Tugas Ahli Politik Bukan Untuk 'Berpolitik Semata-mata'


KUALA TERENGGANU - Tugasan utama sebagai ahli politik ialah mesti berpolitik dan kriteria untuk menjadi wakil rakyat pula ialah seseorang itu mesti datang daripada kalangan ahli politik mahupun ahli parti. 

Namun begitu, dalam membawa wadah dan perjuangan parti, tugasan utama sebagai wakil rakyat adalah jauh dari berpolitik semata-mata. 

Ketua Penerangan PAS Terengganu Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, tugas hakiki wakil rakyat adalah perlu untuk memastikan kebajikan rakyat terbela. 

"Sebut sahaja wakil rakyat, ia sangat berkait dengan parti kerana wakil rakyat ditunjangi oleh parti yang membawa wadah perjuangan masing-masing.

"membawa suara-suara rakyat dan berkhidmat sebaiknya buat rakyat. 

"Setiap hari saya masuk kampung mahupun berjumpa dengan rakyat dan melihat realiti kehidupan harian dan kesusahan mereka," jelasnya pada catatan di laman sosial beliau.


Menurutnya, penularan wabak Covid-19 dan pelaksanaa Perintah Kawalan Pergerakan benar-benar menguji rakyat, terutamanya melibatkan soal ekonomi.. 

Beliau yang juga ADUN Wakaf Mempelam berkata, setiap hari rakyat mengadu kesusahan dan keluh kesah mereka.

"Setiap hari juga ketika hari bekerja, Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Wakaf Mempelam sentiasa dikunjungi oleh rakyat yang datang membawa harapan.

"Sebab itu, apabila saya diminta untuk mengulas soal isu politik semasa, saya lebih suka untuk tidak menghangatkan suasana, " ujar beliau. 

Tegasnya, fokus beliau adalah untuk berkhidmat pada rakyat dan membantu rakyat dengan sebaiknya dengan posisi yang diamanahkan, mengikut kemampuan yang ada. 

"InsyaAllah, selagi hayat dikandung badan, khidmat saya dan seluruh jentera Pusat Khidmat Masyarakat DUN Wakaf Mempelam sentiasa bersedia untuk berkhidmat buat semua rakyat DUN Wakaf Mempelam. 

"Tiada istilah parti mana, sokong atau tidak kerana kita adalah sebuah komuniti Wakaf Mempelam Sejahtera. InsyaAllah, kita lalui sama-sama," tambah beliau.




Ulasan