Oleh : Adli Mohamad
KUALA TERENGGANU - PAS akur walaupun sedikit kecewa dengan keputusan Barisan Nasional (BN) mahu meletakkan calon pada kesemua 28 kerusi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Timbalan Presiden PAS, Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, walaupun rundingan mengelakkan pertembungan awalnya positif, namun pada akhirnya BN membuat keputusan tersebut.
“Sebenarnya perbincangan mengambil masa yang Panjang, bahkan ia sangat baik di peringkat awal, tetapi pada hujungnya tiba-tiba UMNO nak bertanding semua.
“Bagi kami kita sedikit rasa kecewa kerana usaha penyatuan gagal pada hujung, tetapi bagi kami Melaka ini bukan satu medan dan kita harapkan masing-masing bertanding dalam konteks menjaga Prosedur Operasi Standard (SOP), kerana Covid-19 masih ada dalam suasana masih perlu dijaga,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media, pada Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-67, di Duyong Marina & Resort, pada Sabtu malam, 6 November.
Mengulas mengenai apakah PRN Melaka akan menjadi bayangan untuk Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-15, katanya, kemungkinan akan berlaku perubahan sebaliknya yang lebih positif.
“Ia juga merupakan satu indikator kepada beberapa perancangan pada masa hadapan, tidak semestinya akan berlaku begini maka ia akan tetap sebegitu yang akan terjadi pada masa akan datang,”katanya.
Dalam pada itu katanya, keputusan PAS bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN) kerana ia telah berdaftar sebagai parti politik.
“Manakala Muafakat Nasional (MN) tidak berdaftar sebagai parti politik namun MN merupakan satu medan besar untuk penyatuan ummah bukan semata-mata untuk menghadapi pilihan raya sahaja, dia juag merupakan gagasan ummah,” katanya lagi.
Ulasan