bahaya wabak itu hendaklah diutamakan. Maka, perkara bersama yang bersifat kemanusiaan ini boleh menangguhkan pergeseran politik untuk mendapatkan kuasa tanpa mempedulikan keselamatan nyawa rakyat.

Kita dapat menilai bagi menerima kalangan mereka yang bersikap ingin menyelamatkan nyawa rakyat dan juga menolak kalangan mereka yang gila kuasa tanpa mempedulikan nyawa rakyat. 

Masalah ekonomi yang dihadapi kesan daripada pandemik Covid-19 yang membebankan semua rakyat tanpa mengira agama, kaum dan fahaman politik, perlu diselesaikan secara perpaduan dan hendaklah diutamakan tanpa menghabiskan masa kerana mahukan kuasa semata-mata.  

Dalam pada itu, wabak rasuah juga terdapat titik persamaan yang tidak boleh diterima. Maka, janganlah didahulukan untuk mendapatkan kuasa sehingga punca penyakit rasuah dibiarkan berkuasa lagi. 

Maka, tawaran Perdana Menteri kepada semua parti politik bagi mendapatkan kepercayaan bersama terhadap kerajaan terkini supaya memberikan masa untuk menyelesaikan masalah, sepatutnya diterima secara positif. Setelah kita mengalami kemelut kerajaan dahulu yang bermasalah, sepatutnya kita memberikan masa kepada kerajaan hari ini agar dapat menyelesaikan masalah bersama. 

Selepas keadaan mengizinkan, maka barulah kita kembalikan mandat kepada rakyat untuk memilih kerajaan yang mereka mahu dengan selesa. Janganlah disebabkan tidak boleh bersabar seketika, kita akan menerima padah dan masalah yang lebih besar dan lebih berat untuk dipikul. 

Cukuplah menjadi pengajaran kepada rakyat terhadap kerajaan yang telah lama memerintah, sehingga mereka dibejati dengan penyakit rasuah. Kemudian, rakyat membuat perubahan kepada sebuah kerajaan yang menawarkan pelbagai janji, sehingga berani merombak asas Perlembagaan dan kedaulatan Islam, dan akhirnya telah dijatuhkan.

Rasulullah SAW membandingkan mereka yang tidak sabar itu melalui sabdanya:

‌مَثَلُ ‌القَائِمِ ‌فِي ‌حُدُودِ ‌اللهِ وَالوَاقعِ فِيهَا، كَمَثَلِ قَومٍ اسْتَهَمُوا عَلَى سَفِينَةٍ فَصَارَ بَعْضُهُمْ أعْلاهَا وَبَعْضُهُمْ أَسْفَلَهَا، وَكَانَ الَّذِينَ في أَسْفَلِهَا إِذَا اسْتَقَوا مِنَ المَاءِ مَرُّوا عَلَى مَنْ فَوْقهُمْ، فَقَالُوا: لَوْ أنَّا خَرَقْنَا في نَصِيبِنَا خَرْقًا وَلَمْ نُؤذِ مَنْ فَوقَنَا، فَإِنْ تَرَكُوهُمْ وَمَا أرَادُوا هَلَكُوا جَميعًا، وَإنْ أخَذُوا عَلَى أَيدِيهِمْ نَجَوا وَنَجَوْا جَميعًا.

“Bandingan mereka yang ditetapkan menjadi pihak yang berkuasa menegakkan sempadan Allah (pemerintah) dan kalangan mereka yang melanggar sempadannya (menentangnya) laksana mereka yang diatur dalam sebuah bahtera (kapal). Ada yang berada di bahagian atas dan ada yang berada di bahagian bawah. Tiba-tiba, mereka yang berada di bawah itu mahukan air dengan segera, terpaksa melalui mereka yang berada di atas. Lalu mereka yang berada di bawah pun berkata: ‘Bagaimana jika kita tebuk sahaja kapal ini (untuk dapatkan air dengan segera) tanpa peduli terhadap mereka yang berada di atas kerana tidak mahu mengganggu mereka.’ Sekiranya dibiarkan mereka itu bertindak mengikut kehendaknya, nescaya semuanya akan binasa (tenggelam kapal). Jika dihalang kehendak itu, nescaya semuanya akan selamat.” (Riwayat al-Bukhari 2493)

Kita berada dalam bahtera negara yang sedang menghadapi taufan wabak yang mengganas dan mengancam nyawa rakyat, serta kesannya terhadap masalah kehidupan. Tiba-tiba hari ini diganggu oleh mereka yang ingin merampas kuasa yang nyata menjadi masalah dan nyata pernah gagal menyelesaikan masalahnya. Maka, peluang sepatutnya diberikan kepada kerajaan dalam tempoh yang sepatutnya. 

Pendekatan menghulur tangan dengan mengajak semua pihak tanpa mengira kerajaan sahaja demi menyelesaikan masalah darurat musibah dan bencana, sepatutnya diselesaikan secara kemanusiaan tanpa mempedulikan perbezaan, dan hendaklah diutamakan lebih daripada kepentingan peribadi dan kelompok tertentu sahaja. Hanya mereka yang tidak berperikemanusiaan sahaja tidak akan mempedulikan keadaan rakyat yang perlu diselamatkan sekarang.  

Maka kalangan yang menolak pelawaan untuk bersatu padu menyelamatkan rakyat dan negara, demi memenuhi kehendak politik peribadi yang sempit, adalah kelompok gila kuasa yang tidak mempedulikan nyawa rakyat.


ABDUL HADI AWANG

Presiden PAS   

Bertarikh: 6 Muharram 1443 /  15 Ogos 2021

Ulasan