Mengenang Lima Tahun Pemergian Tuan Guru Dr. Haron Din

 


Oleh: Dr Riduan Mohamad Nor

Sesepuh perjuangan dengan sebanjaran jasa bakti kepada ummat tetap akan terpasak kukuh didalam ingatan Kita semua. Guratan wajah bersih mulus dengan berbusana rapi, lenggok bahasa yang terjaga rapi Serta tarikan pesona yang alami menjadikan almarhum sentiasa mendakap relung hati para amilin .

Sheikh Dr Yusuf Al Qardawy mencicipkan berita pemergian almarhum dan menyifatkan sebagai satu kehilangan kepada dunia Islam,begitu juga situs berita Ikhwanul Muslimin berkongsi kesedihan anggota harakatul ummah tanahair ini. Beliau disepanjang kehidupan tak lelah berbakti dimedan ilmu, kemasyarakatan , berpencak dimedan siasah serta mentarjih ummah agar tak dibadai dengan gelora lautan jahiliah moden.

Anak kelahiran Perlis daripada keluarga yang cintakan agama, menempuh perjalanan panjang bermukim ilmu di pelbagai alma mater. Menggenggam ijazah doktorat daripada ardhul kinanah yang berprestij, Antara murid  awal Kolej Islam Malaya yang diasaskan oleh tokoh pendidikan Malaya, Prof Zulkifli Mohamad yang juga Timbalan Presiden PAS. Sosok ini dalam kelasnya yang tersendiri, menjadi penasihat Syariah Institusi kewangan serta pendakwah penting semasa negara ini diterjah arus kebangkitan semula Islam awal abad 15 hijrah.o

Saat golongan intelektual selesa dengan kehidupan mereka dalam dekad 1970-an, beliau telah pun menjadi Ahli Jawatankuasa kerja PAS Pusat. Maestro dakwah ini membangunkan jamaah semenjak zaman mudanya, walaupun menjadi tenaga pensyarah di kampus Bangi yang saat itu masih berhutan tebal. Beliau membangunkan jamaah saat, sebahagian besar kelompok kelas menengah masih meragui keupayaan Parti Islam mengurus dan mentadbir negara.

Tokoh sarjana muslim ini bukan sahaja mencanai intelektualnya dengan puluhan buku dan ratusan kerta kerja di menara gading,namun menyumbang kepakarannya untuk masyarakat umum negara ini. Namanya mengharum dalam perubatan Islam, bukan sekadar beliau mengubati masyarakat yang sakit daripada sudut akidah tetapi melahirkan jumlah yang besar pengamal perubatan Islam dengan tertubuhnya Darul Shifa' di Bangi. Darul Shifa' juga mempunyai jaringannya diseluruh negara, berbakti pada masyarakat.

Minat murabbi ini kepada pendidikan Islam tak mampu diremehkan, kerana usaha jihad ta'lim telah berakar dalam jiwanya. Beliau menjadi banyak penasihat kepada institusi pendidikan dan dakwah, antaranya Pusat Dakwah Serantau yang banyak melahirkan para daie dan menebarkan dakwah di kawasan pedalaman. Tuan Guru juga dalam keadaan uzur, masih lagi berulang ke Perlis, negeri kelahirannya untuk menyampaikan kuliah, antaranya di MATIN. Jiwanya segar apabila menyampaikan ilmu kerana itulah cinta dan citranya dalam kehidupan. Memberikan ilmu seolah terapi baginya dan tak banyak memberi alasan bila diajak menyumbangkan ilmu kepada masyarakat. Jika beliau tak hadir dalam majlis ilmu yang dirancangkan, bermakna beliau sakit yang tenat atau dalam pemerhatian doktor.

Dr Haron Din antara tokoh PAS yang dibenci oleh kelompok politikus liberal pragmatis kerana ketegasan beliau mempertahankan prinsip perjuangan Islam. Beliau dicaci dan dinista, namun ini tidak menjadi kudis buta kepada semangat beliau untuk membahterai perjuangan Islam ini. Sebagai Mursyidul Am, beliau mengambil tindakan bersama Majlis Syura dalam menentukan PAS tidak menjadi perkakas politik kepada musuh Islam untuk memanipulasi kekuatan jentera PAS. Memutuskan hubungan dengan rakan pemuafakatan politik yang tidak menghormati prinsip Islam mungkin pahit kepada pemimpi Putrajaya, namun itulah rakaman sejarah yang berlaku semasa Dr Haron memimpin Majlis Syura Ulama.

Sikap pemurah beliau diketahui umum, bahkan meledak pelbagai cerita bantuan yang beliau salurkan selepas pemergian almarhum. Antara keseriusan beliau dalam menanam saham akhirat ialah membantu pembinaan kompleks tarbiah, sekolah agama, masjid serta pelbagai institusi Islam di negara ini. Masyarakat umum menghormatinya melepasi garisan sempadan politik kepartian, beliau dianggap milik ummat Islam. Kitab tulisannya bertebaran dan digunakan sebagai teks pengajian, termasuk oleh PDRM. 

Penulis teringatkan sosok maestro dakwah ini dalam mengobarkan api semangat, beliau hadir ke daerah Besut dalam bulan Mac 2016 untuk merasmikan kompleks Dakwah  Malaysia (KODIM) yang diusahakan oleh Ustaz Dr Nik Zawawi,Kini Timbalan Menteri Pertanian Malaysia. Murabbi ini berucap lebih sejam di atas mimbar masjid, guratan wajahnya gembira serta energinya kelihatan seperti masih muda. Beliau juga merasmikan majlis pecah tanah kompleks Pendidikan an Nur Besut yang penulis usahakan, dalam keadaan agak penat beliau tidak menghampakan. Mendoakan supaya diberkati segala usaha mengajak manusia untuk hidup bertuhan serta dimudahkan segala gerakerja membina mercutanda pendidikan di daerah agrarian itu. Kini setelah lima tahun acara perasmian tapak kompleks pendidikan Tahfiz an nur Besut telah berjalan pendidikan pra tahfiz, sekolah rendah tahfiz an nur, Tahfiz an nur sepenuh masa serta Kolej Universiti Al Quran yang mula dibina minggu ini.

Hari ini kita telah lima tahun kehilangan murabbi ummah dengan segunung kebaktian di medan amal Islami. Negara kita bersedih kerana almarhum adalah milik semua orang, menyantuni orang susah, merawat yang sakit, mencerdaskan akal ummat. Terbayang senyuman manis dan doanya yang lirih serta taujihatnya yang menunjal-nunjal lubuk hati dan akal kita. Bersemadilah wahai sang murabbi, kami semua menjadi saksi akan kebaktianmu, kebaikanmu, juga dedikasimu di jalan juang ini.

----------------------------------------------------------------

*  Penulis ialah AJK PAS PUSAT , Pengerusi LESTARI.

Ulasan