Saran Bantuan ‘One Off’ Kepada Pengusaha Sekolah Tahfiz


KUALA TERENGGANU – Kerajaaan Persekutuan khususnya Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) disaran  memberikan bantuan ‘One Off’ kepada pengusaha Sekolah Tahfiz di seluruh negara.

Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Ustaz Riduan Mohd Nor memohon, agar tindakan drastik diambil berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyebabkan banyak sekolah terbabit terpaksa ditutup.

“Berikan ‘One Off’ bajet kepada pihak pengurusan tahfiz untuk pemberdayaan dan pengurusan supaya matlamat untuk melahirkan generasi Al Quran dapat kita teruskan serta dapat kita capai  cita-cita ini,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika dihubungi mengulas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Ustaz Idris Ahmad yang akan memberi fokus kepada ‘Isu Tahfiz Henti Operasi’ yang disiarkan pihak media, semalam. 

Menurutnya, media melaporkan sebanyak 64.7 peratus Maahad Tahfiz di Malaysia perlu menutup operasi atas arahan kerajaan.

Kata Ustaz Riduan, isu pengoperasian sekolah Tahfiz ini adalah perkara besar setelah pandemik Covid-19 melanda seluruh dunia, memasuki tempoh tahun yang kedua.

Beliau menambah, Pengajaran dan Pembelajaran Di Rumah (PDPR) secara online (maya) turut menjejaskan prestasi kerana melibatkan kemampuan pihak sekolah tahfiz menyediakan peralatan perlu. 

“Saya yakin  sebahagian besar sekolah tahfiz rakyat tidak ada kemampuan untuk para pelajar belajar secara maya ‘online’ kerana kemiskinan dan kemelaratan  serta tidak mampu membeli gajet.

“Ada para pelajar 'gagap teknologi' menyebabkan mereka terjejas  dan ada tindakan segelintir ibu bapa memberhentikan  anak-anak mereka kerana tidak mampu membayar yuran  bulanan,” ujarnya.

Soalnya, kata beliau, kenapa Sekolah Tahfiz perlu ditutup sedangkan, kerajaan sebelum ini, turut memberikan bantuan ‘One Off’ kepada Sekolah Kebangsaan Jenis Cina (SKJC) dan Sekolah Kebangsaan Jenis Tamil (SKJT).

“Jadi keciciran di sekolah tahfiz ini  sangat serius di musim pandemik dan ini melibatkan kehilangan  kewangan pada pihak pengurusan tahfiz  serta tidak mampu membayar gaji guru-guru dan staf bukan akademik,” katanya.

Justeru itu, beliau berharap agar pihak kerajaan mengambil tindakan sewajarnya agar sektor pendidikan Islam swasta dan tahfiz diberikan fokus agar tidak ditutup kerana kekurangan dana.

Ulasan