Tragedi Memali; Monumental Kezaliman

Makan Syhada Memali

Oleh: Dr Riduan Mohamad Nor.


Kesibukan ditengah koridor kuasa kadang menyebabkan kita seakan terlupa tragedi pertumpahan darah di daerah agrarian Memali Baling Kedah. Pelbagai tugasan rasmi dan tak rasmi , mengejar masa yang berlari pantas malah sedikit sendawa kekenyangan menggerus ingatan kita terhadap peristiwa 36 tahun lepas.  Minggu ini pula kita semua terarah kepada PRN Melaka, persaingan kuasa untuk menentukan kerajaan baru yang dipilih oleh rakyat.


Tragedi Memali yang berlaku pada 19 November 1985 adalah kemuncak manifestasi penentangan ahli PAS terhadap ISA. Tokoh penggerak utama penggerak peristiwa ini ialah Ustaz Ibrahim Mahmood atau dikenali sebagai Ustaz Ibrahim Libya. Beliau merupakan bekas pendakwah di Pusat Islam yang bersara dari jawatannya untuk berkhidmat dan memberikan kefahaman Islam kepada penduduk kampungnya (Memali) yang rata-ratanya agak rendah kefahaman dan pengalaman Islam. Beliau mendapat pendidikan tinggi di Deoband, India, Universiti al-Azhar dan Kolej Dakwah Libya. Beliau merupakan calon PAS DUN Bayu, Kedah tahun 1978 dan 1982, bekas Naib Ketua PAS Kedah dan bekas Ketua Dewan Pemuda PAS Baling. Beliau juga pernah memimpin ABIM di Kedah,antaranya sebagai Pengerusi ABIM bagi daerah Baling.


Pada 2 September 1984, pihak keselamatan telah berusaha untuk menangkapnya di bawah ISA seperti yang dihadapi oleh pimpinan pemuda PAS yang lain seperti Ustaz Bunyamin Yaakob, Ustaz Abu Bakar Chik, Ustaz Abdul Latif Mohamad dan lain- lain lagi tetapi gagal kerana usaha tersebut telah dihalang oleh penyokong-penyokongnya. Selepas dari itu, pihak polis memberitahu bahawa Ustaz Ibrahim dikawal ketat oleh penyokongnya dan beberapa usaha pihak polis untuk menangkapnya telah gagal. Usaha kemuncak untuk menangkap beliau di bawah ISA dilakukan pada 19 November 1985.


Menurut Kertas Tahanan 21 Memali, “gerakan tersebut ialah untuk menangkap Ibrahim bin Mahmood dan dua orang lain di bawah AKDN, tiga orang telah dikeluarkan waran tangkap ke atas mereka serta 32 orang pengikut disyaki terlibat dalam pergerakan jenayah yang terselindung di rumah Ibrahim Mahmood…” Menurut sumber Kertas Putih yang dikeluarkan oleh Kementerian Dalam Negeri, seramai 576 orang anggota polis telah digunakan dalam operasi tersebut. Manakala dari sumber penduduk kampung seramai 3600 orang anggota polis terlibat.


Operasi penangkapan ini berakhir dengan satu tragedi yang menyayat hati dan perasaan serta menarik perhatian antarabangsa. Ianya telah mengorbankan Ustaz Ibrahim bersama 13 lagi pengikutnya dan 4 anggota polis. Media massa saat itu sangat dominan dalam mencorakkan pemikiran serta naratif untuk dipersembahkan kepada rakyat. 


Media arus perdana menghidangkan satu naratif yang menyudutkan mangsa ke kandang orang salah semenjak hari pertama tragedi, seolah-olah berlaku pertempuran yang dasyat di antara pihak keselamatan dan pejuang Islam di negara ini. Ada laporan akhbar menyifatkan tragedi ini adalah satu peristiwa yang hampir sama dengan yang berlaku di Talang Sari dan tragedi Tanjung Periuk di Indonesia.


Suasana agak tegang selepas tragedi itu. Seluruh media massa terarah untuk mengkambing-hitamkan PAS dan pimpinannya yang menyebabkan berlakunya peristiwa Memali terutama ‘amanat Haji Abdul Hadi Awang’ yang dikatakan mendominasi pemikiran pengikut PAS. Peribadi Ustaz Ibrahim telah digambarkan sebagai penjenayah negara dan telah dituduh membawa ajaran sesat. BN dan media massa ternakan mereka terus menyalahkan PAS tanpa diberi ruang untuk membela diri.


Di antara mereka yang terkorban dalam tragedi ini ialah Ibrahim Mahmood, Ahmad bin Hassan, Syafie Dahaman, Abdullah Saman, Radzki@Zakaria Ahmad, Hambali Mohammad Senang, Idris A. Kadir, Mohd Aroff Hasyim, Zamri Mohd Isa, Abdullah Yassin, Mohd Daud Kadir dan Ahmad Ismail.


Manakala anggota polis yang terbunuh ialah Insp. Azmi Hamzah, Sarjan Abd. Rahman Mat Noor, Konstabel Jaafar Sain dan Konstabel Mohd Suli Uthman.


Pihak polis telah menahan seramai 110 orang pengikut Memali (penyokong Ustaz Ibrahim) dalam penjara dan menahan 36 orang di bawah ISA serta ditempatkan di Kem Kemunting, Taiping mulai 22 Januari 1986. Di antara mereka yang ditahan ialah:


1. Razali Abd Kadir

2. Abd. Rahman Salleh

3. Hussain Yahya

4. Osman Salleh

5. Ishak Che Noh

6. Che Mid Che Teh

7. Shaari Ahmad

8. Elias Mahmood

9. Khatib Ibrahim

10. Tajuddin Osman

11. Ahmad Kadir

12. Abd. Hamid Omar

13. Zulkifli Ishak

14. Sobiri Hassan

15. Ramli Salleh

16. Zakaria Jusoh

17. Manas Abdullah

18. Sahimi Hussain

19. Zaman Mahmod

20. Abd. Rahim Awang Boh

21. Ishak Che Him

22. Azmi Jusuh

23. Abd Raof Ismail

24. Abd Rahim Husin

25. Abas Ibrahim

26. Md. Piah Abdullah

27. Ramli Che Mid

28. Abdullah Che Soh

29. Ahmad Ayub

30. Mat Hassan Salim

31. Zakaria Abd. Rahman

32. Jaafar Nayan

33. Mansur Othman

34. Azmi Salim

35. Md Piah Yunus

36. Mahmood Yusuf Husain


Dalam siasatan awal, pihak polis meletakkan mangsa Memali di beberapa buah balai polis yang berasingan manakala di Kemunting, saudara Yusuf Husin(orang kanan Ustaz Ibrahim) diletakkan berasingan dengan 35 tahanan yang lain.


Tekanan dan kritikan telah diberikan kepada pihak kerajaan dalam menangani operasi Memali ini dan penahanan mereka di bawah ISA. Beberapa pemimpin tertinggi PAS berpendapat bahawa, pihak polis sepatutnya mengepung kumpulan Ustaz Ibrahim Libya dan bukannya menyerang dan ada individu yang mendakwa kematian di pihak polis adalah akibat terkena peluru M16, iaitu senjata pihak polis sendiri.


Tekanan yang agak kuat daripada PAS dan rakyat yang prihatin telah memaksa Menteri Dalam Negeri membebaskan tahanan ISA ini. Seramai 36 orang dibebaskan pada hari selasa 3 Jun 1986 iaitu genap empat bulan mereka ‘direhatkan’ di kem Kamunting tanpa perbicaraan mahkamah.


Tragedi Memali adalah mercutanda kezaliman yang dipahat dengan kejerihan, darah serta airmata, tiada siapa yang ingin agar ianya berulang kembali. Sebuah ketololan sang penguasa menguruskan krisis yang sepatutnya boleh dielakkan agar tiada berlaku kematian samada orang awam dan anggota keselamatan negara. Moga tragedi Memali terus dipasak kukuh dalam ingatan kolektif kita semua, bermuhasah akan kebijakan menguruskan krisis , meredam ego politik sang penguasa dan sejarah hitam yang meninggalkan parut yang sangat hodoh!


( Penulis ialah AJK PAS PUSAT, Aktivis Bantuan Tanpa Sempadan).

Ulasan