KUALA TERENGGANU - Muktamar PAS kali ke-67 yang berlangsung di Duyong Marina & Resort hari ini mengangkat tema ‘Islam Menyatukan Ummah’ sebagai kesinambungan parti itu untuk menjadi ejen perpaduan.
Presiden PAS, Dato’ Seri Abdul Tuan Guru Abdul Hadi Awang menegaskan pihaknya berkewajipan menyatupadukan umat Islam bermasyarakat majmuk yang terdiri daripada pelbagai agama dan kaum.
Namun katanya, dalam usaha itu pastinya akan ada dengan satu kelompok umat Islam yang melampaui batas dan suka bertelagah.
“Surah al-Hujurat telah memberikan petunjuk supaya kita memperbaiki hubungan yang bertelagah, namun jika masih ada suatu pihak yang melampau, maka dibolehkan kita bertindak sekadar yang diperlukan supaya dapat diajak kembali kepada ajaran Islam dan memperkukuh persaudaraan Islam yang telah terbina,” katanya dalam Ucapan Dasar Presiden dan Perasmian Muktamar sebentar tadi.
Mengulas lanjut, Abdul Hadi berkata PAS mesti mempelajari pengalamannya yang lalu bagi menyatukan parti-parti Melayu Islam sebagai teras politik negara.
“Termasuklah menyelamatkan UMNO yang cedera parah dalam PRU-14 dan BERSATU yang baharu ditubuhkan oleh asal usul UMNO yang berpecah. Kedua-dua buah parti ini telah berjaya ditemukan semula oleh PAS melalui wadah penyatuan MN dan PN, dengan peranan PAS sebagai pendamai.
“Ternyata, usaha penyatuan ummah tidaklah mudah kerana memerlukan kesungguhan dan jiwa besar, saling bertoleransi dan bersabar demi mencapai kejayaan yang didambakan.
“Kita wajib menghadapi PRU-15 dengan usaha perpaduan yang sedang dibina hari ini. Jangan wujud sebarang perpecahan kerana sikap tamak, mementingkan diri atau dendam kesumat sehingga keputusan PRU-14 berulang lagi.
Menurut Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah itu, kemunculan Muafakat Nasional (MN) pada mulanya hanya dianggotai oleh PAS dan UMNO sahaja, kemudian, kedua-dua buah parti tersebut bersetuju untuk menjemput BERSATU, sekali gus menjadi asas permulaan kepada konsep Islam Memimpin dan Perpaduan Ummah yang lebih kukuh.
“Seterusnya, ia dilangsungkan kepada pembentukan gabungan yang lebih majmuk iaitu Perikatan Nasional (PN) bersama parti-parti yang mewakili pelbagai agama dan kaum yang berjaya mengambil alih kerajaan.
“Gabungan ini menerima asas Perlembagaan Persekutuan dan terbuka penyertaannya kepada semua parti yang tidak menyeleweng daripada Perlembagaan. Inilah acuan perpaduan nasional yang kita ingin perkenalkan kepada semua,” jelasnya.
Ulasan