17 Oktober 2021

PAS Melakar Kejayaan Mentadbir Tiga Negeri


KUALA TERENGGANU - PAS berjaya mentadbir Terengganu dengan membawa perubahan ketara dalam aspek pelaburan, pengurusan hutang dan tanah dengan menterjemahkan kesejahteraan yang diinginkan rakyat dalam urusan tersebut.

Timbalan Yang Dipertua PAS Kawasan Kuala Terengganu Datuk Haji Ahmad Amzad Hashim berkata PAS berjaya menunaikan 70 peratus daripada manifesto Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) dalam tempoh tiga tahun mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri 

“Alhamdulillah melalui tiga buah negeri yg diperintah oleh PAS ; Terengganu, Kelantan dan Kedah, kerajaan telah berfungsi dengan baik , pemerintahan yang fokus kepada agenda menjaga kebajikan rakyat, pengurusan yang telus dan berintegriti dengan komitmen membentuk kerajaan yang bersih dan sifar rasuah,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Beliau berkata, Kerajaan Persekutuan bersetuju mengurangkan kadar pemotongan hutang kerajaan Terengganu kepada lima peratus berbanding 25 peratus sebelum ini, melalui royalti minyak atau Wang Tunai Petroleum (WTP) bagi tahun 2020.

Menurutnya kerajaan berjaya membuat pembaharuan pada dasar tanah negeri dengan menaikkan had milikan tanah daripada 60 tahun kepada 99 tahun dan ia banyak memberi manfaat kepada rakyat.`

“Turut menempa kejayaan ialah Anak syarikat kerajaan Terengganu, TDM Berhad dimasukkan semula ke dalam senarai sekuriti Patuh Syariah Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC),” jelasnya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Terengganu berkata, Terengganu menerima pelaburan sebanyak RM1.91 bilion tahun lalu berbanding hanya RM638.8 juta pada 2019.

Di samping itu katanya, Terengganu juga mencatat indeks jenayah paling rendah di Malaysia membuktikan kejayaan kerajaan PAS menyediakan persekitaran yang selamat untuk rakyat dan pengunjung.

“Selama dua tahun berturut turut Terengganu dinobatkan sebagai antara Bandaraya paling bahagia di Malaysia sempena Sambutan Hari Kebahagiaan Sedunia,” jelasnya lagi.

Di samping itu katanya Kerajaan PAS di ketiga buah negeri termasuk Kelantan dan Kedah menunjukkan keazaman yang tinggi, menterjemahkan kepimpinan Islam dalam pemerintahan yang adil terhadap kesemua rakyat yang berbilang kaum, agama dan adat resam.

"Seluruh rakyat yang datang dari kaum Melayu, Cina, India dan lain lain dilayan sebagai satu keluarga besar sekaligus Pandemik Covid-19 yang melanda dunia telah membuktikan bahawa PAS bukan sekadar retorik semata.

"Kita dapat lihat jentera PAS di seluruh negara telah mengembeling tenaga bagi memastikan setiap bantuan sampai ke sasarannya," tambahnya lagi

Menurutnya, Terengganu di bawah PAS akan terus merancakkan usaha memajukan negeri dengan mengikut landasan Islam agar negeri ini maju, diberkati dan sejahtera.

Tiada ulasan:

Haji : Perpaduan Umat Ke Arah Satu Kiblat

Para jemaah haji yang datang dari seluruh penjuru dunia berhimpun di Tanah Suci Makkah bagi menyahut seruan Nabi Ibrahim AS. Baginda AS dahu...