PAS Menjunjung Kasih Titah, Fokus Pemulihan Negara


Parti Islam Se-Malaysia (PAS) menjunjung kasih titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah ketika Istiadat Pembukaan Penggal Keempat Parlimen Keempat Belas, pagi tadi. 

Sesungguhnya titah yang jelas dan tegas tersebut merupakan satu panduan kepada seluruh ahli-ahli Yang Berhormat supaya kekal fokus kepada agenda pemulihan negara dan segera membawa rakyat keluar daripada pandemik COVID-19. Tugas berat tersebut mesti dipikul bersama dalam kerangka demokrasi, syura dan semangat Keluarga Malaysia. 

PAS turut menghargai penghargaan baginda terhadap perkembangan positif daripada pelbagai usaha kerajaan seperti Pelan Pemulihan Negara (PPN), Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) dan siri-siri pakej rangsangan ekonomi yang bernilai RM530 bilion. PAS yakin masih banyak ruang penambahbaikan yang perlu difokuskan untuk memberdaya negara ke arah kejayaan yang lebih besar. 

Dalam sidang pada kali ini, PAS akan terus menyuarakan hasrat dan kemahuan rakyat selain memastikan agenda penting seperti Rancangan Malaysia Kedua Belas dibahas secara konstruktif demi mencapai matlamat ke arah Malaysia yang makmur, inklusif dan mampan. 

PAS juga akan memastikan semua ahli Yang Berhormat sentiasa menyantuni dan empati terhadap nasib rakyat di lapangan. Semua kemudahan dan bantuan kerajaan akan dimanfaatkan secara optimum untuk membantu rakyat tanpa mengira anutan agama, kaum dan fahaman politik. Insya-Allah. 


*TUAN IBRAHIM TUAN MAN* 

Timbalan Presiden 

6 Safar 1443 | 13 September 2021

Ulasan