KUALA TERENGGANU - Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP) mengajak semua pihak untuk menghargai dan menghayati perjuangan generasi terdahulu, Raja dan Sultan dan para ulama serta seluruh pemimpin rakyat yang bangkit memperjuangkan kemerdekaan tanah air daripada cengkaman penjajah.
Ketuanya, YB Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh berkata, ramai dalam kalangan mereka yang terkorban, dipenjarakan, bahkan ada yang dibuang negeri.
"Semoga Allah SWT merahmati dan memberkati perjuangan mereka serta menempatkan mereka bersama roh Para Syuhada’, Solihin dan Mukminin." ujarnya dalam kenyataan media sempena sambutan ulangtahun hari kemerdekaan ke-64.
Menurutnya, pengekalan tema sambutan tahun ini "Malaysia Prihatin" sangat relevan dengan situasi semasa yang sedang dihadapi oleh pihak kerajaan dan seluruh rakyat dalam menangani pandemik Covid19.
"Usaha berterusan dan bersepadu semua pihak dalam membantu mereka yang terjejas dengan pandemik ini menggambarkan sikap keprihatinan rakyat Malaysia yang wajar dibanggakan." tegas beliau.
Dalam masa yang sama, Timbalan Menteri (II) Pertanian dan Industri Makanan itu berkata, sambutan kali ini juga menyaksikan berlaku perubahan dalam kepimpinan negara.
Walaubagaimanapun, DUPP tetap optimis perubahan ini dapat meneruskan usaha-usaha yang telah dilakukan oleh kepimpinan sebelum ini dalam menangani pandemik Covid19 serta membantu memulihkan ekonomi negeri melalui Pelan Pemulihan Negara (PPN).
"Alhamdulillah, DUPP melahirkan rasa gembira dengan perkembangan positif yang terhasil dari program imunisasi kebangsaan serta kepatuhan seluruh rakyat terhadap SOP MKN yang ditetapkan.
" Walaupun jumlah kes positif harian masih tinggi, tetapi keperluan kepada fasiliti kesihatan semakin berkurangan selain dari pembukaan yang lebih banyak sektor ekonomi dan sosial." tambah beliau.
Justeru itu, DUPP juga menyeru semua pihak untuk sama-sama menjaga nikmat persaudaraan dan perpaduan yang terbina.
" Nikmat ini merupakan antara faktor utama kejayaan Rasulullah SAW dalam memimpin negara Islam Madinah.
"DUPP secara konsisten mengajak semua pihak untuk menyuburkan dan mengekalkan nikmat persaudaraan dan perpaduan ini dan perlu berusaha seboleh mungkin untuk mengelak dari jarum-jarum halus pihak-pihak berkepentingan untuk merobohkan dan meleraikan nikmat perpaduan yang terbina," katanya lagi
Ulasan