Saya merujuk kepada jawapan bertulis daripada Menteri Kewangan, Dato Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz dalam Parlimen hari ini yang memaklumkan bahawa pada tahun ini kekerapan membuat cabutan khas nombor ramalan telah meningkat kepada 22 kali pada tahun ini. Ia telah meningkat secara mendadak berbanding hanya 8 kali sahaja pada tahun 2020.
2. Perkembangan ini amat mengecewakan kepada kami selaku pimpinan dan ahli kepada Parti Islam SeMalaysia (PAS) sebagai salah satu parti kompenen untuk Kerajaan Persekutuan pada hari ini.
3.Peningkatan kekerapan cabutan khas ini telah seolah-olah menzahirkan bahawa Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Kewangan telah memberi lampu hijau dalam menggalakkan rakyat Malaysia dalam kegiatan tidak bermoral ini.
3. Selain ia telah dihukum sebagai haram di sisi agama Islam, ia jelas akan menyumbang kepada keruntuhan akhlak dalam institusi kekeluargaan dan masyarakat.
4.Keprihatinan Kementerian Kewangan dalam hal ini amatlah diperlukan bagi memastikan amalan ini tidak akan berakar umbi kepada generasi akan datang.
Allah swt telah berfirman:-
“Hai orang-orang yang beriman, sesungguhnya (meminum khamar, berjudi, (berkorban untuk) berhala, mengundi nasib dengan panah adalah perbuatan keji termasuk perbuatan syaitan. Maka jauhilah perbuatan-perbuatan itu agar kamu mendapat keberuntungan.
“Sesungguhnya syaitan itu hendak menimbulkan permusuhan dan kebencian diantara kamu lantaran (meminum) khamar dan berjudi itu, dan menghalangi kamu dari mengingati Allah dan sembahyang; maka berhentilah kamu (dari mengerjakan amalan itu)" (Surah al-Maidah : 90-91)
5. Kementerian Kewangan juga ditekankan agar tidak menggunakan alasan atau justifikasi untuk menambahkan pendapatan negara melalui peningkatan kekerapan cabutan khas nombor ramalan ini.
6.Biarpun realitinya, negara kita masih lagi bergelut keluar dari kegawatan ekonomi kerana pandemik COVID 19, namun negara kita secara fizikalnya masih lagi berkemampuan untuk mempelbagaikan inisiatif dan usaha untuk merancakkan ekonomi negara kita tanpa bergantung kepada sektor perjudian nombor ramalan ini semata-mata.
7. Saya mendesak Kementerian Kewangan untuk mempertimbangkan semula untuk membenarkan peningkatan kekerapan cabutan khas nombor ramalan pada tahun ini sebagaimana yang telah diumumkan.
8.Jangan dicemari usaha dan doa kita kepada Allah SWT agar dijauhi dari ujian Pandemik Covid-19 dengan membenarkan perkara mungkar ini.
9. Saya minta tindakan segera diambil dengan menamatkan sektor perjudian nombor ramalan dalam Keluarga Malaysia yang kita kasihi ini.
Ulamak Perteguh Muafakat
Islam Memperkukuh Perpaduan
YB USTAZ MOHD NOR BIN HAMZAH
Ketua Penerangan
Dewan Ulamak PAS Pusat
Ulasan