Oleh: Dr Riduan Mohamad Nor.
" Enta jangan tulis ..nanti Ana ' tiada ' kalau nak tulis , ana pun tak tahu ana ISTIQOMAH atau tidak" murabbi ummah itu memberikan arahan khas.
Tegas secara khusus agar aku tak mengkultuskan beliau dalam tulisan biografi. Secaranya secara alami ,Aku melihat dengan mata lendirku penghormatan kepada Ayah Chik oleh Dr Abdul Razak Muqri, pimpinan gerakan Islam Algeria dan sheikh Rashid Ghanousi kepada sosok besar gerakan Islam dunia ini.
Banyak peristiwa yang aku lihat namun aku redamkan perasaan untuk meninta tentang peribadi Ayah Chik. Pemusafiran ke Algeria dan negara Tunisia dengan Presiden PAS itu memberikan seribu pengalaman berhàrga dalam hidupku, budak Hulu yang tersesat di banir kota!.
Tahun 2015 ,aku dipanggil mengadap Àyah Chik kerana laporan seorang mantan pemimpin PAS ( Kini bersama PAN) tentang penulisanku di fb. Aku sedar bahawa ada rakan fb yang suka " mengetag" status panas di status fb personal aku dan kesannya ada yang melaporkan pada Tuan Guru Presiden ( kelompok ini kalah berjemaah dalam Muktamar PAS 2015).
" Kena hati- hati menulis, jangan ikut perasaan...bukan semua perkara kena tulis Kat fb!" Àyah Chik melotot katanya, suara direndahkan namun seperti petir tajam menyambar relung hati. Aku diam tak berkutik. Walaupun aku tahu dan sedar selama ini tak pernah masalah dalaman Aku gegerkan dalam fb namun rasa hormat pada sosok besar perjuangan Islam itu menyebabkan mulut aku sekolah tertelan gam cap gajah!.
Pada suatu hari pula sekitar tahun 2017, seorang anggota legislatif PAS di Pahang menelefonku. " Weii..Ayah chik marah tu..mung tulis apa keluar kat Harakah Daily..?tak selari dengan keputusan parti...kan dah sebut dalam mesyuarat...tu laaa... mesyuarat tak sempat habis dah keluar mung kelmarin" Bebel panjang temanku,anak Hulu Besut yang membesar di negeri Pahang itu.
Dia berpesan agar berhati-hati dengan setiap esei melibatkan PAS kerana Àyah Chik makan membaca dengan teliti , Allahuakbar!. Dalam " ngeri" terasa membusung dada kerana tulisan diamati oleh figura besar perjuangan Islam dunia. Pemimpin adalah pembaca!, Itulah karektor terang Tuan Guru Presiden PAS.
Enam bulan ini kita semua mengikuti dengan dekat sosok tubuh yang berjasa dalam gerakan Islam dalam dan luar negara ini , Tuan Guru Haji Abdul Hadi walau sedikit keuzuran dan rakyat terbanyak mendoakan ilmuan ini agar sembuh untuk terus menebarkan ilmu dan memimpin ummat. Beliau berusaha menghadiri pelbagai program, termasuk minggu lepas dalam pemukiman PAS Pusat, kuliah Maya daripada Masjid Rusila terus mencerahkan akal. Sepatutnya Ayah Chik berehat seketika daripada kepadatan program, namun digunakan untuk terus memerah akal dan menghasilkan tulisan yang mencerahkan tentang politik Asia Barat, nasihat- nasihat berguna untuk para amilin serta ummah keseluruhannya.
Aku teringat saat Àyah Chik dimasukkan ke IJN tahun lepas, kondisi itu sepatutnya adalah ruang masa untuk berpangku lengan dan berehat panjang, figura ini terus meninta dan mengasah akal dengan meminta anakandanya Ustaz Mohd Khalil untuk mengusung komputer bimbit ke IJN. Itulah karektor sebenar Ayah Chik yang aku kenali dan kalian kenali, namun para pembenci tak pedulikan itu semua kerana mereka sudah mewarnakan hitam pada apa sahaja berkaitan dengan tuan guru. Lihat sahaja komen-komen toksid di portal MalaysiaKini terhadap Presiden PAS ini. Tidak bersahabat malah seperti orang gasar watak kelakunya.
Tuan guru dengan sikap pemaaf dan tak peduli akan kecaman para pembenci terus bergerak kemana sahaja, turut diheret jasadnya, sekali dengan ilmu yang akan keluar daripada akal dan mulutnya. Masa lapangnya dipadatkan untuk menulis buku dan membaca. Hampir seratus buah buku yang telah ditulis termasuk dalam bahasa Arab, satu pencapaian besar sebagai ilmuan dan mufakkir islam. Aku pernah menjadi saksimata bagaimana tekunnya sang ulama ini menulis dan melakar aksara walau dalam ruang masa terbatas. Dalam satu pemusafiran ke Afrika Utara bersama beliau enam tahun lepas, dimanfaatkan setiap masanya didalam penerbangan untuk menulis.
Tidak pelik akalnya tajam mengingat fakta dan analisa kerana beliau merencah kehidupannya dengan membaca dan menulis. Penulis ialah insan yang lumayan pahala kata Buya Hamka, saat sang penulis tidur sekali pun, pahala tetap mengalir. Bahan penulisan akan kekal dibaca dan menjadi rujukan daripada satu generasi ke satu generasi yang lain. Banyak juga buku-buku lama Ayah Chik diberi nafas baru oleh penerbit baru, industri buku tidak lagi meriah namun jualan buku secara maya masih lagi rancak.
Seluruh hidupnya diwakafkan untuk perjuangan Islam dan dakwah, beliau figura antarabangsa yang dimiliki oleh negara kita walaupun diterjang tanpa henti oleh pembencinya sepanjang zaman. Dia tak lelah menyampaikan ilmu dan terus mencari ilmu, walau sesibuk mana sekali pun menggalang jawatan penting dalam parti dan kerajaan.
Saat belahan negara Arab sedang dibadai fenomena Arab Spring, pandangan beliau dipinta oleh tokoh-tokoh besar gerakan Islam di Timur Tengah. Bagaimana harus untuk gerakan Islam memanfaatkan ruang untuk berpencak dipentas demokrasi persaingan kuasa, mengurangkan intriq antara pesaing dan juga memicu perubahan dalam ruang demokratik yang dibenarkan. Ikhwanul Muslimin akhirnya menubuhkan sayap politiknya, FJP serta berjaya mengadakan pemuafakatan politik dengan parti-parti yang lain. Nasihat Sheikh Abdul Hadi umpama ketulan-ketulan emas pengalaman yang sangat bernilai kerana PAS yang dipimpin oleh beliau telah memasuki dekad ke tujuh bertarung dimedan dakwah, tarbiah serta siasah.
Apa yang abnaul harakah perlu belajar daripada Ayah Chik?, pertama ialah, bagaimana masa dan kehidupan perlu diuruskan dengan sebaik mungkin kerana masa kehidupan adalah modal yang akan dipertanggungjawabkan dihadapan Allah. Seorang pemimpin dan ahli-ahli tetap mempunyai masa yang sama dalam sehari, namun bagaimana untuk menguruskan masa semoga menjadi ketulan zamrud yang bermanfaat kepada ummat.
Bagaimana memanfaatkan masa jika kita habiskan dengan berlabun, berlamaan dengan gajet, menonton televisi, mengumbar, tidur yang panjang, rehat yang tak kesudahan?. Berapakah masa yang kita peruntukkan untuk membaca dalam sehari, masa yang diperuntukkan untuk mengkaji dan mentadabbur ayat-ayat al Quran?. Ramai kalangan kita sentiasa kagum dan teruja dengan tokoh-tokoh hebat dalam perjuangan Islam, al Banna dan angkatannya, juga tokoh - tokoh dalam tanahair seperti almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz, almarhum Ustaz dato Harun Taib, Almarhum Ustaz Yahya Othman, almarhum Ustaz Hasan Shukri. Namun adakah kita mengambil iktibar dan bercermin dengan tokoh- tokoh ini memanfaatkan masa mereka untuk ummah?.
Bagi aku, Ayah Chik mengajar kita semua agar menakluki setiap detik inci masa dengan kerja bermanfaat,terutama sang pemimpin. Mencerahkan akal masyarakat dengan ucapan dan tulisan, menjauhi intriq dan polemik, apatah lagi obses dengan harta benda melalui jawatan yang dipegang. Jom, Kita belajar sesuatu daripada Ayah Chik sempena hari ulangtahun kelahiran tokoh murabbi ummah ini yang ke 74. Sanah helwah Ayah Chik, moga terus memimpin kami semua menggalang gerakerja Amal Islami!.
(Penulis ialah AJK PAS PUSAT, Pengerusi LESTARI)
Ulasan