Tahniah 'Tok Naqib' Atas Pelantikan Sebagai Menteri

 


Oleh: Dr Riduan Mohamad Nor

Pahatan taqdir telah dipahat!, aku memisat misat mata separa sepetku bila namanya bergentayangan di Media sosial,ucapan tahniah meledak dimana- mana. Wah! Hidup ini sentiasa mengejutkan dan tak terduga.

Pelantikan Lima enam orang sosok pimpinan PAS sebagai Menteri Dan Timbalan Menteri begitu menguja akal. Ucapan tahniah bertebaran untuk Dato Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, Dato Seri Takiyuddin, Dr Nik Zawawi, Dato Amzad, Dato Siti Zailah,Dato Awang Hashim, Dato Ahmad Marzuk dan paling menguja akal apabila Ustaz Idris Ahmad tercalon sebagai Menteri Agama.

Sejujurnya Ustaz Idris paling banyak menerima kalungan tahniah , mungkin kerana faktor pengalaman bergulat dengan akar umbi, kekanangan dalam parti, memegang portfolio yang paling dekat dengan nurani orang PAS " Menteri Agama". Anak kelahiran Bukit Gantang ini mendapat pendidikan awal di daerah kelahirannya sebelum menyambung pengajian peringkat menengah di Kolej Islam Kelang. Alma mater yang melahirkan ramai tokoh negara serta tokoh gerakan, disini bakatnya diasah dalam organisasi dan skill  oratasi. Ustaz Idris melanjutkan pendidikan tinggi di UKM Bangi dalam bidang Dakwah dan Kepimpinan sehingga menggalang tahap Sarjana ( MA), beliau juga menyambung ijazah doktorat di UKM namun berhenti kerana masalah peraturan baru Pengajian Tinggi .

Lelaki beristeri satu ini juga adalah mantan pensyarah UITM Melaka dan kesempatan berkhidmat di Melaka telah digunakan untuk mengkaderkan ramai anak muda. Beliau menggerakkan Jabatan Pelajar Dan Mahasiswa, seterusnya menggerakkan Lujnah Tarbiah Dan Perkaderan dalam Dewan Pemuda PAS. Sosok ini berinteraksi dengan ramai anak muda kampus, para pemuda diseluruh tanahair, juga perkaderan dalam dan luar negara, Eropah ke Asia Barat , berlanglangbuana ke Asia Timur serta Nusantara. Jawatan akhirnya dalam Dewan Pemuda PAS Pusat ialah sebagai Timbalan Ketua pemuda. Semenjak 2015 ustaz Idris adalah Naib Presiden PAS, manakala sebahagian besar teman- teman lamanya telah menubuhkan Parti Amanah ( PAN).

Perlantikan sebagai Menteri Agama akan menjadikan YB Senator Ustaz Idris Ahmad sebagai tarikan pesona terbesar, orang Melayu sangat prihatin dengan apa sahaja polisi dan isu agama. Dalam rimbunan dan ribuan ucapan tahniah bergentayangan di medsos ,Aku pasti sebulan dua ini para pembenci beliau akan berhempas pulas mencari kelemahan. Persaingan inter  jamaah juga mewarnai Kementerian bawah beliau,segalanya tak mudah untuk ditanggani, pengalaman berorganisasi sejak zaman belia akan menjadi senjata paling ampuh. Watak bermuka  manis  ini disenangi anak - anak buah, Dia umpama abang dan guru, dimarahinya bermakna dia sayang, bergurau kami bukan kepalang. Semenjak keluar kampus dia tak lelah membimbing aku dijalan ini, memberikan peluang awal untukku berkuliah, dimasukkan dalam Lujnah Tarbiah dan menikmati persahabatan yang indah.

Mantan pendebat nasional di zaman persekolahan, mantan pemimpin mahasiswa UKM dan nasional, kalah banyak kali dalam PRU dan PRK, menang pada tahun 2013 di Parlimen Bukit Gantang namun tewas pula pada 2018. beliau dilantik sebagai Ahli Dewan  Negara selepas berlaku perubahan pentadbiran peringkat nasional . Kami generasi pimpinan anak muda 90an menggelarkannya tok naqib dan dia memimpin kami tanpa ada jurang harkat sosial. Moga Kementerian dibawah Ustaz Idris Ahmad bergegar dengan suara garau beliau nanti dan dipacu dengan efektif dan piawai.

Seorang lelaki dengan guratan wajah yang tenang dan tak lekang senyuman. Pernah dia  tanpa jawatan kabinet atau sebagai ahli legislatif namun dia tetap senyum berkhidmat kepada jamaah dan mencerahkan ummah. Aku tahu koceknya tak tebal  tetapi tiada alasan untuk dia tidak senyum dan gembira. Ribuan anak-anak buah diseluruh negara mendapat sentuhannya, semenjak zaman kampus sehinggalah fasa zaman tua, dia istiqomah mencetak kader dakwah. Ayahnya adalah ulama tersohor Tuan Guru Haji Ahmad Sungai Petai,begitu juga adik beradiknya yang lain seperti Ustaz  Dato Salleh Haji Ahmad, Ustaz Zakaria Ahmad, Ustaz Hasan Ahmad, Ustaz Husein Ahmad dan lain- lain.

Dia berada di tengah kami sebagai abang yang mendamaikan, mengambil tahu makan pakai kami walaupun dia sendiri susah. Airmatanya juga kadang menjadi murah apabila melihat kesusahan dan kejerihan para amilin. Sebab itulah aku sayangkan jamaah ini kerana inilah pimpinannya berwatak begini . Menjaga hubungan dengan Tuhan dan berkasih sayang dengan manusia tanpa nama .

( Penulis ialah AJK PAS Pusat, Pengerusi LESTARI)

Ulasan