22 November 2021

PRU15: PAS Tetap Bincang Dengan Umno


PAS akan terus mengadakan perbincangan dengan UMNO berhubung kerjasama politik melalui Muafakat Nasional (MN) bagi mengelak pertembungan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) walaupun mereka tidak bersama di Melaka.

Mursyidul Am PAS, Datuk Hashim Jasin, bagaimanapun berkata untuk PRU-15, PAS mungkin membuat sedikit pertambahan kepada syarat kerjasama yang berpaksikan formula satu lawan satu itu.

Katanya, antaranya ialah perkara yang belum dibereskan antara kedua-dua parti, namun ia bukannya berkaitan isu pokok.

"Sebenarnya PAS tetap berpegang teguh dengan prinsip yang sudah kita letakkan iaitu PAS sentiasa bersedia meneruskan perbincangan dengan UMNO.

"Cuma untuk masa depan, mungkin PAS akan membuat sedikit pertambahan kepada cadangan awal iaitu (berkaitan) kerjasama dengan UMNO dan pilihan raya satu lawan satu," katanya kepada BH, hari ini.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, Sabtu lalu, PAS bertanding di lapan Dewan Undangan Negeri di bawah Perikatan Nasional (PN) dan kalah di semua kerusi walaupun mencatatkan pertambahan undi.

Dalam PRN itu, PAS juga bertembung dengan UMNO di tujuh kerusi DUN.

Mengulas lanjut, Hashim berkata, pihaknya juga akan mengadakan mesyuarat Majlis Syura Ulama dalam masa terdekat bagi membincangkan secara khusus situasi terkini MN.

Belau turut mengucapkan tahniah kepada UMNO kerana meraih kejayaan cemerlang di Melaka dan menjelaskan PAS juga gembira dengan pencapaian sekutunya dalam MN itu.

"Tahniah kepada UMNO kerana kemenangan UMNO, PAS pun boleh tumpang dengan kemenangan tersebut iaitu kita dapat mengalahkan musuh politik kita, Pakatan Harapan (PH)," katanya.

Hashim turut menegaskan PAS tidak akan meninggalkan Perikatan Nasional (PN) dan akan terus menjadi orang tengah di antara UMNO dan BERSATU.

"Setakat ini tak ada suara dari PAS yang berhasrat begitu (meninggalkan PN) dan kita yakin UMNO juga bersama sama, sebab itu kenyataan pimpinan UMNO sendiri menyebut masih terbuka," katanya.

Semalam, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, pintu persefahaman antara pihaknya dan PAS menerusi MN masih terbuka walaupun Barisan Nasional (BN) dilihat mampu bergerak bersendirian.

Kata Mohamad, kedudukan MN ketika ini adalah terserah kepada PAS.-BH

Tiada ulasan:

Pencerobohan Rusia Keatas Ukraine Umpama Perang Dunia Kedua

Pencerobohan Rusia berskala penuh ke atas Ukraine boleh menandingi Perang Dunia Kedua, kata ketua angkatan tentera UK pada hari Rabu.