Rejim Assad Syria melancarkan operasi ketenteraan di Daraa al-Balad, sebuah kawasan di barat daya negara itu yang dikepung sejak akhir bulan lalu.
Rejim telah menggunakan kereta kebal dan tembakan artileri sejak hari Rabu dalam usaha menggempur daerah itu.
Al-Daraa mempunyai seramai 40,000 orang dan merupakan kubu kuat pembangkang.
Menurut aktivis tempatan, Aymen Abu Nokta, ramai orang awam cedera dalam pengeboman itu dan satu-satunya pusat kesihatan di wilayah tersebut telah ditutup kerana serangan berterusan oleh pasukan rejim.
"Pasukan rejim berusaha memasuki Daraa al-Balad dari tiga sisi - Nahla, Kasad, dan Doma," kata beliau yang juga Jurucakap Komuniti Kebebasan Horan, sebuah kumpulan yang diasaskan oleh aktivis dari Daraa.
"Mereka menggunakan mortar, kereta kebal, dan tembakan artileri untuk maju, sementara penduduk setempat dan bekas anggota pembangkang bertindak balas dengan senjata ringan." tambah beliau bercakap kepada agensi Anadolu.
Katanya, Wilayah itu, yang dikenal sebagai tempat kelahiran revolusi Syria, disekat oleh pasukan rejim pada 25 Jun lalu.
Rejim bertindak demikian setelah penduduk, termasuk bekas anggota pembangkang Syria, menolak perintah untuk menyerahkan senjata ringan mereka dan membenarkan pasukan rejim menggeledah rumah di kawasan itu.
Menurut Pusat Rekonsiliasi dan tokoh tempatan yang berpusat di Daraa, perintah itu ditentang kerana melanggar syarat perjanjian 2018.
Kesepakatan itu memungkinkan ribuan pemberontak dan orang awam dari kawasan lain, selamat memasuki wilayah itu.
Sementara pasukan rejim yang disokong oleh Rusia melancarkan serangan untuk merebut kembali Daraa.
Rejim sebaliknya memulakan tindakan ketenteraannya walaupun telah setuju pada awal minggu ini untuk menghapus sekatan tersebut.
“Orang ramai takut dan mula meninggalkan kawasan itu. Sekurang-kurangnya 600 keluarga telah meninggalkan kediaman mereka sejak semalam, ”kata Abu Nokta.
Belau berkata, mereka bimbang serangan itu akan menyebabkan pemindahan semua 40,000 penduduk dari wilayah itu.
Ulasan