Manusia; Satu Keluarga Satu Umat


Firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا النَّاسُ اتَّقُوا رَبَّكُمُ الَّذِي خَلَقَكُمْ مِنْ نَفْسٍ وَاحِدَةٍ وَخَلَقَ مِنْهَا زَوْجَهَا وَبَثَّ مِنْهُمَا رِجَالًا كَثِيرًا وَنِسَاءً وَاتَّقُوا اللَّهَ الَّذِي تَسَاءَلُونَ بِهِ وَالْأَرْحَامَ  إِنَّ اللَّهَ كَانَ عَلَيْكُمْ رَقِيبًا١

“Wahai sekalian manusia! Bertaqwalah kepada Tuhan kalian yang telah menciptakan kalian dari diri yang satu (Adam AS), dan daripada (Adam) itu Allah menciptakan pasangannya (isterinya iaitu Hawwa’ AS), dan juga yang mengembangbiakkan daripada kedua-duanya zuriat keturunan lelaki dan perempuan yang ramai. Dan bertaqwalah kepada Allah yang kalian selalu meminta dengan menyebut-yebutkan nama-Nya, serta (peliharalah) hubungan (silaturrahim) kaum kerabat; kerana sesungguhnya Allah sentiasa memerhati (mengawasi) kalian.” (Surah al-Nisa’: 1)

Ayat di atas menegaskan bahawa manusia seluruhnya adalah satu keluarga kerana berasal daripada ibu bapa yang sama (Adam AS dan Hawwa’ AS). Sepatutnya mereka saling berhubungan silaturrahim sesama mereka, walaupun sudah berlalu masa yang panjang dan berpisah jauh dari segi kedudukan. Bahkan, sudah memakan generasi lamanya yang diciptakan daripada pelbagai bangsa dan agama.

Firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُمْ مِنْ ذَكَرٍ وَأُنْثَى وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِنْدَ اللَّهِ أَتْقَاكُمْ إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ١٣

“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kalian daripada kalangan lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kalian berbagai-bagai bangsa dan bersuku puak, supaya kalian berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kalian di sisi Allah ialah orang yang lebih bertaqwa antara kalian, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam pengetahuan-Nya (akan keadaan dan amalan kalian).” (Surah al-Hujurat: 13)

Walaupun manusia itu sudah berpecah kepada pelbagai bangsa dan suku kaum, namun mereka wajib hidup bermasyarakat dan bertamadun bagi memakmurkan bumi. Ukuran kelebihan dan kemuliaan sesuatu bangsa atau suku kaum adalah ketentuan Allah Pencipta alam mengikut kepatuhan dan ketaatan mereka terhadap-Nya.

Firman Allah SWT:

كَانَ النَّاسُ أُمَّةً وَاحِدَةً فَبَعَثَ اللَّهُ النَّبِيِّينَ مُبَشِّرِينَ وَمُنْذِرِينَ وَأَنْزَلَ مَعَهُمُ الْكِتَابَ بِالْحَقِّ لِيَحْكُمَ بَيْنَ النَّاسِ فِيمَا اخْتَلَفُوا فِيهِ وَمَا اخْتَلَفَ فِيهِ إِلَّا الَّذِينَ أُوتُوهُ مِنْ بَعْدِ مَا جَاءَتْهُمُ الْبَيِّنَاتُ بَغْيًا بَيْنَهُمْ فَهَدَى اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُوا لِمَا اخْتَلَفُوا فِيهِ مِنَ الْحَقِّ بِإِذْنِهِ وَاللَّهُ يَهْدِي مَنْ يَشَاءُ إِلَى صِرَاطٍ مُسْتَقِيمٍ٢١٣

“Manusia itu ialah umat yang satu. (Setelah timbul perselisihan), maka Allah mengutuskan para nabi sebagai pemberi peringatan, dan Allah menurunkan bersama mereka Kitab yang benar, untuk memberikan keputusan antara manusia tentang perkara yang mereka perselisihkan. Tidaklah berselisih tentang Kitab itu melainkan orang yang telah didatangkan kepada mereka Kitab, iaitu setelah datang kepada mereka keterangan-keterangan yang nyata, kerana dengki antara mereka sendiri. Maka, Allah memberikan petunjuk orang-orang yang beriman kepada kebenaran tentang hal yang mereka perselisihkan itu dengan kehendak-Nya. Dan Allah selalu memberikan petunjuk orang yang dikehendaki-Nya kepada jalan yang lurus.” (Surah al-Baqarah: 213)

Allah SWT menegaskan dalam ayat di atas bahawa manusia itu satu umat dan satu keluarga. Berteraskan dua konsep ini, Islam menegakkan konsep perpaduan umat berasaskan asal manusia daripada bapa dan ibu yang sama serta asal mereka daripada agama yang sama mengikut kedua ibu bapa tersebut. Sekalipun selepas itu manusia berkembang kepada pelbagai bangsa yang berbeza dan mempunyai kepelbagaian bahasa serta warna kulit. Firman Allah SWT:

وَمِنْ آيَاتِهِ خَلْقُ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ وَاخْتِلَافُ أَلْسِنَتِكُمْ وَأَلْوَانِكُمْ إِنَّ فِي ذَلِكَ لَآيَاتٍ لِلْعَالِمِينَ٢٢

“Dan antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan-Nya dan kebijaksanaan-Nya ialah menciptakan langit dan bumi, dan perbezaan bahasa dan warna kulit kalian. Sesungguhnya hal yang demikian itu benar-benar mengandungi tanda-tanda bagi orang-orang yang mengetahui.” (Surah al-Rum: 22)

Selain itu juga, manusia berbeza dari sudut kebolehan dan taraf hidup, namun mereka wajib hidup secara bermasyarakat yang saling berhajat dan bertolong-menolong dalam urusan kehidupan di alam dunia. Sehingga masing-masing tidak boleh hidup secara bersendirian dan berasingan tanpa bertolong-tolongan dengan membahagikan peranan masing-masing.

Firman Allah SWT:

أَهُمْ يَقْسِمُونَ رَحْمَتَ رَبِّكَ نَحْنُ قَسَمْنَا بَيْنَهُمْ مَعِيشَتَهُمْ فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَرَفَعْنَا بَعْضَهُمْ فَوْقَ بَعْضٍ دَرَجَاتٍ لِيَتَّخِذَ بَعْضُهُمْ بَعْضًا سُخْرِيًّا وَرَحْمَتُ رَبِّكَ خَيْرٌ مِمَّا يَجْمَعُونَ٣٢

“Apakah mereka berkuasa membahagi-bahagikan rahmat Tuhanmu? Padahal Kami telah menentukan antara mereka segala keperluan hidup mereka dalam kehidupan dunia ini, dan Kami telah meninggikan sebahagian daripada mereka atas sebahagian yang lain dengan beberapa darjat; agar sebahagian daripada mereka mendapat kemudahan dalam menjalankan kehidupannya dengan (bantuan) sebahagian yang lain. Dan rahmat Tuhanmu (yang meliputi kebahagiaan dunia dan akhirat) adalah lebih baik daripada apa yang mereka kumpulkan.” (Surah al-Zukhruf: 32)

Wujud perbezaan kebolehan, kemampuan dan hasil sesama manusia laksana perbezaan anggota dalam satu jasad dengan peranan masing-masing. Sebagai contoh, mata yang memandang, telinga yang mendengar, otak yang berfikir, tangan yang bertindak dan kaki yang berjalan.

Setiap anggota mempunyai peranan yang berbeza, tetapi masing-masing tidak berpisah dalam satu jasad yang sama. Laksana mata rantai yang banyak, tetapi setiap satu bersambung. Sekiranya ada yang terputus, maka akan tempang dan cacat kehidupannya.

Walaupun manusia itu berbeza agamanya, namun fitrah mereka tetap percaya kepada Tuhan yang satu sebagai Pencipta alam. Walaupun selepas itu ada kalangan mereka yang terpesong dengan melantik tuhan-tuhan ciptaan sendiri, namun hanya segelintir sahaja kalangan luar fitrah berfahaman ateis yang menolak adanya Tuhan.

Akan tetapi, apabila mereka berada dalam keadaan terdesak, akhirnya akan percaya juga akan kewujudan tuhan. Firman Allah SWT:

وَلَئِنْ سَأَلْتَهُمْ مَنْ خَلَقَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ لَيَقُولُنَّ اللَّهُ قُلِ الْحَمْدُ لِلَّهِ بَلْ أَكْثَرُهُمْ لَا يَعْلَمُونَ٢٥

“Dan sesungguhnya jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang Musyrik) itu: ‘Siapakah yang menciptakan langit dan bumi?’ Sudah tentu mereka akan menjawab: ‘Allah’. Ucapkanlah (wahai Muhammad): ‘Alhamdulillah’, tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui.” (Surah Luqman: 25)

Dan juga firman Allah SWT:

هُوَ الَّذِي يُسَيِّرُكُمْ فِي الْبَرِّ وَالْبَحْرِ حَتَّى إِذَا كُنْتُمْ فِي الْفُلْكِ وَجَرَيْنَ بِهِمْ بِرِيحٍ طَيِّبَةٍ وَفَرِحُوا بِهَا جَاءَتْهَا رِيحٌ عَاصِفٌ وَجَاءَهُمُ الْمَوْجُ مِنْ كُلِّ مَكَانٍ وَظَنُّوا أَنَّهُمْ أُحِيطَ بِهِمْ دَعَوُا اللَّهَ مُخْلِصِينَ لَهُ الدِّينَ لَئِنْ أَنْجَيْتَنَا مِنْ هَذِهِ لَنَكُونَنَّ مِنَ الشَّاكِرِينَ٢٢

“Dialah Tuhan yang menjalankan kalian di daratan dan di lautan (dengan diberikan kemudahan menggunakan pelbagai jenis kenderaan); sehingga apabila kalian berada di dalam bahtera, dan bahtera itu pula bergerak laju membawa penumpang-penumpangnya dengan tiupan angin yang baik, dan mereka pun bergembira dengannya; tiba-tiba datanglah kepada mereka angin ribut yang kencang, dan mereka pula didatangi ombak menimpa dari segala penjuru, serta mereka percaya bahawa mereka diliputi oleh bahaya; pada saat itu mereka semua berdoa kepada Allah dengan mengikhlaskan ketaatan mereka kepada-Nya semata-mata (sambil merayu dengan berkata): ‘Demi sesungguhnya jika Engkau (Ya Allah) menyelamatkan kami daripada bahaya ini, kami pasti akan termasuk dalam kalangan orang-orang yang bersyukur.’” (Surah Yunus: 22)

Maka, Islam melaksanakan konsep tiada paksaan dalam beragama. Walau bagaimanapun, Islam ditegaskan sebagai satu-satunya agama di sisi Allah SWT dengan penegasan bahawa tiada Tuhan yang sebenar melainkan Allah SWT dan menafikan sekeras-kerasnya kewujudan tuhan selain daripada Allah SWT.

Sabda Rasulullah SAW:

إِنَّ اللَّهَ لَا يَنْظُرُ إِلَى صُوَرِكُمْ، وَلَا إِلَى أَلْوَانِكُمْ، وَلَكِنْ يَنْظُرُ إِلَى قُلُوبِكُمْ وَأَعْمَالِكُمْ.

“Allah sekali-kali tidak memandang (bagi menilai diri kalian) dengan melihat kepada rupa paras dan warna kulit, tetapi memandang kepada hati dan amalan kalian (yang baik).” (Riwayat Muslim 2564 dan Ibn Majah 4143)

Umat Islam diperintahkan agar menjaga sensitiviti penganut agama lain dengan tidak melampau dalam hubungan yang membolehkan berlakunya dialog secara ilmu dan berfikir. Firman Allah SWT:

وَلَا تَسُبُّوا الَّذِينَ يَدْعُونَ مِنْ دُونِ اللَّهِ فَيَسُبُّوا اللَّهَ عَدْوًا بِغَيْرِ عِلْمٍ كَذَلِكَ زَيَّنَّا لِكُلِّ أُمَّةٍ عَمَلَهُمْ ثُمَّ إِلَى رَبِّهِمْ مَرْجِعُهُمْ فَيُنَبِّئُهُمْ بِمَا كَانُوا يَعْمَلُونَ١٠٨

“Dan janganlah kalian memaki sembahan-sembahan yang mereka sembah selain daripada Allah, kerana mereka kelak akan memaki Allah secara melampaui batas tanpa pengetahuan. Demikianlah Kami menjadikan bagi setiap umat menganggap baik akan perbuatan mereka. Kemudian kepada Tuhan merekalah tempat kembali mereka, lalu Dia memberitakan kepada mereka apa yang mereka telah lakukan.” (Surah al-An‘am: 108)

Dalam pada itu, Islam menegaskan bahawa martabat dan kelebihan manusia tidak dilihat dari segi baka keturunan, warna kulit, jantina, pangkat dan harta. Akan tetapi, ia dilihat dari sudut ketaqwaan mereka kepada Allah SWT dan hanya diketahui oleh-Nya sahaja.

Islam juga mewajibkan umat Islam agar berlaku adil kepada semua manusia. Pada masa yang sama, mempertahankan hak asasi manusia dari segi keperluan untuk menjaga rukun hidup dengan batas dan sempadannya, sehingga tidak melampaui batas antara satu sama lain.

Firman Allah SWT:

إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُكُمْ أَنْ تُؤَدُّوا الْأَمَانَاتِ إِلَى أَهْلِهَا وَإِذَا حَكَمْتُمْ بَيْنَ النَّاسِ أَنْ تَحْكُمُوا بِالْعَدْلِ إِنَّ اللَّهَ نِعِمَّا يَعِظُكُمْ بِهِ إِنَّ اللَّهَ كَانَ سَمِيعًا بَصِيرًا٥٨

“Sesungguhnya Allah menyuruh kalian supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kalian menjalankan hukum antara manusia, (Allah menyuruh) kalian menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhan-Nya) itu memberikan pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kalian. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat.” (Surah al-Nisa’: 58)

Melalui ayat ini, maka jelaslah bahawa Islam menetapkan hak dengan sewajarnya dan meletakkan sesuatu pada tempatnya. Terdapat sebahagiannya yang sama dan sebahagian lagi yang berbeza kejadian dan kemampuannya.

Oleh itu, gagasan satu keluarga Malaysia ialah penyelesaian kepada isu masyarakat majmuk yang terbentuk bagi mewujudkan model perpaduan umat daripada pelbagai agama dan bangsa yang wajib dipertahankan. Hal ini menepati Islam sebagai agama negara yang ditanam dalam Perlembagaan Persekutuan.

Pegangan agama Islam yang masih kemas dalam jiwa penganut Islam Melayu menjadikan mereka menerima kewujudan pelbagai bangsa dan agama yang telah dibawa oleh penjajah. Namun, atas semangat persaudaraan kemanusiaan sejagat yang dibawa oleh Islam, menjadikan mereka boleh berada dalam kedamaian dan keamanan. Bandingkanlah bagaimana kedudukan umat Islam di negara lain dan penindasan terhadap minoriti Muslim di tengah masyarakat bukan Islam.

Walaupun penjajah berhasrat untuk mengadudombakan masyarakat majmuk demi agenda mereka, namun persefahaman politik dan masyarakat yang menggubal Perlembagaan Persekutuan menjadi asas masyarakat majmuk yang berkeluarga berjaya diterapkan. Sehingga hal tersebut telah mewujudkan keamanan di negara ini dan tiada pertelingkahan yang tajam sepertimana di negara lain.

Manusia itu tidak mampu disatupadukan dengan pendekatan kebendaan sahaja tanpa adanya ikatan akal dan roh yang menjadi komponen kejadian mereka. Hanya ajaran Islam yang sempurna mampu mengisi segala keperluan fitrah manusia.

Masyarakat majmuk merupakan tujuan mesej Islam dinyatakan bagi membuktikan keadilannya kepada semua dan rahmat Allah SWT kepada seluruh alam, suatu perkara yang gagal dibuktikan oleh ajaran lain. Dengan syarat Islam hendaklah dilaksanakan dengan sempurna. Inilah Islam yang dibawa ke sini sebelum kedatangan penjajah.

 

ABDUL HADI AWANG

Presiden PAS

Bertarikh: 27 Rabi’ul Awwal 1443 / 3 November 2021

Ulasan