Lebih 800 Ribu Ahli Aktif, Indeks Kepercayaan 80 Peratus


Oleh : Fakhrusy Syakirin

KUALA TERENGGANU – Pejabat Agung PAS merekodkan sejumlah 845,920 ahli PAS yang aktif manakala 49,000 sebaliknya, dengan jumlah cawangan sebanyak 7618 di seluruh negara.

Setiausaha Agung PAS, Dato’ Seri Takiyuddin Hassan berkata, PAS turut meraih peratusan tinggi iaitu sehingga 80 peratus, menurut indeks kepercayaan rakyat kepada wakil parti dilantik jawatan kabinet dalam kerajaan persekutuan

“jumlah ahli tersebut setelah dibuat pemutihan dan maksud tidak aktif ini apabila melalui proses pemutihan di peringkat kawasan, mereka tidak boleh mengenalpasti ahli tersebut dari segi lokasi cawangan mereka,” katanya.

Beliau juga Ahli Parlimen Kota Bharu berkata berkata demikian semasa Ucapan Penangguhan Pimpinan Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-67 di Duyong Marina, semalam.

Oleh itu beliau menegaskan, sebagai sebuah organisasi tarbiah, dakwah dan siasah, pengurusan ahli, aktiviti dan pilihan raya adalah amat penting kepada PAS.

“Ini adalah jumlah dari segi keahlian, kedua, jentera pentadbiran PAS pusat khususnya yang terlibat dengan urusan terpenting iaitu Pilihan Raya.

“Pejabat ini amat mantap dan mempunyai struktur kerja baik, dipengerusikan Ketua Pengarah Pilihan Raya Pusat,” ujarnya.

Dalam ucapannya beliau turut mendedahkan, satu kajian telah dibuat menilai prestasi mendapati, rakyat memberi percaya dengan kewibawaan pemimpin PAS yang diberi kerpercayaan dalam kabinet kerajaan.

“Oleh kerana itu, kita berada dalam kerajaan persekutuan, kita diberi tiga portfolio, Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Menteri Alam Sekitar dan Air dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).

“Antara perkara menarik kenapa indeks ini meningkat adalah Menteri PAS berlatar belakangkan agama tetap mampu kendalikan kementerian berteraskan professionalisme,” jelasnya.


Ulasan