Oleh : Noreni Abu Bakar
KUALA NERUS - Perasaan sebak seorang warga emas tidak dapat disembunyikan apabila sukarelawan Muslimat dan Ameerah datang ke rumahnya, di Kampung Jeram, Manir.
Kelthom Abu Bakar, 70, lebih mesra dipanggil Mak Cik Mek tinggal seorang diri, bersyukur dengan kehadiran mereka untuk membantunya mengangkat air ke dalam rumahnya untuk kegunaan seharian.
"Alhamdulillah, mari tolong angkut air ke bilik mandi mak cik, tak dok air, tak mandilah saya," katanya yang sebelum itu hanya mampu mengambil air menggunakan botol air minuman sahaja.
Kelthom Abu Bakar |
Sehubungan itu, Naib Ketua Muslimat PAS Terengganu, Tuan Roslina Tuan Sulaiman yang dihubungi hari ini berkata, Muslimat dan semua agensinya, sentiasa mengambil berat masalah mereka yang sedang diuji dengan situasi terputus bekalan air.
Kata beliau, usaha intensif digerakkan untuk membantu kaum hawa yang kurang berupaya termasuk warga emas, ibu tunggal dan isteri yang berjauhan daripada suami.
"Memandangkan tidak ada orang lelaki di rumah mereka jadi susah nak angkat air masuk ke dalam rumah, petugas lelaki hantar air di hadapan rumah sahaja,
"Ada ibu yang sarat mengandung, anak-anak kecil, suami bekerja jauh, ada yang ibu tunggal tak ada anak lelaki, jadi mereka ini perlukan pertolongan," jelasnya.
Justeru itu, beliau mengarahkan Muslimat Cawangan-cawangan mengenal pasti golongan tersebut agar tindakan segera dapat diambil
"kita akan hantar segera sukarelawan untuk membantu jika Muslimat di cawangan-cawangan perlu tenaga," tegasnya.
Ulasan