Dato' Ku Ajak BN Pertahan 'Status Quo' DUN Ladang


KUALA TERENGGANU - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ladang, Dato' Tengku Hassan Tengku Omar mengajak Barisan Nasional (BN) pertahankan 'status quo' di Dewan Undangan Undangan (DUN) berkenaan sebagai rakan politik.

Beliau berkata biar parti lain bertanding di DUN tersebut bukan BN bagi mempertahankan 'status quo' tersebut.

"Kalau kita nak berkawan kita 'status quo' kalau yang menang tu, menang, yang kalah tu kalah, berdasarkan alasan itu, BN tak usah bertandinglah (di DUN Ladang).

"Kalau ada pun pertandingan biarlah PAS bertanding dengan parti-parti lain. Jika tidak ada pertandingan itu lagi baik untuk kekalkan kemenangan PAS di DUN Ladang," katanya ketika bercakap kepada pemberita di sini semalam.

Beliau berkata, PAS telah memenangi pilihan raya umum (PRU) sebanyak tiga penggal berturut-turut di DUN tersebut termasuk dalam PRU Ke 12 tahun 2008, PRU Ke 13 (2013) dan PRU Ke 14 (2018).

"Kita (PAS) telah menang tiga sesi (tiga penggal berturut-turut) iaitu tahun 2008, 2013 dan 2018 dan Insya Allah kita akan teruskan (pertahan) kemenangan itu. 

"Paling kurangnya kita ingin membantu kerajaan atau membantu PAS untuk meneruskan kerajaan yang sedia ada.

"Kita doa agar DUN Ladang boleh menyumbang satu kerusi untuk pembentukan kerajaan di Terengganu (dalam PRU Ke 15) bagi meneruskan apa yang kita telah lalui selama ini," ujarnya.

Mengenai kesediaan bertanding dalam PRU tersebut, Dato' Tengku Hassan berkata soal itu terserah kepada pucuk pimpinan parti bagi menentukan siapa yang akan bertanding di DUN tersebut dan beliau akur dengan keputusan parti.

Tamat.

Ulasan