Gembleng Tenaga Untuk Kekalkan Momentum


Oleh : Radhiah Alias

KEMAMAN - Muslimat diingatkan agar mengembleng tenaga untuk mengekalkan momentum kecemerlangan  dalam setiap gerak kerja. 

Bendahari Muslimat PAS Terengganu Rohayati Nordin berkata, kesatuan kerja atau amal jamaei haruslah disepadukan dari kawasan ke Dewan Undangan Negeri (DUN) seterusnya kepada cawangan-cawangan.

"Bagi mengekalkan momentum kecemerlangan gerak kerja, kita hendaklah memahami kesatuan gerak kerja yang kita lakukan dan lalui dengan baik," ujarnya. 

Rohayati sebagai pemerhati dan wakil Muslimat Terengganu berkata demikian pada Mesyuarat Agung Tahunan Dewan Muslimat PAS Kawasan Kemaman kali 37 yang diadakan secara ' hybrid ' pada 09 Oktober 2021. 


Sebelum itu, ketika merasmikan acara tahunan itu, Ahli Jawatankuasa Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM),  Wan Hasrina binti Wan Hassan, mengingatkan bahawa tanggungjawab anggota parti Islam itu terlalu besar. 

"Ada beberapa elemen yang perlu kita ambil perhatian, antaranya betulkan semula niat kita berada dalam jemaah ini, 

" kemudian yakin dengan janji Allah mengenai pertolongan dariNya, seterusnya kita hendaklah bekerja dengan penuh iltizam dan teruskan dengan gerak kerja berkebajikan " katanya. 

Beliau juga mengingatkan kepada semua muslimat supaya bersedia dalam sebarang gerak kerja bagi menghadapi PRU yang akan diumumkan pada bila - bila masa sahaja. 

Mesyuarat agung yang diadakan pada tahun ini merupakan tahun pemilihan telah mengekalkan Ketua Dewan Muslimat PAS Kawasan Kemaman iaitu Ustazah Hajah Fainah Mat.

Ulasan