KUALA TERENGGANU - PAS berpendirian, mengetepikan perbezaan adalah tindakan wajar kepada mana-mana parti politik Melayu, demi memastikan kesejahteraan rakyat terus dipelihara. kerana perbalahan dan persengketaan hanyalah merugikan negara.
Naib Presiden PAS, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, perbalahan dan persengketaan hanyalah merugikan negara, kerana tiada mana-mana parti yang boleh membentuk kerajaan secara bersendirian.
“Buktinya adalah dengan terbentuknya kerajaan persekutuan hari ini yang disokong oleh pelbagai parti politik atas asas kerjasama.
“Suasana yang ada pada hari ini membawa kita untuk menerima kerjasama politik dan ianya merupakan pendekatan yang terbaik setakat ini bagi menjamin kestabilan politik diperingkat negeri dan negara,” ujarnya.
Menteri Besar Terengganu itu berkata demikian ketika menggulung ucapannya, pada Sidang Mesyuarat Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri ke-14, di Wisma Darul Iman, Rabu 15 September.
Katanya, pembentukan Muafakat Nasional diantara PAS dan Umno yang menjangkau tahun kedua, telah menjadi pencetus kepada penyatuan umat.
“Penyatuan ini merupakan sesuatu yang dikehendaki oleh rakyat, terutamanya yang sudah bosan dengan politik konfratansi dan politik perlawanan.
“Rakyat mahu politik yang matang dan memberikan kesejahteraan buat mereka. Usia kita baru dua tahun, namun usaha untuk mendekatkan dan merapatkan kedua buah parti ini samada di peringkat kepimpinan mahupun akar umbi tetap kita gerakkan seinci demi seinci." tegasnya.
Oleh itu, kata beliau, dalam usaha tersebut, pasti banyak perkara yang perlu dipertimbangkan dan menyentuh sedikit sebanyak kepentingan kedua-dua belah pihak.
Justeru katanya, adalah menjadi satu keperluan, untuk menguruskan sebarang perbezaan dan salah faham melalui meja perundingan dan perbincangan.
“Usaha ini bukan mudah, tambahan kita hidup dalam suasana polik ‘baloh’ dan ‘gaduh’ selama puluhan tahun. Pastinya proses mendekatkan dan menyejukkan itu memakan masa.
“Namun, saya optimis jika kita sebagai kepimpinan memainkan peranan masing-masing pastinya rakyat akan dapat menikmati hasil penyatuan yang kita gerakkan ini.
“Bak kata orang tua-tua yang pekak Pelepas bedil, yang buat pengembus lesung, yang bisu penggera ayam, yang lumpuh penghuni rumah,” jelasnya.
Ulasan