Pengumuman yang bakal dibuat kerajaan berhubung isu kenaikan harga barang diharap dapat memberikan penyelesaian menyeluruh yang adil dan melegakan buat semua pihak. Kepentingan bersama pengguna, peniaga, peruncit, pengedar, pemborong, pengeluar, pengimport dan pengeskport diharap terpelihara sebaiknya.
2. Sedang kita berusaha kembali ke rutin kehidupan dan memulakan semula pelbagai urusan, keperluan yang cuba dipenuhi mungkin menyebabkan permintaan melebihi penawaran. Di sinilah kenaikan harga barang tidak dapat dielak, selain faktor musim tengkujuh serta perkara berkaitan pembekalan yang timbul rentetan pandemik Covid-19.
3. Isu kenaikan harga barang yang mendadak ketika ini tidak lagi terhad tanggungjawabnya kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP). Tetapi kerajaan perlu menggabungkan agensi-agensi dan kementerian-kementerian lain untuk membantu menangani isu ini secara kolektif.
4. Antaranya Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Kementerian Kewangan (MoF) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN). Ini supaya lebih banyak inisiatif dan tindakan penguatkuasaan bersepadu dapat dirangka serta dilaksanakan. Anggota RELA dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) juga dapat digerakkan untuk membantu pemantauan.
5. Kerajaan terutama melalui MoF diharap bermurah hati untuk menambahkan subsidi, memberikan geran dan menawarkan pinjaman tanpa faedah sebagai insentif jangka panjang dan berterusan. Lebih-lebih lagi terhadap petani,penternak,peladang dan nelayan serta pihak-pihak lain bawah MAFI yang menjadi pemain utama dalam rantaian barangan keperluan kepada para pengguna.
6. Selain itu,KPDNHEP dan agensi-agensi dibawah KDN boleh bekerjasama untuk terus memantau dan menguatkuasakan tindakan mengekang rapat kemungkinan manipulasi, monopoli, sorok barang, pencatutan, penyeludupan dan sewaktunya. Ini antara lingkaran yang dapat memastikan harga barangan keperluan terus kompetitif.
7. Dengan pasaran keperluan pengguna terkawal dalam negara, kerajaan juga diharap dapat menumpu kepada strategi untuk mengurangkan pergantungan sumber makanan kepada negara luar yang masih berterusan. Ini pasti dapat dilakukan melalui peranan kementerian-kementerian lain yang fungsinya dapat menyumbang bagi mengatasi masalah kenaikan harga barang dan makanan kini.
8. Kesejahteraan keluarga Malaysia perlu diutamakan kerana masih ramai yang terkesan dengan pandemik dan tidak mampu menyerap kenaikan harga ini.Perhatian dan tindakan segera diperlukan diseluruh negara.
Ir. Ts. Hj. Khairil Nizam Khirudin
Ketua Penerangan PAS
Ulasan